KPJ 2.0 tingkat ilmu urus jenazah penduduk Tg Aru

PUTATAN: Dewan Pemuda PAS Kawasan Putatan telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah 2.0 (KPJ 2.0) yang diadakan di Taman Sempelang, di sini semalam.
 
Program dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Putatan itu adalah lanjutan dari kursus asas Oktober lalu di Sembulan.
 
Tenaga pengajar, Ustaz Awaluddin Nasutiyan menerapkan kepada peserta teknikal dan praktikal mengkafankan jenazah disertai penjelasan yang berkaitan.
 
Tegasnya, mengurus jenazah adalah fardu kifayah, namun menuntut ilmu mengenainya adalah fardu ain dan wajib dipelajari setiap Muslim.
 
Beliau turut menekankan betapa anak atau waris terdekat si mati adalah pihak paling afdal menyempurnakan perjalanan terakhir insan berpindah dari alam dunia.
 
Majlis penutup telah dirasmikan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin yang dalam ucapannya menyentuh hadis tiga bekalan anak Adam.
 
Jelasnya, ilmu bermanfaat disampaikan, doa anak soleh dan sedekah jariah merupakan peninggalan insan yang kekal biarpun setelah meninggalkan alam dunia. -HARAKAHDAILY 5/3/2018
Advertisement