Parti Mat Taib tinggal tak jejas

Subki 2
- Advertisement -

SAYA masih gundah dengan tindakan Tan Sri Muhamad Muhammad Taib keluar PAS sekalipun sudah lebih dua tahun berlalu.

- Advertisement -

Demikianlah kasihnya kita kepada orang PAS tak kira berdarjat tinggi dan rendah.

Mungkin tidak sama kasih itu dibandingkan dengan kasih Rasulullah SAW kepada umatnya. Kalimah akhir sebelum wafat baginda memisikkan “Ummati! Ummati!” Demikian tingginya kasih seorang nabi kepada umatnya. {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Sekalipun tidak sama dan payah disamakan dengan cinta Nabi itu, saya mengambil semangat itu demi kasih saya kepada orang PAS termasuk Mat Taib yang hanya beberapa tahun saja jadi PAS.

Mungkin saya tidak sama dengan orang PAS lain. Jika ikut hati saya, saya mahu bawa balik dia dalam PAS sekalipun dengan kemasukan semula itu menambah tohmah orang tentang tidak stabil pendiriannya dengan parti-parti politik yang pernah disertainya. Kita tahu apa orang kata tentang lompat dari satu parti ke parti lain.

Tetapi tiada apa yang dimalukan kiranya sesudah mengembara jauh, kembali semula kepada parti yang betul-betul mewakili jamaah Islam di wilayah kita ini. Nabi barsabda kepada Huazaifah ibni Yaman bermaksud, lebih baik menggigit perdu dan akar kayu. Jangan sama sekali menyertai jamaah tidak Islam.

Mat Taib adalah pernah jadi orang penting dalam Umno. Semua menteri besar Selangor selepas Dato’ Harun Idris tidak dapat memudahkan nama pemimpin Selangor itu, tetapi Mat Taib dapat mengimbangi namanya. Bukan saja jadi naib presiden Umno lebih daripada sekali, tetapi dia adalah timbalan presiden Umno bagi menggantikan Najib yang jadi presiden.

Dia kalah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kemudian mari kita ikut sejarahnya. Dia  tinggalkan Umno. Kemudian dia tinggalkan PAS. Kemudian dia tinggalkan PKR. Akhirnya dia tinggalkan pula PKR kembali semula ke pangkuan Umno.

Adakah apa-apa kesan pada pari-parti yang ditinggalkannya?

Tidak nampak apa-apa yang menjejaskan Umno apabila dia keluar Umno.  Orang besar Umno yang meninggalkan Umno biasanya sedikit sebanyak menggoyangkan Umno.

Dalam  sejarah orang besar Umno meninggalkan Umno seperti Dato’ Onn Jaafar, Cikgu Mohd Nor Ahmad, ketua Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung, Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin.

Umno belum berkuasa ketika Dato’ Onn meninggalkan Umno. Dato’ Onn adalah menteri dalam negeri pada zaman penjajah. Semua menteri besar dan orang besar adalah Umno. Dato’ Onn menubuhkan parti sendiri. Semua menteri besar dan orang besar ikut Dato’ Onn. Tun Abdul Razak Hussein yang jadi setiausaha kerajaan Pahang kekal dalam Umno.

Memang Umno retak. Nasib Umno baik tak seekor pun penyokong Dato’ Onn menang pilihan raya 1955.

Selepas merdeka atas isu bahasa Melayu dan sekolah Melayu semua guru-guru Melayu dalam Umno keluar Umno dipimpin oleh Cikgu Mohd Nor Ahmad dari Pulau Pianng yang menjadi orang penting Umno sejak zaman Dato’ Onn. Cikgu Ghafar Baba saja tak keluar.

Gara-garanya Umno kalah di Terengganu dan Kelantan dalam pilihan raya pertama 1959. Tunku Abdul Rahman Putra ke Terengganu, tiada yang sambut, tapi Cikgu Mohd Nor pergi beribu orang menyambutnya.

Ramai orang Umno masuk PAS hingga ia kalah di Kelantan dan Terengganu.

Hujung tahun 1980-an Mahathir menang tipis ke atas Tengku Razaleigh sebagai presiden Umno. Gara-garanya Umno diharamkan. Mahathir bentuk partinya Umno (Baru), Ku Li tidak dibenarkan serta.

