PAS konsisten calonkan wanita dalam PRU14

KUALA NERUS: Dewan Muslimat PAS Malaysia dijangka akan meletakkan lebih ramai calonnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.
 
Ketuanya, Ustazah Nuridah Salleh berkata, soal pencalonan Muslimat dalam pilihan raya sudah ada dalam ketentuan Allah S.W.T.
 
“Yang pasti dalam ilmu Allah sudah ada dan dalam jumlah yang selesa, untuk kepastian tunggu pilihan raya,  Insya-Allah. Dia tidak kurang daripada jumlah-jumlah yang telah lepas,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Fastaqim 2.0 (H200K), di Pantai Peranginan Tok Jembal, di sini 28 September lalu.
 
Menjawab pertanyaan media sama ada perlu calon wanita diketengahkan oleh PAS, katanya, bukan sahaja perlu tetapi mesti ada dengan jumlah yang agak manasabah termasuk di Sabah dan Sarawak.
 
“(Calon) Bukan masalah perlu tetapi memang kena ada, jumlah yang munasabah, ramai (termasuk) Sabah, Sarawak semua sekali,” jelasnya.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, pimpinan tertinggi PAS Pusat juga berhasrat menambahkan calon wanita pada PRU14.
 
Beliau menjelaskan, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menyatakan hasratnya agar parti dapat menampilkan lebih ramai calon Muslimat berbanding pada PRU yang lalu.
 
Menurut beliau, pada  PRU13 lalu lebih kurang 25 Muslimat yang bertanding untuk Dun dan Parlimen di seluruh negara.
 
“Jadi sikap terbukaan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru (Abdul Hadi) itu kami cukup sanjungi, kami sambut dengan baiklah, Insya-Allah.
 
“Dewan Muslimat PAS di semua peringkat dari Pusat sampailah Negeri dan Kawasan ramailah tokoh-tokoh kepimpinan Muslimat yang layak untuk menjadi calon ini termasuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan kita boleh tampilkan,” tegasnya.
 
Ustazah Wan Hasrina berharap pertimbangan agar itu bukan hanya di peringkat PAS Pusat tetapi di negeri juga perlu diberi laluan kepada Muslimat. – HARAKAHDAILY 29/9/2017