Siap sedia melaksana amanah kepimpinan

- Advertisement -

(Teks transkrip penuh dari ucapan Presiden PAS dalam merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pasir Puteh di Sweet Beach Resort, Tok Bali pada 31 Mac 2018 yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)

- Advertisement -

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu di medan perjuangan menghadapi ujian dalam diri kamu sendiri, dan bersabarlah kamu dalam menghadapi musuh-musuh dan lawan-lawan kamu. Dan ribat, bertugas di mana sahaja kamu diletakkan walaupun di sempadan. Dan bertakwa kepada Allah supaya kamu mendapat kemenangan.”

(ali-‘Imran: 200)

Marilah kita menghayati ayat yang dibaca oleh Dato’ Setiausaha Agung, ayat yang akhir dalam Surah ali-‘Imran, Surah yang disebut di dalamnya peristiwa Badar dan peristiwa Uhud. Badar orang Islam mendapat kemenangan dengan jumlah yang sedikit menghadapi musuh yang lebih besar. Uhud orang Islam mulanya menang, kemudian mereka dipukul dengan teruk dan dahsyat mengorbankan para syuhada.

Walaupun Allah Maha Berkuasa memberi kemenangan, Allah mengajar umat Islam dengan peristiwa itu. Yang penting supaya kita beriman dengan akidah perjuangan kita.

PAS telah meletakkan Islam adalah akidah perjuangan. Islam ad-Din, bukan Islam agama sahaja. Bukan Islam perkataan religion yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia. Islam yang disebut dengan ad-Din di dalam al-Quranul Karim, merangkumi semua perkara dalam kehidupan manusia, dalam hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia, hubungan makhluk-makhluk yang ada di atas muka bumi ini. Termasuk di dalamnya kerja politik, kerja yang banyak menimbulkan kata-kata yang meragukan. Sabda Nabi S.A.W: 

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء، كلما هلك نبي خلفه نبي، ولا نبي بعدي، ولكن خلفاء وهم كثيرون

“Adalah Nabi-nabi Bani Israil yang melakukan siyasah, melakukan politik mereka ialah Nabi-nabi A.S. Setiap kali Nabi wafat, diganti dengan Nabi yang lain. Tidak ada lagi Nabi selepas aku Muhammad S.A.W. Akan ada pemimpin-pemimpin, mereka ramai.”

Lalu Sahabat bertanya:

كيف تأمرني

“Bagaimana Rasulullah perintahkan saya?”

Jawabnya:

فوا ببيعة الأول فالأول، فإن الله سائلهم عما استرعاهم

“Kamu hendaklah tunaikan baiah (disebut baiah), tunaikan baiah kepada yang pertama yang berikut. Allah akan mempertanggungjawabkan kepada mereka pada hari kiamat apa yang mereka lakukan.”

Hadis ini menunjukkan bahawa kerja politik adalah kerja agama. Kerja Nabi-nabi dan Rasul-rasul A.S. Kerja yang diasaskan oleh Allah S.W.T sejak dijadikan manusia yang pertama Nabi Adam A.S:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

“Dan ingatlah apabila tuhan berkata kepada para malaikat, aku nak jadikan di atas muka bumi itu khalifah.”

(al-Baqarah: 30)

Apa makna khalifah? Khalifah dihuraikan oleh ulama dalam kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab Siyasah Syar’iah: 

اقامة الدين وسياسة الدنيا به

“Menegakkan ad-Din, (menegakkan Islam), dan politik mentadbir dunia dengannya (dengan Islam itu).”

Di atas dasar inilah maka Sahabat R.A memberi perhatian yang besar terhadap kewajipan politik apabila diasaskan oleh Nabi S.A.W dengan melakukan hijrah di al-Madinatul Munawwarah.

Mengapa hijrah di Madinah? Hijrah bukan untuk melarikan diri. Hijrah bukan untuk menyelamatkan diri, untuk mencari kerja. Hijrah ialah kerana mengambil tempat untuk mendirikan kerajaan Islam.

