Sudah tiba masanya! Sebuah cerita blok ke-3

- Advertisement -

RAMAI yang tidak berpuas hati dengan parti yang mentadbir kerajaan Malaysia sekarang, berasa bingung dan keliru dengan alasan PAS meninggalkan pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) dan membentuk satu lagi kumpulan pembangkang atau Blok Ketiga. Tambahan pula Blok ketiga yang dikenali sebagai Gagasan Sejahtera dibentuk dengan satu parti kecil yang tidak dikenali iaitu PARTI IKATAN BANGSA MALAYSIA (IKATAN). Apakah semua ini? Adakah ini suatu reka cerita dari parti BN untuk melemahkan pakatan pembangkang dan adakah PAS telah dibeli? Jujurnya, Blok ke-3 tiada ada kena mengena langsung dengan BN. Ini lah ceritanya!

- Advertisement -

TMZ Portrait 01Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh parti yang kukuh berteraskan kaum Melayu iaitu Umno telah mentadbir Malaysia sejak kemerdekaan. Salah satu sebab mengapa mereka dapat mengekalkan kuasa pentadbiran adalah kerana rakyat berpuas hati dengan manifesto-manifesto BN dan kepimpinan-kepimpinan mereka yang terdahulu. Ekonomi Malaysia telah berkembang dan rakyat turut menyedari bahawa sebagai sebuah negara baru kita semua mesti bekerja keras dan berganding bahu untuk mencapai kemakmuran yang berterusan. Orang-orang Melayu telah pun bersiap sedia, melibatkan diri secara besar-besaran dalam membangunkan bidang pertanian dengan penubuhan peneroka FELDA dan skim-skim yang lain.

Sementara orang-orang Cina dan India yang mana majoritinya penduduk bandar pula mengejar sektor perdagangan dan professional. Kita semua gembira dan saling bertolak ansur sesama sendiri tanpa ada perasaan buruk dan tidak puas hati. Walaubagaimanapun apabila era Mahathir tiba, satu perubahan terhadap agenda nasional telah muncul. Matlamatnya adalah untuk ‘meng industri kan’ Malaysia dengan menjadikan sebuah negara yang kaya dengan cepat untuk bersaing dengan negara-negara membangun yang lain dan juga negara-negara di rantau Asia. Untuk mencapai hasrat ini pentadbiran Mahathir telah mengambil keputusan untuk ‘mengawal’ ekonomi orang Melayu dan memfokuskan semula ke arah lebih banyak kawasan perindustrian, seperti program vendor Proton dan lain-lain. Pertanian yang menjadi tonggak asas bagi perdagangan dan jalan kemakmuran orang Melayu telah diketepikan atau ditangguhkan. Laluan ekonomi kaum Cina dan India pula terus berkembang kerana mereka sudah dari awal terlibat dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan.

Disebabkan pengindustrian adalah konsep ekonomi yang masih baru untuk orang Melayu, pentadbiran Mahathir telah memberi sokongan kepada beberapa ahli perniagaan Melayu  yang telah Berjaya. Melalui kumpulan inilah telah dikatakan bahawa ilmu dan keuntungan kewangan dapat diperturunkan sedikit sebanyak kepada lebih ramai kaum Melayu dan sekaligus membentuk industri perniagaan kecil dan sederhana yang kukuh dan membolehkan golongan ini menjadi satu kuasa yang diiktiraf dalam arena ekonomi dunia. Pemuda Melayu juga telah digalakkan untuk berduyun-duyun ke Kuala Lumpur dengan janji ‘projek-projek’ dan dana kerajaan yang boleh meningkatkan kedudukan kekayaan mereka secara mendadak. Penggerak utama disebalik rancangan tersebut, kini telah menjadi salah seorang pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH). Mereka yang diberikan “sokongan” kerajaan ini tidak lama kemudian dikenali sebagai “Kroni” dan maka bermulalah budaya politik wang dalam arena politik Malaysia.

