Bendera Indonesia: Kesilapan yang tidak sepatutnya

- Advertisement -

KESILAPAN mencetak bendera Indonesia di dalam buku cenderamata Pembukaan Rasmi Sukan SEA 2017 Sabtu baru-baru ini tidak seharusnya berlaku, demikian menurut Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman.

- Advertisement -

Katanya, Malaysia selaku tuan rumah yang menganjurkan sukan berprestij seperti Sukan Sea ini seharusnya menyemak dan meneliti sebaiknya demi menjaga imej negara.

“Semua orang menunggu saat-saat pembukaan Sukan Sea yang penuh gilang gemilang, tiba-tiba dikesali dengan isu bendera Indonesia yang dicetak terbalik. Apakah pihak kementerian tidak membuat semakan dengan teliti di dalam perkara ini?

“Setelah 60 tahun kita mencapai kemerdekaan beginikah kualiti dan cara kerja menteri kita yang telah melalui zaman awal sampai ke zaman moden celik IT, berpelajaran  tinggi masih boleh membuat kesilapan seperti begini” soalnya kepada Harakahdaily.

Jelasnya, walaupun insiden tersilap cetak adalah kesilapan dari segi teknikal namum ia boleh mengundang ketidakpuasan hati pihak Indonesia apatah lagi rakyat mereka yang mempunyai berbagai-bagai tanggapan terhadap Malaysia.

“Hubungan kita dengan negara jiran terdekat perlu di jaga dalam pelbagai aspek lebih-lebih lagi mereka menyertai sukan ini. Mungkin di antara pemimpin kedua belah negara sudah sepakat untuk berdamai tetapi apakah itu boleh menjadi penawar kepada ratusan juga rakyatnya.

“Perlu diingat apa-apa kesilapan yang dilakukan menjadi isu utama di kalangan netizen yang bukan untuk menjernihkan keadaan sebaliknya menyimbah minyak sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat dua-dua negara. Masing-masing menunding jari sehingga isu lama pula dibangkitkan,” tambahnya.  

Lagipun katanya, bendera bukan sekadar sehelai kain, tetapi ia adalah lambang kedaulatan dan kewujudan sebuah entiti, sama ada organisasi, negeri, atau negara.

Bagaimanapun beliau memuji tindakan pantas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin meminta maaf secara terbuka sebagai usaha untuk menjaga hubungan baik di antara Malaysia dan Indonesia.

“Begitu juga sikap Jokowi yang kecewa tetapi cepat-cepat menasihatkan rakyatnya agar tidak memperbesar-besarkan isu ini,”katanya.

Justeru katanya, di masa akan datang Malaysia selaku tuan rumah di dalam apa jua acara sekalipun agar tidak lagi mengulangi kesilapan yang dilihat kecil tetapi boleh mengguris peserta sukan termasuk rakyat negara terbabit.

“Saya berharap agar di masa akan datang kesalahan yang di anggap kecil seperti begini tidak berulang lagi demi menjaga persahabatan antara semua negara, kata pepatah yang berat sama kita pikul yang ringan kita jinjing. Antara Kuala Lumpur dengan Jakarta adalah saudara seperti aur dengan tebing,” ujarnya.

Terdahulu, buku cenderamata majlis tersebut memaparkan bendera Indonesia dalam keadaan terbalik yang mana warna putih di bahagian atas dan merah di bahagian bawah.

Sepatutnya warna merah di bahagian atas dan putih untuk bahagian bawah bendera negara tersebut.‎ Bendera Indonesia terbalik itu tertera pada bahagian senarai ‘bekas tuan rumah Sukan SEA’.

Perkara itu disedari selepas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi menyatakan kekesalan berhubung perkara itu melalui akaun Twitternya.
 
Imam melalui Twitternya menyatakan kekesalan berhubung perkara itu walaupun memuji acara pembukaan temasya dwitahunan itu.

“Pembukaan Sukan SEA 2017 yang bagus, tapi dicederai (dirosakkan) dengan kesilapan fakta yang menyakitkan. Bendera kita, merah putih. Astaghfirullah…,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/8/2017

- Advertisement -