Setelah dinafikan oleh penduduk-penduduk Makkah, setelah kabilah-kabilah Arab yang lain takut untuk menerima kewajipan ini. Apabila orang-orang Madinah menerima kewajipan ini dengan baiah, dengan baiah, bukan dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja.

Maka Nabi berhijrah ke Madinah mendirikan kerajaan Islam. Madinah nama baru kepada Yathrib ataupun Thaybah. Madinah adalah untuk mendirikan negara bermasyarakat Madani, bermasyarakat Madani.

Dinamakan Madinah daripada Madani ataupun ad-Din. Ad-Din yang sempurna dan Madani untuk memimpin masyarakat manusia. Bukan sahaja orang Islam, termasuk orang bukan Islam. Bukan sahaja orang Arab, termasuk bukan Arab. Kerana manusia:

مدني بالطبع

“Hidup secara Madani”

Tak boleh bersendirian, mesti berhubung di antara satu sama lain. Memerlukan bandar, dinamakan Madinah untuk mengumpulkan manusia. Bukan sahaja untuk menegakkan Islam, tetapi mengurus kehidupan mereka, mengurus perniagaan mereka, mengurus pertanian mereka, mengurus masalah-masalah yang ada dalam mereka dengan ajaran Islam. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Di atas kewajipan yang besar ini, bila wafatnya Nabi S.A.W, setelah selesai sembahyang jenazah, para Sahabat sembahyang jenazah Nabi S.A.W, sembahyang secara bersendirian, tak ada siapa jadi imam. Tak sanggup jadi imam. Sembahyang bersendirian. Muhajirin, keluargdsa Nabi, Muhajirin Ansar, budak-budak dan muslimat sembahyang. Sebahagian besar para Sahabat berhimpun di Saqifah Bani Saidah untuk bermesyuarat memilih siapa yang menjadi ketua negara selepas wafatnya Nabi S.A.W.

Hanya beberapa orang Sahabat sahaja yang ada di kubur untuk mengebumikan jenazah itu. Menunjukkan bahawa politik Islam bukan dengan nas Quran, dengan nas Hadis, dengan ijmak para ulama Sahabat R.A.

Maka mereka melakukan pemilihan, pemilihan mengikut istilahnya pilihan raya. Pemilihan dalam satu parti sahaja, Islam, tak ada parti-parti lain. Calon kalangan Ansar, Sa’ad Bin Ubadah. Calon kalangan Ahlil Bait, Saidina Ali Bin Abi Talib. Calon kalangan Muhajirin ialah Abu Bakar as-Siddiq dari kalangan Quraisy.

Setelah mereka mendengar hujah masing-masing, bila mereka mendengar Hadis Nabi S.A.W:

الأئمة من قريش

“Pemimpin daripada Quraisy.”

Quraisy adalah kabilah yang dominan dalam istilah politik pada hari ini. Kabilah yang majoriti, yang mempunyai kehebatan dan kekuatan. Maka mereka bersepakat memilih Abu Bakar as-Siddiq R.A.

Ulama-ulama menghurai dalam kitab-kitab tafsir, kitab-kitab Hadis, kitab-kitab Fekah secara berselerak, dan dihurai secara khusus dalam kitab-kitab al-Ahkam Sulthaniyah dan Siyasah Syariah secara khusus.

Maka kitab-kitab ini dikaji oleh orang-orang Barat, orang-orang Eropah. Orang-orang Eropah tidak mengenali demokrasi, hanya melalui demokrasi purba, demokrasi zaman dahulu, di Athens ibu negara Greek, mengumpulkan orang-orang bangsawan sahaja untuk memilih pemimpin dan membuat keputusan.

Kaum wanita tak dibenarkan, orang miskin tak dibenarkan, petani tak dibenarkan. Mereka tak boleh membuat perubahan melalui demokrasi purba sehingga berlakunya Revolusi England, Revolusi Perancis, Revolusi Rusia, Revolusi Amerika, berlaku peperangan sesama sendiri untuk memilih pemimpin negara dan Raja-raja dalam negara itu.