30 tahun telah pun berlalu. Mahathir telah pun lama meletakkan jawatan. Politik wang semakin bermaharajalela bukan sahaja di dalam BN tetapi juga dalam parti pembangkang. Ia telah pun tersemai dalam budaya politik Malaysia lalu menjadi satu tabiat di mana politik dianggap sebagai tempat mendapat wang dan seseorang boleh menjadi kaya dengan melibatkan diri dalam kancah politik. Dengan ini, sesiapa yang menerajui negara ini akan menjadi sangat berkuasa dan terdedah kepada sumber dana yang diluar imaginasi di mana dia dapat menentukan bagaimana dana itu akan dibelanjakan. Oleh itu pertarungan ‘bermati-matian’ di antara parti Barisan Nasional dan pembangkang Pakatan Harapan untuk mengetuai kerajaan telah mencapai ke tahap yang tak masuk akal di mana wakil-wakil daripada kedua-dua pihak tidak lagi melihat kepada dasar-dasar yang memakmurkan rakyat tetapi sebaliknya beralih arah kepada mengutuk dan melemparkan penghinaan sesama sendiri. Lebih teruk lagi apabila dasar pertarungan ini telah cenderung bertukar menjadi isu ‘perkauman’.

Orang Melayu yang kini menderita akibat kemelesetan ekonomi apatah lagi apabila jalan kemakmuran ekonomi mereka telah dibelakangkan; tanpa disedari kini menyalahkan orang Cina pula. Walaupun ini bukanlah sentimen majoriti penduduk Melayu pun sebenarnya, parti politik yang terlibat telah melaungkan perasaan tidak selesa ini di kalangan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Orang Cina pula yang merasakan bahawa Malaysia sepatutnya diurus dengan lebih baik dan mempunyai persepsi bahawa orang Melayu pemalas dan hanya suka mengambil jalan pintas membuatkan mereka memberi sokongan penuh kepada parti pembangkang terbesar dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP. Di sini kita mempunyai senario di mana Barisan Nasional (BN) yang walaupun mempunyai komponen parti-parti kaum lain, ia diketuai oleh Umno; parti Melayu yang kuat dan PH walaupun mempunyai parti-parti Melayu yang lain tetapi diketuai oleh DAP satu parti Cina yang besar. Oleh itu, senario”Melayu lwn Cina” melakari landskap politik Malaysia.

Haluan perkauman ini adalah sesuatu yang tidak baik dan tidak sekali-kali akan menjadi baik untuk negara. Ia akan menghapuskan apa yang telah negara kita kecapi sebagai negara makmur berbilang kaum dan RAKYAT Malaysia lah yang akan berada dalam kerugian yang besar. Isu-isu penting dan yang mengancam kehidupan tidak akan dipandang oleh wakil-wakil kedua-dua belah kerana agenda utama mereka bukanlah untuk berkhidmat untuk rakyat tetapi untuk memastikan “KUASA” dipegang atau dikekalkan. Maka dengan itu, kami mewakili rakyat dari segenap lapisan masyarakat ingin melaugkan “Cukup! Cukuplah!” dan ayuh, kita bertindak bersama. Kami rakyat tidak menuding jari kepada mana-mana kumpulan atau pihak tetapi mahu parti dalam kerajaan untuk merenung sejenak akan apa yang telah terjadi. Nilailah semula keadaan ini dengan pandangan yang lebih luas dan janganlah mempunyai perasaan gentar dan berprasangka buruk bahawa rakyat hanya mahu “menjatuhkan” kerajaan tanpa mengambil kira perlembagaan Negara yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, untuk parti di dalam kerajaan mentadbir negara ini dengan lebih rasional, adalah sangat penting bagi pihak pembangkang dan “pesaing sihat” menjadi lebih matang dan faham bahawa mereka perlu melayari gelombang sistem pilihan raya negara untuk melakukan perubahan dalam negara. Kedudukan semasa PH menyuarakan dirinya sebagai “Pejuang Kebebasan” rakyat dan dengan kebanyakan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka yang mempunyai bayang-bayang Mandela dan Che Guevara bukanlah suatu yang sihat. Malah ianya hampir tidak menghormati Perlembagaan negara di mana pilihan raya yang dulunya direka oleh bapa-bapa kemerdekaan kita, memberikan peluang yang sama bagi mana-mana parti yang mampu mendapat sokongan yang luas daripada Rakyat; untuk menerajui kerajaan serta memastikan asas demokrasi kita akan kekal utuh. Haluan yang membuka pintu revolusi ini tidak akan membantu sesiapa pun dengan jayanya bahkan akan merobek negara dengan cara yang paling sukar untuk di pulih.

