Keluar dari peminggiran, ke mana haluan dasar luar Sudan?

- Advertisement -

SUDAN memiliki satu kedudukan penting dalam dunia Arab dan Islam, salah satu yang utama dalam strategi negara-negara serantau untuk menghadapi Israel, memainkan peranan sebagai pangkalan bagi pelbagai keperluan termasuk pembuatan senjata.

- Advertisement -

Dari segi geografi, Sudan berada di laluan sungai Nil sebelum aliran ke Mesir, memiliki wilayah yang luas dan bersempadan antaranya dengan Libya dan Mesir di utara, dan Laut Merah di sebelah timur.

Dari segi politik, Sudan sentiasa berada di kedudukan terpinggir, akibat haluan politik antarabangsa yang dipilihnya, terutamanya melibatkan pakatan dengan negara-negara serantau dan global.

Sudan pernah berperanan sebagai kawasan strategik bagi Mesir dalam perangnya dengan Israel, dan sejak lama menjadi satu pangkalan penting bagi Iran untuk membantu sekutunya di Palestin, Hamas di Gaza dengan membekalkan senjata.

Sudan dan Iran meningkatkan kerjasama ketenteraan sejak 2008, dan Iran turut merancang membina pangkalan tentera laut di Pelabuhan Sudan, menjelaskan kepentingan strategik Sudan sebagai negara di “belakang” Mesir, berkedudukan penting di Afrika dan bersempadan Laut Merah.

Tetapi haluan dasar luar Sudan kelihatan menampakkan satu perubahan yang radikal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, memberi gambaran kesediaan pemerintah negara ini untuk bersikap lebih pragmatik dan mengutamakan kepentingan rejim dan negara.

Jumaat 6 Oktober lalu, Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Trump mengumumkan secara rasmi menamatkan beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Sudan – walaupun masih melabel Sudan sebagai negara penaja keganasan – meneruskan satu dasar baharu yang dimulakan semasa tempoh pentadbiran Obama.

Rundingan antara Sudan dengan AS bermula semasa tempoh Obama, yang kini diteruskan dan ditingkatkan di bawah Presiden Donald Trump.

Perkembangan ini memberi satu isyarat perubahan yang besar, selepas siri perkembangan yang agak luar biasa sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Jabatan Negara AS, Khartoum telah menunjukkan kesediaan untuk memulihkan keadaan dalam negara dan membantu dalam kestabilan serantau, dan perubahan lebih positif bakal menyusul apabila sikap yang dikehendaki ditunjukkan.

Sudan telah lebih dua dekad berdepan tekanan AS dan sekutu, ekoran hubungan Khartoum dengan individu dan kumpulan yang dikait dengan keganasan, dan tekanan ini terus meningkat ekoran beberapa isu termasuk Darfur dan hubungan dengan Iran.

Sebahagian besar perubahan ini boleh dikaitkan dengan tekanan dihadapi Presiden Sudan Omar Hassan Ahmad al-Bashir kelihatan membuat beberapa pilihan sukar akibat kedua-dua tekanan politik dalaman dan luaran.

Sudan berdepan masalah ekonomi akibat sekatan dikenakan, dan ditambah dengan pemisahan Sudan Selatan yang kaya minyak pada Julai 2011, mengurangkan sumber pendapatan kritikal Sudan.

Omar Bashir juga telah didakwa bertanggungjawab atas pembunuhan di Darfur sejak 2003, dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap ke atas beliau.

Khartoum hanya terselamat hasil hubungan baiknya kebelakangan ini dengan Arab Saudi, Qatar dan negara-negara Arab di Teluk Parsi, yang merupakan kuasa-kuasa berpengaruh di dunia Arab dan juga sekutu kuat AS.

Sebelum 2015, Sudan tidak menikmati hubungan baik dengan Saudi dan negara-negara Arab, yang berpunca daripada sikap Khartoum tidak bersama pakatan Saudi semasa Perang Teluk awal 1990-an.