Berlakunya pembunuhan, mereka tak tahu pilihan raya melainkan setelah para orientalis, ilmuwan mereka mengkaji kitab-kitab fekah yang ditulis oleh ulama Islam. Baru mereka kenal pilihan raya. Tetapi pilihan raya yang dilakukan oleh mereka mengikut cara mereka, mereka mengambil Tamadun Islam dengan tidak mengambil akidah dan imannya, tak ada perhitungan dosa dan pahala, adil dan fasik, tak ada pada mereka. Ini kelemahan yang berlaku kepada mereka.

Maka para ulama kita membuat keputusan politik adalah sebahagian daripada Islam. Dan orang Islam telah memerintah negara selama 1300 tahun, bukan pendek, 1300 tahun dalam keadaan kerajaan Islam yang kuat, kerajaan Islam yang lemah. Di sebelah Timurnya India sampai ke Asia Tenggara sempadan Negeri China. Di sebelah Baratnya Pantai Barat Afrika. Di Utaranya Sepanyol Selatan Eropah. Di Selatannya Afrika Tengah.

Zaman tidak ada kapal terbang, tidak ada helikopter, tidak ada telefon, tidak ada alat-alat perhubungan yang cepat. Islam boleh memerintah negara dengan sebaik-baiknya. Negara yang adil untuk semua menyebabkan orang-orang yang bukan Islam masuk Islam. Bukan dipaksa atau mereka tunduk di bawah kerajaan Islam.

Mereka masuk Islam kerana melihat adilnya Islam ini. Tidak dipaksa kerana masih ada rumah-rumah ibadat yang bukan Islam. Di Indonesia ada biara Borobudur, rumah ibadat agama Buddha, ibadat agama Hindu, kerana ada penganut-penganutnya.

Di Mesir ada gereja-gereja Kristian Ortodoks. Di Iran ada rumah-rumah ibadat Majusi menyembah api, tak dimusnahkan. Mereka tunduk di bawah kerajaan Islam menerima Islam yang adil walaupun mereka tidak masuk Islam.

Kejayaan ini menyebabkan Islam berkembang dengan pesat menyebabkan berlakunya dunia tertumpu kepada Islam. Islam jadi pusat. Ini menimbulkan kedengkian kuasa-kuasa penjajahan, Barat, Kristian khususnya. Maka berlakulah zaman penjajahan.

Sehinggalah orang Islam mengalami kelemahan. Kelemahannya bila meninggalkan ajaran Islam. Bukan kerana kelemahan ajaran Islam. Meninggalkan ajaran Islam selepas leka dan lemah. Menyebabkan negeri Islam dijajah, ditakluk satu demi satu dan jatuhnya khilafah Uthmaniyah tahun 1924 melalui pengisytiharan Revolusi Kubra Arab 1917 di Makkah al-Mukarramah oleh Syarif Hussein dan Ibnu Su’ud yang menyertai Revolusi ini.

Menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah, jatuh Uthmaniyah. Dengan bantuan Barat, kerana semangat Nasionalisme Arab, semangat kebangsaan meninggalkan Islam tanpa dinafikan kelemahan kerajaan Uthmaniyah yang tidak melaksanakan Islam sepenuhnya. Tetapi ada kalangan orang Islam yang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam sehingga jatuhnya kerajaan Islam.

Walaupun kerajaan Islam jatuh, tetapi Islam tak jatuh. Cahaya-Nya tak boleh dipadamkan. Allah Taala janji cahaya Islam tak boleh dipadamkan cahaya-Nya. Ini jaminan Allah Taala.

Maka lahirlah parti-parti Islam di seluruh dunia. Termasuklah Persatuan Islam Se-Tanah Melayu PAS ini ditubuhkan oleh ulama-ulama dan ilmuwan Islam. Ulama-ulama dan ilmuwan Islam yang berpendidikan Barat menghidupkan PAS ini. Bukan sahaja Haji Ahmad Fuad Tok Guru, bukan sahaja Haji Ahmad Tuan Hussein Tok Guru, bukan sahaja ulama-ulama pondok.

Termasuklah Profesor Ahmad Ibrahim, termasuklah Aminuddin Baki, termasuklah Dr Haji Abbas Alias, mereka adalah orang yang berpendidikan Barat, yang memahami Islam yang mahu Islam ditegakkan semula. Kita adalah penyambung perjuangan mereka.

Namun kita menghadapi ujian yang sangat hebat yang sangat dahsyat. Ujian dari dalam, kalangan orang Islam sendiri yang tak berapa yakin perjuangan PAS ini perjuangan Islam kerana masuk pilihan raya. Pilihan raya ini orang putih, pilihan raya ini Barat. Mereka kena baca Islam dengan seluas-luasnya.

Banyak perkara dalam Islam ini yang tak ada nas. Banyak perkara dalam Islam ini mengambil kebijaksanaan dari mana sahaja. Bila Nabi S.A.W nak tulis surat kepada Raja-raja, disuruh Sahabat tulis surat. Lalu Sahabat kata, wahai Rasulullah, Raja-raja ini tak terima surat kecuali ada rubber stamp, ada cop. Orang kafir kena ada cop. Nabi kata, buat. Ada cop Muhammad Rasulullah.

Ini ikut politik di masa itu. Termasuklah bila Saidina Umar memerintah negara, urusan kewangannya belum dialami oleh para Sahabat. Mereka melihat pentadbiran urusan kewangan Parsi dan Rom. Maka diambil dan dimasukkan roh Islam di dalamnya.

Banyak hari ini kita melihat, kita pergi ke Makkah, pergi ke Makkah kena guna kapal terbang. Kapal terbang orang kafir buat, kena pakai passport. Passport ini orang kafir. Visa, orang kafir. Kata puak-puak yang kata pilihan raya ini ikut orang kafir, tak usah pergi ke Makkah, pergi ke Makkah jalan kaki saja, tak usah pakai passport. Kata kepada mereka.

Ini kena faham. Makna Islam yang luas kita kena faham. Ulama-ulama kita berijtihad walaupun tak ada ulama macam Imam Syafi’ie, Hanafi, Hambali, Maliki, jauh sekali macam Nabi dan para Sahabat R.A, jauh sekali. Kita boleh mengadakan ijtihad dalam perkara yang tak ada nas, secara jama’ie, secara kolektif, secara berkumpulan.

Maka PAS menubuhkan Majlis Syura Ulamak untuk mengumpulkan ulama-ulama yang ahli dalam bidang ilmu-ilmu Islam untuk mengkaji nas-nas. Majlis Syura Ulamak ini tak ada dalam parti yang lain. Maka marilah kita kerja dengan yakin. Ini adalah kerja Islam yang betul. Jangan syak, jangan ragu lagi.

Kita sabar menghadapi fitnah-fitnah dari musuh, ancaman dari musuh. Berbagai-bagai Hamlatu Tasyqiq (حملة التشكيك) gerakan mengesyakkan terhadap perjuangan Islam.

Ini kerja-kerja Iblis daripada manusia dan jin yang kita kena elak, kita kerja dengan yakin. Di samping kalangan kita sendiri, ada yang kuat, ada yang lemah. Ada yang faham, ada yang tak faham. Yang faham jangan meninggal yang tak faham. Walaupun mereka melakukan kesalahan-kesalahan, kena perbetulkan.

Sabar dalam kerenah sesama sendiri. Dalam keadaan tidak taat dan tidak walak. Yang penting adab dalam perjuangan Islam, taat dan walak. Taat kepada keputusan parti, kepimpinan dalam perkara yang tak bercanggah dengan nas Quran dan Hadis. Kecuali kalau parti menghalalkan yang haram, mengharamkan yang halal. Kita kena tolak ini walaupun parti sendiri.

