Guru PASTI pembantu agama Allah -Sahar

- Advertisement -
SANDAKAN: Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah pembantu agama Allah yang bertugas menyampaikan risalah Islam sekali gus merupakan elemen penting kepada PAS, demikian menurut Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid.
 
Katanya, perjuangan PAS tidak akan kuat tanpa ada sokongan guru PASTI, sebagaimana bangunan yang tidak kukuh tanpa adanya sokongan pelbagai bahan seperti besi, simen, air, pasir, bata dan lain-lain.
 
“Bukan senang kita menggalas amanah ini kerana semuanya akan ditanya di akhirat. Justeru gerakan ini perlu disaduri dengan ukhuwah Islamiyah agar dalam setiap hela nafas perjuangan adanya sahabat-sahabat yang bersama jatuh bangun perjuangan ini.
 
“Seorang mukmin akan berasa sakit bila saudaranya sakit kerana di dalamnya ada kasih sayang sesama mereka dan tanpa ukhuwah ini tidak mungkin guru PASTI mampu galas amanah yang dipikul,” ujarnya.
 
Beliau berucap demikian pada majlis perasmian dan penutupan Kursus Nurul Quran Peringkat Zon Sandakan anjuran Jabatan PASTI Negeri Sabah di sini semalam. 
 
Sahar juga mengajak untuk menjaga hubungan dengan Allah di mana tidak akan mampu bertahan lama sebagai guru seandainya perkara itu tidak dijaga dan tanggungjawab mendidik anak bangsa tidak dapat dilaksanakan secara baik tanpa faktor tersebut.
 
Beliau mengambil kesempatan tersebut mengingatkan guru PASTI untuk membantu kerja pilihan raya memandangkan gendang PRU yang makin hampir.
 
“Kalian bukan hanya guru PASTI, tapi juga berperanan sebagai petugas pilihan raya yang akan memenangkan PAS di dalam PRU akan datang,” serunya.
 
Hadir sama Ketua Majlis Guru PASTI Malaysia, Saadiah Abu Bakar; Pengerusi PASTI Sandakan, Heryanto Ladatih dan Ketua Majlis Guru PASTI Sandakan, Juriah Salamun serta Ahli Jawatankuasa PASTI yang lain. -HARAKAHDAILY 29/1/2018
- Advertisement -