Sudan pada hujung 2015 dilaporkan menerima lebih AS$2 bilion daripada Riyadh dan Doha, bantuan yang boleh disifatkan sebagai ganjaran kepada Khartoum yang memilih untuk bersama kem Saudi dan sekutu, mengorbankan hubungan dengan sekutu lama, Iran.

Sudan juga menjangka pelaburan-pelaburan baharu daripada Arab Saudi ekoran pemulihan  hubungan ini.

Sudan pada masa itu juga telah terlibat menyertai kempen ketenteraan diketuai Saudi di Yaman, yang dianggap sebagai satu perang untuk menyekat kemaraan pengaruh Iran di dunia Arab.

Hubungan baik Sudan-Iran ini mencetuskan kebimbangan AS, Israel dan negara-negara Arab yang berhubungan baik dengan negara-negara tersebut.

Melalui kemudahan dimiliki Iran di Sudan, Hamas dapat dibantu dengan pembekalan senjata dalam konflik bersenjata dengan pihak Zionis.

Pada 2012, Israel telah menghantar pesawat tentera mengebom sebuah kilang senjata di Sudan, yang dipercayai dimilik Iran, bagi memenuhi keperluan persenjataan di Palestin yang dibekalkan melalui penyeludupan melalui Mesir.

Satu perkembangan yang memulakan perubahan hubungan Khartoum-Tehran berlaku pada 2014, apabila kerajaan Sudan menutup pusat kebudayaan Iran di negara itu, memberi alasan penyebaran Syiah.

Sejak itu, hubungan Sudan dengan sekutu lama itu semakin terjejas, ditambah dengan kenyataan-kenyataan Omar Bashir mengkritik Iran dan menuruti pendirian Riyadh dalam isu serantau, memperlihatkan kesungguhan Khartoum untuk membebaskan diri dari peminggiran dan meraih bantuan kewangan, pelaburan dan sokongan politik negara-negara Arab kaya dan berpengaruh.

Akhirnya, pada Januari 2016, mengambil kesempatan daripada isu hukuman mati ulama Syiah di Arab Saudi, Khartoum mengumumkan memutuskan hubungan dengan Tehran, dengan pasti memasuki kem Saudi.

Satu lagi perkembangan penting ialah kenyataan dari Khartoum tentang normalisasi hubungan dengan Israel, yang dibincangkan satu jawatankuasa hubungan luar Sudan pada Januari 2016.

Ogos lalu, menteri pelaburan Sudan, Mubarak al-Fadil al-Mahdi menggesa pemulihan hubungan dengan Israel, sambil mengatakan pandangan berbaik dengan Israel itu dikongsi oleh elit pemerintah Sudan pada masa kini.

Kenyataan menteri Sudan itu ialah kenyataan paling jelas menampakkan perubahan dasar luar Sudan, yang dimulakan melalui kemerosotan hubungan dengan Iran pada 2014 dan peningkatan dramatik hubungan dengan Saudi dan Arab Teluk pada tahun berikutnya.

Sudan telah berada di kedudukan sukar ekoran persaingan kuasa di dunia Arab, terutama melibatkan blok negara-negara pro-AS dan Saudi dengan kelompok negara pro-Iran.

Tekanan kuat dihadapi Sudan sejak dua dekad lalu dan semakin hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mendorong Khartoum mengambil langkah pragmatik demi kepentingan tersendiri.

Iran berdepan satu kerugian besar ekoran kehilangan Sudan dari senarai sekutu pentingnya, ekoran peranan strategik Sudan dan kedudukan yang telah dibina sejak sekurang-kurangnya hampir 10 tahun lalu.

Dasar luar baharu Sudan ini menunjukkan siri perkembangan terkini serantau, termasuk pengukuhan Kurdistan Iraq yang memberi kelebihan kepada Israel, hasil perubahan sikap terhadap negara Zionis, perpecahan negara Islam dan potensi ketidakstabilan yang boleh memberi kelebihan kepada Israel.–HARAKAHDAILY 11/10/2017

- Advertisement -