Tetapi kalau perkara yang tak ada nas, parti berijtihad, kita kena terima. Terutamanya masa pilihan raya ini masalah calon. Bila parti buat keputusan ini calon, kita kena terima. Jangan ada kalangan kita tak taat dan tak setia kepada parti.

Kalau dicalon kita tak setuju, kita tak kerja, calon bukan orang kita, kita tak bekerja, ini boleh menghapuskan pahala-pahala kita. Kita kena sedar, sudahlah kerja dalam PAS ini tak dapat duit macam kerja dengan parti lain. Tiba-tiba pahala pun tak boleh juga, buat kerja apa?

Oleh kerana itu mesti ketaatan, kesetiaan kepada parti ini. Allah Taala telah menapiskan perjuangan kita, orang yang tak taat, orang yang tak walak kepada parti, sama ada dipecat daripada parti ataupun dia lari sendiri. Maka parti kita selamat. 

Bersabar 

Yang kedua:

وَصَابِرُوا

“Bersabar menghadapi lawan-lawan kita.”

(ali-‘Imran: 200)

(Sabar menghadapi) Musuh-musuh kita yang berbagai-bagai kerenah apalagi mereka menggunakan media, bukan sahaja media arus perdana yang dibaca, yang dilihat, termasuk media baru, menyebarkan masalah-masalah berbagai berita, yang benar menjadi fitnah, apalagi yang bohong lebih menjadi fitnah.

Perkara yang menyakitkan kita, mereka lebih kaya daripada kita. Lebih kuat daripada kita. Lebih banyak jentera daripada kita. Allah Taala menyebut:

وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ

“Jika sekiranya kamu merasa sakit kerana berjuang Islam ini, maka musuh-musuh lawan kamu merasa sakit juga (Sama. Kita berjaga malam, dia berjaga malam juga nak lawan kita. Dia keluar belanja banyak daripada kita lagi, kita keluar belanja sikit sekadar kemampuan. Tenaga dia lebih, kita tenaga kita sekadar yang ada sahaja). (Tetapi Allah Taala kata watarjuna minallahi ma la yarjun) Kamu berhajat daripada Allah apa yang mereka tak harapkan.”

(an-Nisa’: 104)

Kita berani mengatakan perjuangan kita boleh pahala. Gemulah Tok Guru (Nik Aziz) kata kita perjuangan Islam ini boleh pahala. Puak-puak lain tak berani nak kata boleh pahala.

Kita berani kita kata boleh pahala. Kerana kita yakin kepada perjuangan Islam ini. Ini Islam yang kita perjuangkan.

Ribat

وَرَابِطُوا

“Dan ribat”

(ali-‘Imran: 200)

Ribat ialah kita duduk di pangkalan, itu asal maknanya, di sempadan. Ribat macam kita ikat diri kita menjalankan tugas. Dengan makna umum di mana sahaja. Nabi sebut:

رباط يوم في سبيل الله، خير من الدنيا وما فيها

“Kita bertugas satu hari kerana perjuangan Islam lebih baik daripada dunia dan segala isinya.”

Ini disebut dalam Hadis. Barangsiapa yang mati dalam ribat, yang mati dalam menjalankan tugas, ini disebut dalam Hadis, mati dalam menjalankan tugas, Allah Taala hidupkan pahalanya sehingga hari kiamat.

Berbeza dengan orang yang mati sakit biasa, mati, habis putus amalan dia. Tetapi mati ribat kerana menjalankan tugas fisabilillah, kita mati Allah Taala jadikan pahala berpanjangan sehingga hari kiamat.

Kenapa jadi begitu? Derma sabilillah 700 kali ganda. Derma orang minta sedekah derma masjid, 10 kali ganda. Derma sabilillah 700 kali ganda. Mengapa 700 kali ganda, derma lain 10 kali ganda? Derma lain kita nampak, beri sedekah ke orang buta nampak dia buta. Bila sedekah kepada orang uzur, nampak dia uzur. Sedekah masjid nampak cokoh masjid.

