Bila mahu bina jalan Kuala Telemong-Jeneris?

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: PAS mempersoalkan sikap Kerajaan-BN Terengganu dan Pusat yang langsung tidak mahu membina jalan dari Kuala Telemong ke Kuala Jeneris yang masih lagi belum dibuat sejak dahulu.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai bajet melebihi RM 1 bilion setiap tahun, sedangkan jalan tersebut hanyalah kira-kira 10 kilometer sahaja panjangnya.

“Hanya kira-kira jaraknya 10 kilometer sahaja. Walaupun ia dinyatakan sebagai pakej ke lapan, apa salahnya kalau ia dibuat dan disiapkan. Apabila siapnya jalan ini, sudah pasti akan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk setempat.

“Walaupun bajet banyak setiap tahun tetapi perkara yang menjadi keselesaan rakyat dibelakangkan,” persoalnya meninjau sendiri kedua-dua sisi jalan yang tergendala tersebut.

Menurutnya, di sebelah Kampung Kuala Jeneris, jambatan yang bernilai jutaan Ringgit telah pun siap, namun jalan tersebut yang telah dibina sebahagiannya, terbiar begitu sahaja.

Menurutnya, di antara sambungan jalan dari Kuala Telemong papan tanda telah siap dibina tetapi dibiarkan begitu sahaja ditenggelami semak.

“Sekiranya jalan ini disiapkan, betapa singkatnya perjalanan, pengguna dari Kuala Lumpur boleh terus mengambil jalan pintas setelah keluar dari (Lebuh Raya Pantai Timur 2) terus ke Kuala Jeneris dan Tasik Kenyir,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat negeri Terengganu boleh melihat sendiri pembinaan Politeknik Hulu Terengganu sangat pesat dan dijangkakan akhir tahun ini disiapkan.

Oleh itu kata beliau, alangkah baik, sekiranya jalan ini dapat disegerakan kerana ia sudah pasti meringankan beban perjalanan ibu ayah dan pelajar-pelajar serta tenaga pengajar yang terlibat.

“Begitu jugalah bandar baru bebas cukai Tasik Kenyir, rakyat Terengganu lihat sendiri bagaimana ‘signboard’ Gua Musang, Simpang Pulai, Sungai Tong, Kuala berang dah siap di bina tetapi dibiarkan sahaja ditumbuhi dengan semak samun,” katanya.

Beliau menasihatkan agar pemimpin Umno dan BN Negeri Terengganu berwaspada dalam mengurus hasil negeri yang begitu banyak, tetapi dari sudut kebajikan rakyat tidak diberi kecaknaan.

“Kita mohon sungguh-sungguh kepada yang bertanggungjawab khususnya pemimpin Umno-BN, selamilah keperluan rakyat.

“Kenapakah jalan ini tidak di segerakan sedangkan sudah bertahun-tahun perkara ini di uar-uarkan pada wakil rakyat di sini?” pertikainya.

Justeru, beliau mendesak supaya pemimpin Umno dan BN yang memimpin negeri Terengganu pada hari ini, agar menyegerakan projek tersebut, untuk keselesaan rakyat jua.-HARAKAHDAILY 6/2/2018

- Advertisement -