Bagaimana DH selesai isu Permit Import (AP)?

- Advertisement -

PERTIKAMAN lidah di dalam media antara Rafidah Aziz dan Nazri Aziz semakin ketara. Terkini Nazri Aziz bangkitkan bahawa Umno kehilangan sokongan kaum Cina kerana Rafidah menarik balik AP (permit kebenaran import) daripada syarikat kaum Cina dan memberikannya kepada syarikat bumiputera.

- Advertisement -

Apa pun perbalahan mereka berkenaan dengan AP sama ada diberikan kepada syarikat bumiputera atau syarikat Cina, yang ruginya tetap rakyat justeru AP adalah keuntungan yang diperolehi pemegangnya melalui beban pembayaran yang dibuat oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam kajian awal Dokumen Hijau, isu AP ini agak bercanggah dengan Sistem Muamalat Islam kerana ia bersifat “Talaqqa Ar-Rukbaan” dan “Bai’ Haadir Libaadin”. Kedua-dua terminologi ini bermaksud, pedagang luar (Makkah) tidak boleh membawa barang mereka masuk ke pasar Makkah melainkan perlu diserahkan kepada orang tertentu daripada Makkah. Tuntasnya, kereta-kereta dan lain-lain barangan tidak boleh masuk ke Malaysia melainkan mesti melalui individu-individu tertentu yang diberikan AP oleh kerajaan.

Dinamakan “Talaqqa Ar-Rukbaan” bermakasud “pertemuan dua penunggang” sebagai sinonim kepada penunggang yang keluar dari Makkah bertemu peniaga luar yang menunggang masuk ke Makkah. Mereka tidak dibenarkan membawa barangan mereka ke Makkah melainkan mesti melalui mereka yang berkuasa di Makkah.

Lebih kurang sama dengan transaksi yang dikenali sebagai “Bai’ Haadir Libaadin” yang bermaksud “orang bandar menjual bagi pihak orang kampung” sebagai sinonim orang kampung tidak dibenarkan memasuki pasaran Makkah justeru barangan mereka hanya dibenarkan jual oleh orang bandar sahaja. Kedua-dua jenis muamalat ini diharamkan oleh Islam dan Illat (sebab) kepada pengharaman ini ialah monopoli melalui kawalan harga oleh sesetengah pihak sahaja sehingga barangan menjadi mahal dan membebankan pengguna melalui keuntungan yang dikaut oleh hanya segelintir kecil di kalangan mereka sahaja.

Dalam isu AP ini, ia menjadi sumber keuntungan bagi sesetengah pemegangnya. Sekalipun salah dengan polisi MITI, kadangkala sebahagian pemegang AP ini bukan peniaga tetapi sebaliknya menjual AP-AP tersebut kepada peniaga. Dalam sesebuah kereta import sebagai contoh, kos AP sahaja mencecah antara RM 20 ribu – RM 40 ribu menjadikan pembeli terpaksa menanggung 30 peratus – 40 peratus daripada harga kereta import recond yang mereka beli.

Dalam Dokumen Hijau kedua (belum dipublishkan atas sebab-sebab tertentu) dibincangkan isu ini dan cadangan awal kami ialah supaya AP ini bukan khusus untuk tauke bumiputera dan bukan pula khusus untuk tauke Cina kerana ia akan membebankan pembeli semua kaum. Sebaliknya perlu diperkenalkan satu sistem baru iaitu “Satu keluarga satu AP” menjadikan kos kereta akan turun antara 20 peratus – 40 peratus bergantung kepada jenis dan nilai harga.

“Satu keluarga satu AP” adalah sebagai langkah awal untuk mengekang monopoli dalam harga kereta. Ini bermaksud, 1 keluarga berhak mengimport 1 kereta untuk tempoh 3 atau 5 tahun sekali menjadikan peniaga-peniaga kereta boleh mengimport kereta bagi pihak setiap keluarga dengan menggunakan AP mereka, bukan AP pemegang tertentu pada hari ini. Dengan cara ini, illat (sebab) pengharaman iaitu monopoli tidak lagi wujud.

Cara amalan kerajaan BN hari ini menjadikan sama ada tauke Cina (cara Nazri Aziz) atau tauke Melayu (cara Rafidah) akan memonopoli industri kereta di Malaysia. Sama ada agihan AP cara Rafidah atau Nazri Aziz, kesannya tetap sama iaitu semua rakyat berbangsa Melayu, Cina, rakyat India dan lain-lain akan menanggung beban hutang dalam perbelanjaan bulanan mereka akibat monopoli ini. Jika anda membayar ansuran bulanan kereta RM 1,000 sebulan, sama ada sedar atau tidak, anda sedang membayar ansuran sebanyak RM 200 – RM 300 sebulan untuk keuntungan pemegang-pemegang AP ini.

Sebagai penyelesaian, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum perlu memberi kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negara bagi menurunkan kos sara hidup rakyat. Bukan menyokong BN yang sedang memonopoli penggunaan rakyat dan bukan pula memilih PH sebagai alternatif BN justeru sistem yang BN jalankan hari ini sebenarnya telah dibuat sejak pemimpin-pemimpin PH memerintah Malaysia terutamanya waktu Tun Mahathir menjadi PM dan Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi TPM.

Rakyat perlu membuat pilihan bijak melalui manifesto yang difahami melalui sumber yang sahih oleh parti-parti yang bertanding. Sebagai langkah awal menurunkan harga kereta, PAS telah meletakkan penghapusan duti eksais daripada kereta 1300 cc ke bawah sebagai tawaran kepada rakyat Malaysia. Sekian. – HARAKAHDAILY 10/4/2018

- Advertisement -