Tapi bila sumbangan sabilillah, tak tahu bila menang. Pahala tak nampak. Orang berjuang pula pakai kereta, nampak senang. Tak akan nak jalan kaki wakil rakyat kita? Ini nampak tak ada apa. Banyak gangguan-gangguan Syaitan dalam fikiran. Kerana itulah maka sumbangan sabilillah diberi 700 kali ganda. Berbeza dengan lain. Ini kelebihan kita yang tak ada pada yang lain:

Islam pasti menang

وَاتَّقُوا اللَّهَ

“Dan bertakwa kepada Allah.”

لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Supaya kamu mendapat kemenangan.”

(ali-‘Imran: 200)

Allah Taala mengatakan perjuangan Islam mesti menang:

ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ

(al-Buruj: 11)

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ

“Kemenangan di hari akhirat dan kemenangan dunia yang kamu nak sangat terlalu dekat. (Kemenangan akhirat bagi sesiapa yang mengakhiri hayatnya, mengakhiri umurnya dalam perjuangan Islam)”

(as-Saff: 13)

Tak lari tak menyeleweng. Ini dapat kemenangan akhirat. Mesti. Kemenangan dunia, Allah Taala beri dengan ujian-ujian yang banyak.

Kita diuji kemenangan dunia di Kelantan, dua kali tahun 1959 sehingga tahun 1978. Kemudian menang sekali lagi tahun 1990 sehingga hari ini. Di Terengganu tahun 1959 juga hingga tahun 1961. Tahun 1969 (hingga) 2004. Di Kedah kita memimpin kerajaan campuran, 2008, habis 2013, satu penggal sahaja.

PAS menempa sejarah, parti Islam yang memerintah paling panjang dalam dunia. Parti-parti Islam lain menang sekejap. Parti Masyumi di Indonesia, menang pilihan raya tahun 1959, dalam masa dua tahun sahaja Masyumi digulingkan. Ikhwanul Muslimin di Mesir menang Mursi jadi Presiden, tentera menggulingkan. Di Algeria menang pilihan raya Majlis Perbandaran, tentera ambil alih mengharamkan, mengharamkan Parti Islam di Algeria.

Di Turki tak boleh nak menang di atas nama Islam, kerana diharamkan sebut Islam. Maka disebut parti Sekular di Turki. AK ini parti Sekular, tak boleh sebut Islam. Perlembagaan Turki tak boleh. Nak haram arak, nak haram judi pun tak boleh. Ini di Turki kerana perlembagaan dia.

Kita di Kelantan menang sehingga hari ini. Ini satu kekuatan yang Allah Taala beri kepada kita yang wajib kita kena pertahankan. Kenapa kita membawa Budaya Politik Matang dan Sejahtera? Sejak dulu kita tak isytihar, hari ini kita isytihar.

Politik Matang Sejahtera ini sudah diasaskan oleh zaman dulu. Kita menghadapi di zaman selepas kemerdekaan, Islam dicemuh, Islam dihina, kalau memerintah (dengan) Islam jadi huru-hara. Kalau memerintah (dengan) Islam banyak makan sup tangan mari dari Kelantan. Kalau memerintah (dengan) Islam busuk sungai Kelantan banyak kena kerat tangan. Kalau memerintah (dengan) Islam tak cukup batu nak buat bangunan kerana kena rejam, tak boleh nak buat jalan raya.

Bagaimana penghinaan dilakukan. Kita menganggap mereka yang menghina Islam ini kerana kejahilan. Kerana jahil. Kalau jahil dia mengaji, tak apa. Yang susahnya jahil murakkab, yang dia tak tahu dia tak tahu, berasa dia tahu. Ini jadi masalah.

Kita menghadapi penuh kesabaran, pemimpin-pemimpin kita, tok guru – tok guru kita, ada yang kena ISA, ditahan ISA, termasuk ayah Dato’ Mad tak silap saya dulu …. Kena.

Dan banyak lagi kena ISA, Pok Nik Lah dan lain-lain lagi ditahan. Kita sabar menghadapi ujian itu. Kita mengambil pendekatan dakwah, pendekatan menyedarkan masyarakat, pendekatan batas-batas iman dan kufur. Apa dia Islam?

