UAE sekutu terulung AS di Asia Barat

- Advertisement -

DI ASIA Barat dan Afrika Utara, rantau utama dunia Islam yang menyaksikan pergolakan dramatik sejak tujuh tahun lalu, Amerika Syarikat mempunyai sekutu utama yang telah berdekad menjalin hubungan yang akrab, iaitu Arab Saudi.

- Advertisement -

Sejak penubuhan negara Arab Saudi dan penemuan sumber petroleum di wilayahnya, kedua-dua Riyadh dan Washington membina dan mengekalkan hubungan rapat dalam pelbagai bidang terutama perdagangan, politik, dan pertahanan.

Walaupun ada turun naik dalam hubungan kedua-dua negara, seperti semasa konflik melibatkan Israel pada 1973, pada awal kebangkitan Arab serantau bermula 2010 dan apabila AS dan lima negara lain mencapai perjanjian nuklear dengan Iran, Arab Saudi terus kekal sebagai sekutu terkuat AS di dunia Islam.

Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, muncul sebuah lagi negara yang menjalin hubungan baik dengan AS, melaksanakan beberapa agenda dan tindakan dasar luar yang memenuhi keperluan dan kepentingan Washington.  

Emiriyah Arab Bersatu, sebuah negara kecil tetapi kaya minyak di Teluk Parsi sebelah Timur Semenanjung Arab kini melonjak di arena serantau dan antarabangsa, menjadi negara yang berperanan menamatkan pencapaian demokratik ‘Arab Spring’ dan meluaskan projeksi kuasa tenteranya hingga ke timur benua Afrika.

Emiriyah yang mula melibatkan diri dalam operasi ketenteraan bersama AS di Afghanistan kini telah mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah kuasa tentera yang kuat di rantau Asia Barat hingga ke kawasan berdekatan di Afrika.

Di Afghanistan sejak lebih daripada sedekad lalu, tentera Emiriyah muncul sebagai antara tentera yang paling dipercayai oleh pemimpin tentera AS, memberikannya kedudukan istimewa dalam kalangan negara bukan Nato dan bukan Barat.

Selain Saudi dan Mesir, dua sekutu penting AS lain, Emiriyah telah menyediakan pasukan tentera yang kuat dan boleh diharapkan sekiranya berlaku perang di Asia Barat, hasil latihan dan pendedahan yang diperolehi di Afghanistan dan medan lain.

Tentera Emiriyah telah menyertai kempen ketenteraan AS sejak Perang Teluk pada 1991 dan telah menampakkan persefahaman yang baik.

Emiriyah juga muncul sebagai negara sekutu yang memiliki pesawat pejuang F-16 tercanggih, dan kini dipertingkatkan sehingga lebih maju berbanding yang dimiliki oleh AS sendiri, selain dijangka bakal menjadi negara kedua di Asia Barat selepas Israel memperolehi pesawat generasi terbaharu F-35.

Dari sudut imej dalam kalangan negara Islam, Emiriyah tidak menanggung beban dan kesan daripada aliran Wahabi yang dipegang Arab Saudi selama ini sehingga menjejaskannya di dunia Islam, walaupun pada kadar yang terhad.

Fahaman Wahabi yang disebar Riyadh sejak lebih empat dekad lalu telah mencetuskan pelbagai ketegangan dan kekacauan di seluruh dunia Islam, dari Afrika hingga ke Asia Tenggara.

Sebahagian besar dunia Islam berpegang pada mazhab berbeza daripada yang menjadi pegangan Arab Saudi, dan mengambil pendekatan berbeza menurut keadaan setempat masing-masing, dan kemasukan Wahabi telah banyak mengganggu kestabilan di banyak negara Islam.

Di Pakistan misalnya, penyebaran aliran Islam yang didanai dan disokong Saudi telah dikaitkan dengan kecenderungan militan, sehingga madrasah di Pakistan disebut sebagai kilang militan yang disuburkan oleh dana dan ideologi dari Arab Saudi.

Abu Dhabi, berbeza dengan Saudi selama ini – sehingga Raja Salman Abdul Aziz dan anaknya Mohammed bin Salman berkuasa – apabila membawa dasar luar yang mengangkat apa yang disebut ‘Islam Moderat’, iaitu tafsiran Islam yang lebih liberal dan direstui oleh Barat.

Pendekatan ini menekankan hubungan baik dengan agama-agama lain atau pluralisme, pendekatan dialog serta lebih memberi fokus pada kegiatan intelektual, pendekatan yang berbeza dengan kegiatan Islam politik.

Kini, Riyadh sendiri telah mengikuti program Abu Dhabi ini apabila mula menunjukkan proses perubahan ke arah lebih liberal, dan alam masa yang singkat melalui tindakan pelonggaran sekatan yang dikenakan ke atas aktiviti wanita dan hiburan di dalam negara.

Emiriyah pada masa sama menyokong aktiviti sufi yang telah bergiat aktif di seluruh dunia Islam termasuk Malaysia, yang mengemukakan pendekatan tidak berkonfrontasi, menumpukan pada ibadah selawat dan qasidah yang berjaya menarik penyertaan ramai.

Pendekatan ini memberi alternatif kepada penglibatan dalam gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin yang dimusuhi Abu Dhabi dan ada kalanya dilihat sebagai sukar atau berisiko dan membawa kepada perpecahan oleh sesetengah anggota umat Islam.

Dasar luar sekular Emiriyah pada masa sama mempunyai instrumen agama melalui aktiviti sufi seperti ini, yang telah beberapa kali menarik tokoh-tokoh agama sedunia dalam persidangan-persidangan berprestij tajaan Abu Dhabi.

Ini memberi satu peluang dan instrumen berkesan dalam melaksanakan agenda dasar luar Emiriyah, melalui peranan kepimpinan dalam dunia Islam yang berpotensi diperolehi melalui pendekatan ini.

Pada masa sama, Emiriyah juga, ekoran saiz negaranya dan kerajaan dan keluarga raja yang lebih kecil berbanding Saudi, berupaya menguruskan hal dalaman dan membuat keputusan dengan lebih pantas dan mudah, tanpa menimbulkan isu dalaman seperti yang mudah berlaku pada Riyadh.

Dominasi Abu Dhabi ke atas Dubai dan emiriyah lain yang keluarga emirnya lebih kecil dan kurang berpengaruh juga membolehkan pembuatan keputusan yang lebih mudah.

Peranan aktif Putera Mahkota Mohammed bin Zayed al-Nahyan selama ini telah menunjukkan peranan Abu Dhabi ini, yang kini telah kelihatan dalam mempengaruhi tindakan dan perubahan Riyadh.

Emiriyah muncul sebagai kuasa penting yang menamatkan gelombang kebangkitan rakyat yang digelar ‘Arab Spring’ dan kelihatan telah mengukuhkan kedudukan di negara-negara di mana sekutu dan proksinya bersaing dalam merebut kuasa pemerintahan.

Negara kecil ini kini telah menunjukkan dengan jelas sekali nilainya sebagai sekutu yang boleh diharapkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat dan sekutunya dalam menangani perkembangan di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.-harakahdaily 1/2/2018

- Advertisement -