Undang-undang negara tidak lindungi hak Muallaf?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes Indira Gandhi yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan jelas membuktikan bahawa undang-undang di negara tidak menjaga dan melindungi kepentingan golongan Muallaf sepenuhnya.

- Advertisement -

“Kes ini harus dilihat sebagai kayu ukur sejauh mana kedudukan sebenar undang-undang di negara kita ini berkaitan dengan hak dan kepentingan golongan saudara baru Muslim (muallaf).

“Walaupun kita rasa sedih dengan keputusan tersebut, tetapi inilah realiti sebenar undang-undang di negara kita yang walaupun meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi hak-hak berkaitan saudara baru Muslim masih tidak terbela,” demikian kata Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor.

Menurutnya, undang-undang yang ada sekarang jelas tidak selari dengan kehendak syarak di mana sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam, anak-anaknya yang di bawah umur secara otomatik dianggap beragama Islam.

Salkukhairi yang juga seorang peguam berkata, peruntukan undang-undang sebegini jika dikekalkan boleh menjadikan golongan bukan Islam yang berminat terhadap agama Islam berasa takut dan bimbang untuk memeluk Islam.

Ini kerana jelasnya, mereka bimbang akan kehilangan anak-anak dan keluarga andai memeluk Islam terutamanya sekiranya pasangan mereka enggan memeluk Islam.

“Tidak mustahil mungkin ada segelintir saudara baru yang sanggup kembali kepada agama asal mereka kerana merasa tertekan dengan peruntukan undang-undang sebegini.

“Akhirnya, dakwah Islam tidak dapat berkembang, bahkan boleh menyebabkan fitnah pula kepada Islam. Ini yang kita bimbang” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menyeru semua pemimpin-pemimpin Islam di negara ini bersatu untuk memperjuangkan hak saudara-saudara Muslim tanpa mengambil kira parti politik.

“Pemimpin Islam perlu bersatu dalam isu ini. Cukup-cukuplah berpolitik. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik kepartian, tetapi apabila melibatkan isu orang Islam dan agama Islam, kita perlu bersatu.

“Supaya satu undang-undang yang betul-betul melindungi hak dan kepentingan orang Islam termasuklah golongan saudara baru Muslim dapat digubal di Parlimen dan dilaksanakan segera di negara kita” ujar beliau.– HARAKAHDAILY 1/2/2018

- Advertisement -