Kadar TOL tinggi penternak ikan sangkar tidak benar

- Advertisement -

ISU yang dibangkitkan oleh penternak ikan sangkar di Pulau Ketam semasa penyerahan memorandum oleh Pengerusi Komuniti Keselamatan Dan Pembangunan Pulau Ketam, Chia Mong Chun kepada Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai berkenaan dengan kadar TOL dikenakan kepada penternak oleh Kerajaan Negeri seperti yang dilaporkan The Star Online pada 23 Jun 2017 adalah tuduhan tidak berasas.

- Advertisement -

Berdasarkan laporan tersebut, penternak ikan sangkar Pulau Ketam dikatakan telah dibebankan dengan kadar TOL tinggi pada kadar RM2 sekaki persegi di mana dengan caj pada kadar tersebut penternak perlu membayar di antara RM60,000 hingga RM100,000 setahun.
 
SANGKARUntuk makluman, jumlah sebenar kadar bayaran TOL dipersetujui Kerajaan Negeri hanyalah sebanyak RM0.40 semeter persegi setahun di mana kadar tersebut dipersetujui dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 15/2016 pada 27 April 2016 berbanding dengan kadar nilaian diberikan Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) iaitu sebanyak RM4 semeter persegi setahun.

Kadar bayaran TOL kepada pengusaha ikan dalam sangkar (SKL) ditetapkan Kerajaan Negeri antara terendah jika dibandingkan dengan beberapa negeri lain.

Sebagai contoh, Pulau Pinang RM0.45 semeter persegi, Perak RM0.60 semeter persegi dan Johor RM0.50 semeter persegi.

Anggaran keluasan setiap pengusaha di kawasan penternakan ikan dalam sangkar di Pulau Ketam adalah maksima 20,000 meter persegi manakala keluasan minima pula sekitar 500 meter persegi.

Berdasarkan kepada pengiraan dengan keluasan maksima 20,000 meter persegi untuk kadar bayaran TOL sebanyak RM0.40 semeter persegi adalah berjumlah RM8,000 setahun.

Manakala jika mengambil kira keseluruhan caj-caj sedia ada dikenakan oleh Jabatan Perikanan Selangor untuk tempoh setahun adalah lebih kurang RM9,070 dan caj tersebut tidak termasuk caj levi pekerja asing ditetapkan Kerajaan Pusat.

Kadar caj sedia ada ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Selangor adalah seperti berikut:-

a. Lesen Sistem Kultur Laut (SKL) pada kadar RM10.00 setahun bagi setiap sistem kultur yang meliputi permukaan air seluas 200 meter persegi atau kurang dan bagi setiap tambahan kawasan permukaan air seluas 100 meter persegi atau sebahagian daripadanya, suatu fi sebanyak RM5.00 setahun; dan

b. Lesen Bot Sistem Kultur Laut pada kadar maksimum RM70.00 per bot setahun mengikut kategori bot (kuasa kuda).

Atas dasar keperihatinan Kerajaan Negeri dalam membantu semua golongan petani, penternak dan juga nelayan termasuk penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan kesemua para penternak ikan dalam sangkar di Pulau Ketam dalam masa terdekat.

Ia bagi memberikan penerangan dan menjelaskan perkara sebenar serta tepat berhubung dengan isu kadar bayaran TOL dan dalam masa sama mendengar sendiri keluhan dan masalah yang mereka hadapi.

Diharapkan agar para penternak ikan dalam sangkar dapat merujuk kepada pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan jelas agar tidak timbul salah faham dan sebagainya.

ZAIDY ABD TALIB ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor.