Perdagangan karbon ambil kira pandangan menteri

- Advertisement -

INISIATIF perdagangan karbon bagi mengurangkan kadar pelepasan Green House Gas (GHG) dengan kerjasama sebuah syarikat turut mengambil kira pandangan kerajaan pusat.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pandangan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar diambil perhatian.

Malah katanya, kerajaan negeri tidak pernah mengarah atau meminta Syarikat Climate Protector Sdn Bhd atau mana-mana syarikat mengutip wang untuk melaksanakan projek karbon trading tersebut.

“Kerajaan negeri berharap sesiapa yang ada membuat apa jua bayaran agar dapat membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya pada kenyataan media di Kota Bharu hari ini.

Baru-baru ini Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Datuk Husam Musa mempersoalkan kelayakan syarikat menguruskan perdagangan karbon dengan kerajaan Kelantan yang didakwa tidak mendapat kelulusan Bank Negara untuk beroperasi.

Pada 9 Januari lepas kerajaan Kelantan menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Syarikat Climate Protector Sdn Bhd bagi mengenal pasti stok karbon di kawasan hutan seluas satu juta ekar.

Ustaz Ahmad berkata, syarikat itu diberi tempoh 24 bulan untuk melakukan analisa saintifik, penilaian dan laporan verifikasi oleh saintis bertauliah stok karbon.

“Insentif yang dilakukan itu amat baik dalam usaha menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan GHG daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan.

“Selain itu dapat meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan.

“Insentif tersebut juga dapat meningkatkan program pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di Kelantan yang berfungsi mengawal kestabilan alam sekitar, menjamin air bersih dan kepelbagaian biologi,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2017

- Advertisement -