PAS Rembau edar risalah DH di pasar malam

REMBAU: PAS Kawasan Rembau telah mengadakan program edar risalah Dokumen Hijau (DH) kepada pengunjung pasar malam di Kota, di sini kelmarin.
 
Edaran risalah serta penerangan mengenainya itu telah diketuai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Rembau, Ishak Omar dan Idris Zakaria serta AJK Jentera Pilihan Raya Dun Kota, Ibrahim Ishak.
 
Antara lain tujuan edaran risalah itu adalah untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai tawaran PAS terutamanya berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
PAS menegaskan bahawa hukum GST adalah haram dan akan memansuhkannya apabila diberi mandat memerintah negara nanti, namun menjelaskan bahawa terdapat alternatif menggantikannya.
 
Iaitu, PAS menawarkan penyelesaian kepada GST ialah dengan mengenakan cukai atas Simpanan Syarikat dan Korporat serta cukai terhadap Perdagangan Keuntungan Saham.
 
Menurut Ishak, kunjungan ke pasar malam itu juga menjadi medan untuk pimpinan PAS beramah mesra dan mendekati pengundi sambil mendengar luahan masyarakat mengenai isu semasa. -HARAKAHDAILY 4/4/2018