“SUDAH TIBA MASANYA” parti di dalam kerajaan dan negara MALAYSIA yang kita cintai mempunyai kumpulan atau blok pembangkang yang boleh berhubungan dengan kerajaan dengan cara yang bertamadun dan produktif, DEMI RAKYAT. Kami, pakatan Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera percaya bahawa kami adalah kumpulan yang berupaya memacu Malaysia ke arah haluan yang benar dari aspek landskap politik dan memastikan barisan ahli Parlimen dan wakil Dewan-dewan undangan negeri mewakili rakyat dengan telus dan ikhlas.

Gagasan Sejahtera akan menjadi kumpulan pembangkang yang akan memberikan kestabilan kepada landskap politik negara kita. Ia dipimpin oleh parti yang ahlinya majoriti orang Melayu. Ini pasti dapat menyeimbangkan persaingan yang tidak sihat antara kaum kerana kedua-dua pihak dalam kerajaan dan pembangkang tidak akan menyentuh isu-isu berkaitan dengannya. Ia dengan itu akan membuka peluang yang luas kepada wakil-wakil rakyat daripada kedua-dua parti untuk memberi perhatian yang lebih kepada polisi-polisi yang berkaitan dengan Rakyat.

Langkah tersebut bukanlah untuk mewujudkan ketuanan kaum di sebelah pihak sahaja. Namun, ia adalah bagi memastikan setiap kaum di wakili secara saksama dan seimbang dalam arena politik Malaysia. Ia akan dapat memastikan suara dari kaum lain didengar untuk melakukan tindakan atau langkah-langkah yang dapat memperbaiki keadaan mereka. Ia akan dapat menyelaraskan semula laluan ekonomi Melayu, (orang Melayu yang merupakan majoriti negara ini tetapi menyumbang hanya secebis terhadap ekonomi) di mana ianya  dapat menyediakan perkara asas agar mereka boleh bekerja keras untuk keperluan harian keluarga mereka dan secara amnya menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar. (KDNK).

Gagasan Sejahtera tidak berminat untuk mengutuk personaliti-personaliti dalam kerajaan. Kami sedia maklum berada di tempat mereka adalah sesuatu yang amat mencabar dalam menyeimbangkan antara kerja-kerja politik dan juga kerja sebagai menteri. Oleh itu, kami percaya kami dapat memberi sumbangan yang bermanfaat kepada setiap dasar kementerian dengan memberikan nasihat membina dan cadangan inovatif yang dapat dilaksanakan dengan mudah, mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan akhirnya membantu serta tidak membebankan Rakyat. Kami percaya kami mampu duduk semeja bersama menteri-menteri dalam mesyuarat dan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan mana-mana Kementerian untuk mengetengahkan polisi-polisi tertentu agar dapat dibahaskan dan diluluskan di Parlimen.

Gagasan Sejahtera dengan sepenuh keyakinan percaya bahawa kami dapat mempelajari untuk mengenali lebih dalam sistem yang dilaksanakan oleh kerajaan kita. Adalah perlu untuk kami memahami sistem operasi setiap kementerian bagi melahirkan sebuah ekosistem yang positif di mana kami sebagai pembangkang akan dihormati kerana memahami akan cara bagaimana kerajaan mentadbir negara. Adalah amat mengecewakan apabila sebahagian daripada pembangkang menentang pendekatan ini kerana mereka beranggapan mereka perlu mengubah setiap prosedur apabila mereka menjadi kerajaan yang mentadbir. Memang perubahan bagi menaik taraf produktiviti serta mencapai matlamat adalah sesuatu yang digalakkan tetapi kita harus memahami dahulu situasi semasa sebelum sebarang perubahaan dapat dilakukan.

Akhir kata, Gagasan Sejahtera adalah satu wadah untuk mereka yang ingin berkhidmat demi kesejahteraan rakyat. Ia bukanlah lubuk emas bagi mereka yang ingin mengejar kekayaan dan jawatan serta sebarang hak istimewa, nama, dan pangkat. Gagasan Sejahtera adalah untuk mereka yang memahami tentang perlunya ekosistem politik negara kita ditambah-baik demi keharmonian rakyat agar kita dapat membangunkan ketamadunan kita demi anak-anak dan pewaris masa hadapan supaya mereka dapat merasa selamat, mengukir senyuman yang panjang dan kekal bahagia.

TENGKU AHMAD MUDZAFFAR TENGKU MOHD ZAID
Setiausaha Agong
Parti Ikatan Bangsa Malaysia – HARAKAHDAILY 7/7/2017

- Advertisement -