Catatan diari dari kem pelarian Rohingya

- Advertisement -

KALI ini saya berkesempatan bersama 20 anggota rombongan PAS Relief berada di Kem Pelarian Rohingya di beberapa kem di Cox Bazar, Bangladesh.

- Advertisement -

Pengalaman bersama pelarian Rohingya kali ini antara yang paling bermakna dalam hidup saya dan ia sangat menyentuh hati saya.

Hati saya dan anggota rombongan sangat tersentuh melihat anak-anak kecil mengerumuni kami setiap kali turun dari kenderaan van yang kami sewa membawa perasaan hiba yang sangat. Anak-anak yang kelaparan ini akan mengekori kami dan merayu diberi apa sahaja makanan yang ada.

Tangisan rayuan mereka menyebabkan kami sebak dan kasihan.

Ada ibu yang baru bersalin dan masih dalam pantang dengan mendukung anak kecilnya berbaris berjam-jam bagi mendapatkan makanan dan keperluan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak. Ratusan ibu yang menggendong bayi yang masih kecil sambil mengheret anak-anak lain bergerak ke sana ke mari mencari tempat perlindungan. Kebetulan sewaktu kami di sana hujan turun hampir setiap hari.

Saya sempat dibawa ke sebuah madrasah sementara yang digunakan bagi mendidik anak-anak kecil belajar dan menghafal al-Quran.

Riuh-rendah suara mereka mengaji. Inilah penawar duka lara mereka. Mereka kehilangan ayah ibu, rumah dan kampung halaman. Namun mereka tidak berpisah dengan iman.

Inilah nilai keimanan yang mereka ada. Hijrah meninggalkan negara bagi menyelamatkan nyawa dan aqidah yang mereka pegang.

Saya dibawa ke dua buah sekolah yang dibiayai oleh penyumbang Malaysia melalui PAS Relief.

Insya-Allah sekolah ini hanya mampu menampung sekitar 80 pelajar daripada ribuan anak kecil yang sangat dahagakan ilmu.

Alhamdulillah, terdapat pelbagai badan dari pelbagai negara yang terus menyumbang bakti kepada pelarian Rohingya ini.

Tindakan menggunakan Tentera Bangladesh bagi mengawal agihan adalah satu tindakan yang tepat.

Ini kerana dalam suasana kelaparan dan jumlah pelarian hampir sejuta orang, suasana kecoh, berebut dan bergaduh tidak dapat dielakkan.

Semua letih dan lapar.

Namun dengan kawalan pihak tentera dan sistem kupon yang diperkenalkan, ia berjaya mengatasi permasalahan tersebut.

Saya juga berjumpa beberapa orang imam yang berjamaah di masjid kem pelarian. Mereka menceritakan bagaimana musnahnya masjid dan surau yang dibakar.

Sikap anti Islam sangat ketara, bila kedai dan restoran yang dimiliki oleh orang Islam dirampas oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan, dan diganti dengan pemilik baru.

Isu utama kini ialah berapa lama mereka akan berada di kem ini. Apakah nasib mereka akan seperti bangsa Kurdi, yang tidak bernegara? Atau nasib mereka terus akan jadi pelarian?

Selagi tiada tindakan konkrit selagi itulah nasib mereka tidak menentu.

Apakah tindakan PBB, OIC atau ASEAN bagi mengatasi kemelut yang sangat kejam oleh pengganas di Myanmar di abad moden ini?

Mencabut pingat dan gelaran kepada Aung San Suu Kyi bukanlah tindakan yang dapat membantu kaum Rohingya. Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif untuk mendesak PBB, OIC dan ASEAN untuk mengambil tindakan proaktif menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan kepada kaum Rohingya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Catatan 13 Okt 2017 – HARAKAHDAILY 13/10/2017

Screenshot

cx1

Screenshot1

- Advertisement -