Polemik larangan tudung berakhir: Syabas Persatuan Hotel!

- Advertisement -

“Hari ini, telah Aku sempurnakan bagi kalian, agama kalian. Dan Aku cukupkan untuk kalian nikmat-Ku, serta Aku redhai Islam sebagai agama kalian.” [al-Maidah: 3)

- Advertisement -

Akur janji tiada polisi larangan bertudung oleh tiga persatuan hotel yang ditandatangani semalam menjadi satu penghormatan ke atas kaum wanita. Ia sekali gus membebaskan mereka dari diskriminasi serta eksploitasi tidak sewajarnya.

Syabas diucapkan kepada Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee; Pengarah Eksekutif Malaysian Association of Hotel Owners (MAHO), Shaharuddin M Said dan Ahli Majlis Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Mohamed Zamri Mohamed Rashid.

Mereka mewakili persatuan masing-masing telah memberi komitmen bermakna membuka jalan kepada rangkaian lebih 3,000 hotel di bawah naungan tiga persatuan tersebut untuk mengambil langkah serupa. Tidak harus wujud lagi keingkaran atau birokrasi lain.

Perkara ini harus dipuji dan sokong di mana pihak kami sangat-sangat mengalukannya serta berharap ia membawa impak baharu dari industri perhotelan negara. Seterusnya, ia membuka peluang lebih banyak untuk muslimah bertudung bagi mencebur diri berkerjaya di industri tersebut.

Hal ini bukan kejanggalan berikutan ia lebih awal dilaksana PAS semasa menerajui Kedah dengan pelaksanaan di hotel Islamik, Hotel Adya di Langkawi di zaman Almarhum Menteri Besar, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak. Rintis usaha tersebut akhirnya terbukti boleh dilaksanakan.

Kami berharap usaha berkaitan turut diperluaskan kepada larangan untuk tidak melibatkan pekerja Muslim dengan pelanggaran syarak lain, misalnya hidangan arak oleh. Kami percaya semua pihak bersetuju dan mempunyai pemahaman selaras terhadap perkara ini untuk dilaksanakan.

Kami juga menyokong ketegasan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang mahu pemantauan berterusan dijalankan. Kerana harapannya mahu memastikan pematuhan akur janji yang telah ditandatangani sentiasa dipatuhi semua pihak.

“Dan setiap yang dibawa oleh Rasul, maka ambillah. Sedangkan setiap yang dilarang, maka hindarilah. Bertakwalah kalian kepada Allah, kerana Allah Maha Keras siksaan-Nya.”
[al-Hasyr: 7]

NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia
-HARAKAHDAILY 9/2/2018

- Advertisement -