Syarat calon: Tapisan hebat dan baiah wajib

- Advertisement -
HULU TEREGGANU: PAS telah menetapkan syarat pemilihan kelayakan bagi menjadi calon pilihan raya parti itu akan ditapis dan wajib berbaiah.
 
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin berkata, baiah adalah syarat wajib bagi setiap calon PAS bertanding PRU14 ini.
 
Sebelum itu menurutnya, pemilihan calon juga akan melalui syarat kelayakan yang ditapis begitu hebat dengan beberapa peringkat.
 
Jelasnya, setiap Pesuruhjaya dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS akan dipersoalkan oleh Majlis Syura dalam proses pemilihan itu.
 
“Pemilihan syarat kelayakan untuk jadi calon PAS pada pilihan raya (PRU14) kali ini ditapis begitu hebat. 
 
“Pesuruhjaya kena ada (tahu), Setiausaha Perhubungan PAS kena ada (tahu). Majlis Syura (MSU) akan tanya siapa calon ini dan akan ditapis lagi selepas itu. 
 
“Baiah kepada setiap yang dicalonkan adalah wajib dalam PAS,” tegasnya ketika ditanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Hulu Terengganu Kali Ke-34 di Kompleks Wawasan Tarbiah Tuan Guru Harun Taib (Al-Kawthar), Kubang Lembek, Manir semalam.
 
Namun sebelum itu, beliau memberitahu perasaannya cukup gembira dan terbuka apabila bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Nakhaie Ahmad membuat keputusan kembali menyertai PAS.
 
Katanya, hilang segala perasaan marah, benci dan dendam selama ini setelah Ustaz Nakhaie menyertai semula perjuangan PAS ini.
 
“Dulu kita (saya) marah sungguh kepada dia (Nakhaie). Masa dia keluar PAS dulu, apa yang dia tak kata kepada PAS dan Presiden PAS?
 
“Apa yang istimewanya, apabila Ustaz Nakhaei isytiharkan dia masuk balik dalam PAS, kita terima kita terbuka kalau nak masuk (PAS). 
 
“Orang lain tak mahu masuk berlambak (ramai) dan mati dalam keadaan dia keluar perjuangan (PAS) pun ramai tapi kalau nak balik (kembali) boleh,” jelasnya dengan perasaan gembira. 
 
Secara berseloroh kata Ustaz Hashim, sesiapa pun boleh masuk dan menyertai perjuangan PAS ini tetapi soal calon lain ceritanya.
 
Pada majlis itu, Tuan Guru Hashim Jasin menyerahkan sejumlah 714 keping Sijil Keahlian PAS baharu terdiri dari ahli peringkat Dun Kuala Berang 281 orang, Dun Manir (263), Dun Telemong (140) dan Dun Ajil 30 orang.
 
Hadir sama pada perasmian MAT PAS Hulu Terengganu itu, Yang Dipertua PAS Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan seluruh jawatankuasanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2018
- Advertisement -