Sambutlah dengan jiwa yang merdeka

- Advertisement -

MALAYSIA mencapai hari kemerdekaannya yang ke-60 pada 31 Ogos 2017 ini dengan membawa tema kebangsaan “Negaraku Sehati Sejiwa”. Detik ini sangat bermakna buat seluruh warga Malaysia tidak mengira bangsa dan agama dalam kita mengecapi nikmat kebebasan yang dikurniakan oleh Allah SWT.

- Advertisement -

Hari ini, kita diberi peluang menghirup udara kebebasan yang didambakan oleh semua insan. Negara yang mahu dibangunkan selepas fasa kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Jasa,bakti dan pengorbanan menjadi bayaran yang tidak ternilai demi membangun generasi selepas merdeka.

Islam menggariskan tatasusila dan adab-adab dalam meraikan rasa kebebasan dan keselamatan. Hari Kemerdekaan diwujudkan untuk memanifestasi rasa syukur atas nikmat kebebasan dan menghargai pengorbanan generasi terdahulu. Sambutan kemerdekaan lebih bermakna dengan mengekalkan nilai kesopanan dan penuh rasa kesyukuran di samping semangat mencintai negara.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah melaksanakan solat hajat perdana dan program bermanfaat agar Hari Merdeka bukanlah hanya pada sambutan yang meriah tetapi mendidik rakyat agar lebih dekat dengan Tuhan atas pemberian nikmat ini. Disamping itu, marilah kita berdoa untuk kemerdekaan di negara-negara umat Islam seluruh dunia agar keamanan dapat dikecapi oleh mereka.

Justeru itu,Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-60 buat seluruh anak Malaysia sama ada yang berada di Malaysia atau jauh di perantauan. Sematlah sikap yang harmoni dan menjaga imej baik negara selaras tuntutan syariat Islam tanpa mencemarkan nilai dan adab-adab murni.
 
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
31 Ogos 2017
9 Zulhijjah 1438 H – HARAKAHDAILY 31/8/2017

- Advertisement -