PAS Paya Besar himpun jentera Pra Fastaqim 2.3

- Advertisement -
PAYA BESAR: Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan Himpunan Pra Fastaqim 2.3 di Pusat Tarbiyah PAS Darus Salam, Permatang Badak, di sini semalam.
 
Biarpun dalam hujan lebat, anggota jentera membuktikan keteguhan mereka menekuni taujihat dan amanat kepimpinan tanpa berganjak sedikitpun.
 
Yang DiPertua PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya berkata, pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya memenangi satu Dun dengan kekuatan 1,000 anggota jentera.
 
Program tersebut merupakan persediaan mengimarah Himpunan Fastaqim 2.3 PAS Negeri Pahang yang akan berlangsung pada 20 Januari depan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
 
Himpunan mega menjelang PRU14 itu mensasarkan penyertaan 12,000 anggota jentera dari seluruh kawasan dalam negeri tersebut bagi merealisasikan misi PAS Terajui Pahang.
 
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang menyampaikan ucaptama pada himpunan semalam menegaskan, PAS akan bertanding lebih 38 kerusi bagi menjayakan misi tersebut.
 
Menurut beliau, kini kepimpinan PAS Pahang komited menjelajah ke seluruh negeri itu untuk menyuntik semangat ahli-ahli PAS supaya bekerja kuat mencapai kemenangan.
 
“Sekiranya berlaku (pertandingan) tiga penjuru, para jentera jangan merasa lemah. Orang Melayu akan melakukan perubahan pada PRU kali ini kerana mereka sudah kecewa dengan kerajaan yang ada hari ini.
 
“Mereka kecewa dengan situasi pembentukan negara yang semakin lama semakin teruk, dan mereka memilih PAS. Mereka tidak akan pilih parti-parti yang serupa dengan parti lama,” ujarnya penuh semangat.
 
Pada himpunan itu, Ustaz Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur telah merasmikan As-Sabiqun PAS Paya Besar diketuai Pengerusi As-Sabiqun PAS Pahang, Ustaz Ismail Muhammad atau lebih dikenali sebagai Ayah Ngah.
 
Turut memberikan taujihat pada himpunan itu adalah Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohammad Hazmi Dibok dan selebriti, Bob Lokman. – HARAKAHDAILY 12/1/2018
- Advertisement -