Tambak laut bakal jejaskan Pantai Umbai, Melaka?

- Advertisement -

HUJAN menjadi trauma baharu rakyat negeri Melaka berikutan banjir yang semakin kerap melanda penempatan penduduk sejak kebelakangan ini. Kebimbangan tersebut sememangnya berasas setelah beberapa perkampungan dan perumahan turut dinaiki air, sedangkan sebelumnya tidak pernah mengalami bah.

- Advertisement -

Ketika sama pernah didedahkan pihak media mengenai pencerobohan berleluasa di Perairan Selat Melaka oleh kegiatan penyangak yang mencuri pasir. Sindiket ini menempatkan kapal korek, jengkaut pemunggah dan jentera penyembur di kawasan antara 5 hingga 10 batu nautika berhampiran Tanjung Kling.

Walaupun telah beberapa kali menghadapi tindakan pihak penguatkuasa sejak tahun lalu, namun mereka tetap aktif melakukan kerja pengorekan pasir tanpa permit yang sah. Terbaru dilaporkan kapal korek pasir dikesan beroperasi secara haram dan ditahan penguatkuasa di 1.4 batu nautika Tenggara Pulau Upeh.

Semua ini merupakan tanda-tanda yang meningkatkan lagi kekhuatiran penduduk yang mendiami sekitar kawasan Pantai Umbai, Serkam. Mereka sedar terhadap risiko dan kemungkinan dari kerja tambakan laut dan pembangunan persisiran pantai itu di mana tetap dilaksanakan biarpun terdapat pelanggaran undang-undang yang memusykilkan.

Lebih-lebih lagi dimaklumkan bahawa rancangan asal yang terdapat di dalam Pelan Induk Pembangunan Pelabuhan Negeri Melaka (PIPPNM) itu telah berubah. Dari hanya pelabuhan perikanan, kini akan dibina juga pelabuhan bagi industri kilang kaca berteknologi tinggi terbesar Asia dengan melibatkan kawasan penempatan.

Tiada sebarang kepastian bahawa perubahan pembangunan tersebut akan berlaku secara mampan serta tidak menimbulkan sebarang implikasi negatif kepada kehidupan awam dan kelestarian alam sekitar. Jaminan inilah yang amat diperlukan warga penduduk dari Ketua Menteri, Dato’ Seri Idris Haron.

Namun hingga hari ini, yakni setelah sebulan berlalu, keresahan mereka masih belum diredakan, walaupun Datuk Seri Idris sendiri berjanji untuk memberikan penjelasan.  Sewajarnya, Seri Negeri tidak memerlukan tempoh begitu lama untuk ‘menyediakan jawapan’ jika benar rancangan tersebut selaras PIPPNM.

Malah, jika Ketua Menteri boleh memberi jaminan perkampungan Portugis tidak akan terjejas kesan projek tambakan laut, mengapa sukar menjanjikan jaminan serupa kepada penduduk Pantai Umbai? Idris juga pada awal tahun ini telah mengakui kesan tambakan kepada ekosistem dan mengarah kerja-kerja mendalamkan laut dilakukan.

Bermakna, akibat projek tambakan laut seperti di Pulau Melaka dan Klebang telah disedari dan menampakkan kesannya. Bahkan, perubahan kepada hidrodinamik laut dan geomorfologi pantai merupakan fenomena sedia dimaklumi. Di mana ia sekali gus turut mempengaruhi habitat semulajadi ikan di sekitar perairan.

Natijahnya, beratus nelayan kecil telah hilang mata pencarian rezeki dan berkurangnya kegiatan perikanan persisiran pantai yang popular menghasilkan makanan tradisi Melaka iaitu cencalok. Malah ramai percaya, perubahan alam disebabkan pembangunan rakus itu menyumbang punca kepada banjir yang melanda.

Situasi tersebut tentunya menjadi ancaman baharu yang boleh menjejaskan banyak kepentingan dan masa depan negeri. Oleh itu, Kerajaan Negeri Melaka harus mengambil iktibar dengan tidak mengulangi kesilapan lampau. Jangan nantinya jadi seperti kata pepatah, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran”.

ABU KHIR ABU BAKAR
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka
31 Ogos 2017 | 9 Zulhijjah 1438 – HARAKAHDAILY 31/8/2017

- Advertisement -