Stastik kes rogol kanak-kanak bukti jenayah makin membimbangkan

nasrudin
- Advertisement -

1. SUSULAN statistik yang dikeluarkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika sesi penggulungan pindaan terhadap Akta Kanak-Kanak dan penggubalan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak, jelas membuktikan jenayah di negara ini semakin tidak terkawal dan bertambah meruncing.

- Advertisement -

2. Kesalahan merogol kanak-kanak bagi tempoh 2010 sehingga Mei 2017 adalah berjumlah 13,272 kes diikuti cabul (6,014 kes), sumbang mahram (1,766 kes) dan luar tabii (1,152 kes). Kanak-kanak menjadi mangsa sesetengah manusia melampiaskan nafsu dan statistik itu cukup membimbangkan masyarakat.

3. Saya menyokong usaha kerajaan memperkenalkan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang bermula 4 Julai yang lalu. Ia sesuatu pendekatan yang wajar dilaksanakan.

4. Memperkukuhkan institusi kehakiman adalah salah satu cara berhadapan dengan jenayah yang semakin berleluasa.

5. Sama seperti pendekatan memperkukuh institusi Mahkamah Syariah melalui pindaan Rang Undang-Undang Akta 355. Ironinya, ramai yang menentang disebabkan sentimen semata-mata.

6.  Namun, penguatkuasaan undang-undang tanpa kawalan sosial (social control) yang kukuh tidak cukup untuk membanterasnya. Ini kerana faktor sekeliling turut memainkan peranan yang menyumbang kepada aktiviti jenayah. Islam adalah agama yang merangkumi kedua-dua aspek itu, undang-undang dan kawalan sosial.

7. Kawalan sosial dalam Islam bukan bersifat mengongkong tetapi suatu bentuk had dan batasan dalam sesuatu perkara. Pergaulan di antara berlainan jantina, etika pemakaian yang menutup aurat dan sopan, menjauhi perkara yang boleh menghampiri zina dan sebagainya.

8. Begitu juga dengan konsep “amar ma’ruf nahi munkar” – menegakkan syariat dan mencegah kemungkaran. Kesemua ini melahirkan suatu kawalan sosial yang mencegah sebarang perkara yang boleh merosakkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

9. Isu jenayah khususnya jenayah seksual kanak-kanak perlu mendapat perhatian serius daripada semua pihak. Suatu perkara yang perlu kita fahami adalah jenayah yang berlaku hari ini semakin hilang pertimbangan manusiawi.

10. Pengenalan undang-undang dan kawalan sosial adalah aspek cegah rintang (deterrence) yang penting untuk diperhalusi. Maka, tiada jalan lain selain kembali kepada Islam yang syumul, dan kita tiada pilihan terhadap itu kerana hanya Islam jalan penyelesaiannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
28 Julai 2017 / 4 Zulqaedah 1438 – HARAKAHDAILY 28/7/2017

- Advertisement -