Setelah bertahun-tahun isu kafir-mengkafir padam, tak berani lagi nak kata politik suku ugama suku, tak berani lagi nak kata Undang-undang Islam ini zalim, tak berani lagi. Ini satu perubahan yang besar kejayaan kita. Walaupun kita tak menang di peringkat Kerajaan Pusat, tetapi kita berjaya mengubahkan minda, mengubah fikiran dan kesedaran dalam Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman, Pusat-pusat Pengajian Tinggi. Sehingga desakan melaksanakan syariat menjadi satu tuntutan sampai peringkat kita boleh mengemukakan usul Rang Undang-undang 355 di Parlimen.

Tetapi tak boleh nak undi lagi. Kita tangguh dulu, tengok pilihan raya. Oleh kerana itu pilihan raya ini kita perlu memenangkan kerusi yang sebanyak-banyaknya.

Kelantan mesti menang. Pasir Puteh mesti menang, jangan kurang. Dan banyak kerusi yang kita menang lagi. Mesti diusahakan. Kita sebut kalau boleh 40 kerusi pun tak apa. Dalam hati nak banyak lagi, nak banyak lagi, sebut 40 kerusi. Jangan menyombong sangat. Kita sebut 40, tak apalah, 40. Tunjuk tawadhu’ kita. Tapi dalam hati nak 130. Tak apalah. Biar itu.

Kalau kita menang simple majority, ataupun menang King Maker. King Maker dengan makna kita boleh menjadi kuasa penentu bagi siapa yang nak tubuh kerajaan. Kita boleh meletakkan syarat-syarat yang kita mahu dan kita nak. Sudah tentulah syarat-syarat Islam.

Orang tanya, kita kerjasama dengan siapa kalau dapat 40? Kerjasama siapa yang terima Islam. Senang saja. Siapa yang terima Islam, kita terima. Siapa yang tolak Islam kita tolak. Kalau tolak belaka, kita bersendirian. Senang saja, mudah saja. Ini penegasan yang kita kena faham. Dengan sebab itu kita mesti kerja dengan yakin. Allah menjanjikan:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ

“Bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan.”

(al-Anfal: 60)

Sekadar kemampuan kamu Allah Taala sebut. Bukan mesti sama dengan musuh. Duit kita tak sama dengan musuh. RM 90 juta tak padan lagi. Kena banyak lagi. Dia billion. RM 90 juta jadi apa? Duduk main RM 90 juta, lambat dia nak beri ke kita, kita nak lawan dia beri ke kita pula? Satu benda yang tak munasabah.

Itu pun tak cukup RM 90 juta ini nak lawan. Tapi Allah Taala suruh kita menyediakan sekadar kemampuan kita. Kemampuan RM 5 juta, RM 10 juta, sekadar kemampuan. Kemampuan tenaga-tenaga kerja kita, kita tak boleh nak menggunakan jentera-jentera yang lain daripada ahli-ahli kita.

Tetapi Allah Taala boleh buat perubahan. Sekiranya kita bekerja mengikut kemampuan yang ada pada kita, dengan akhlak, dengan ikhlas kita, selepasnya pertolongan daripada Allah S.W.T:

إِنْ يَنْصُرْكُمُ اللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ

“Kalau Allah Taala tolong kamu tidak ada siapa yang mengalahkan kamu.”

(ali-‘Imran: 160)

Kita pernah menang di Kelantan, pernah menang di Terengganu, pernah menang di Kedah, pernah menang dengan pertolongan Allah menghadapi musuh yang lebih besar dan lebih kaya daripada kita. Marilah kita jadikan, kita jadikan mesyuarat agung ini untuk muhasabah.

Bermuhasabah untuk menambahkan kekuatan parti kita. Mengeratkan hubungan di antara satu sama lain. Kritik, menegur untuk menguatkan parti. Jadikan jamaah yang kuat. – eHARAKAH 2/4/2018 

{/mprestriction}

- Advertisement -