Separuh ahli Umno sekitar 700,000 berssama Ku Li tidak sertai Umno. Tunku dan Tun Hussein Onn tidak bersama Umno (Baru). Tercicirnya Ku Li dari Umno, dia tubuh Semangat 46. Ia hampirr menumbangkan BN. Sekalipun BN menang lagi dalam PRU 1990 ia kalah di Kelantan – sifar Dun dan sifar Parlimen.

Hujung 1990-an Anwar Ibrahim dipecat dari Umno – gugur jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno. Gara-garanya penyokong Anwar melancar gerakan Reformasi dan menubuhkan PKR. Ribuan meninggalkan Umno dan ribuan bukan Melayu meninggalkan BN. Sampai hari ini Anwar menjadi ancaman kepada Umno.

Sekonyong-konyong Mat Taib keluar Umno dan menyertai PAS. Ia adalah berita besar kerana dia adalah calon timbalan presiden menentang Muhyiddin. Masa dia keluar Umno, sudah lama Selangor diperintah Pakatan Rakyat.

Tindakannya  tidak menimbulkan gelombang dalam Umno.  Tidak diketahui siapa dan ramai mana orang Umno mengikutnya masuk PAS. PAS menyambutnya dan mengatur majlis ceramah meraikannya. Sambutan ada tetapi mungkin kemasukan Dato’ Muslim Othman, exco Kedah lebih panas di serata negeri.

Keduduka dalam Umno Mat Taib lebih kanan dari Dato’ Muslim. Jika bukan Mahathir jadi perdana menteri dan presiden Umno, Kedah boleh tergugat dengan PASnya Dato’ Muslim.

Tapi Mat Taib kurang bertenaga dibandingkan lain-lain tokoh yang keluar Umno.

Biasanya pemimpin yang menyertai PAS diberi kedudukan baik dalam PAS. Dato’ Raja Hanipah, orang kuat Umno Negeri Sembilan dapat jadi naib yang dipertua agung PAS pada zaman Dato’ Asri Muda dan jadi ahli Parlimen PAS di Kelantan tahun 1957.  Dato’ Muslim jadi ahli Jawatankuasa PAS Pusat beberapa penggal dan jadi timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.

Dato’ Hishamuddin Yahya, seorang ahli Parlimen BN di Pahang dilantik beberapa penggal dalam Jawatankuasa PAS Pusat dan pernah memangku setiausaha agung.

Mat Taib masuk PAS, saya sudah tidak ada dalam barisan pimpinan PAS. Saya tidak tahu mengapa dia tidak diketengah dalam PAS Pusat bahkan PAS negeri Selangor. Mungkin juga masa datangnya dalam PAS itu PAS sedang bergolak untuk menyingkirkan kepimpinan ulama dan kesibukan itu mugkin beliau tidak dapat mendekatkan diri dengan mana-mana pihak.

Apapun penampilannya dalam PAS tidak begitu ketara.

Bila sekumpulan pimpinan PAS gagal merampas kuasa dalam PAS lalu meninggalkan PAS, Mat Taib keluar PAS juga tetapi dia tidak ikut menubuhkan parti Islam progresif, sebaliknya menyertai PKR.

Bila dia keluar PAS tidak diketahui PAS jejas kerananya. PAS jejas oleh orang yang menubuhkan parti baharu tetapi tidak diketahui berapa orang PAS mengikutnya masuk PKR.

Orang PKR yang dikenalnya Anwar Ibrahim, tetapi masa itu Anwar tinggal di Sungai Buloh.  Tidak juga nampak ada gelombang atas kemasukannya dalam PKR. PAS tak terasa rugi dan PKR pun tak terasa untung sangat. Adanya macam tak ada.

Maka Najib yang semput politiknya bawa dia balik ke dalam Umno mungkin bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Mahathir dan Muhyiddin.
     
Ribut Umno atas keluarnya Mahathir dan Muhyiddin amat ketara dibandingkan Mat Taib meninggalkan Umno dulu.

Sudah sebulan dia pulang ke gagang tiada kelihatan gelombang atas kepulangannya. Tidak diketahui apa sudah dia buat bagi mengembalikan Umno ke dalam kerajaan. Gelombang Tan Sri Noh Omar dan Dato’ Seri Jamal Yunos saja yang ketara.

Jangan PKR tak jejas setakat ini, Umno pun tak pasti untung. – HARAKAH 21/10/2017 {/mprestriction}

- Advertisement -