Ubi stelo untuk Pasti

- Advertisement -

KETIKA Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cawangan Bukit Tanah, Jabi diasaskan kira-kira 29 tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada tahun 1987, saya berada di tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Maarif Kampung Raja Besut. Memang saya bukan anak PASTI dan bukan juga anak TADIKA sebab saya tak pernah melalui peringkat pendidikan pra sekolah. Terus masuk darjah satu di Sekolah Kebangsaan Tembila, Besut.

- Advertisement -

Buat permulaannya, PASTI Cawangan Bukit Tanah beroperasi di satu sudut dari binaan surau kayu yang juga merangkap Markas PAS Cawangan Bukit Tanah. Pelajarnya ada beberapa belas orang. Duduk belajar sambil bersila sebelum ada kerusi. Cikgu masak guna dapur minyak. Gaji guru saya tak pasti berapa yang mampu dibayar. Rasanya sekitar tak melebihi RM100. Yuran pelajar PASTI hanya RM5 sebulan. Itu pun ramai ibu-bapa yang tak mampu bayar. Tentunya dengan yuran hanya RM5 yang dikutip dari pelajar berjumlah beberapa belas orang, tiada apa yang mampu diharapkan dari sumber yuran untuk menampung perjalanan PASTI sama ada alatan belajar, makan minum serta gaji guru.

Masih saya ingat bagaimana ibu bapa dan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan berpakat untuk secara bergilir-gilir bawa makanan semasa persekolahan anak-anak pelajar PASTI. Ada yang bawa nasi goreng, meehon goreng, roti cicah air teh o, mee goreng dan macam-macam lagi berdasarkan kemampuan. Yang penting anak-anak ada sesuatu untuk mengalas perut ketika rehat.

Zaman 80-an, kehidupan orang kampung memang susah. Ketika itu kebergantungan utama pendapatan adalah tanaman tembakau. Selepas musim tembakau, orang kampung tanam sayur dan ubi stelo (ubi keledek). Begitulah juga kedua ibu-bapa saya. Harga ubi stelo hanya sekitar 20 sen – 30 sen sekilo. Jual 100 kg ubi stelo baru dapat RM30.

Dari kampung Bukit Tanah nak ke Sekolah Menengah Agama Maarif di Kampung Raja dengan jarak sekitar 15 km, saya naik bas buruk yang sesaknya macam dalam tin sardin. Ibu hanya mampu bekalkan RM1 sehari duit belanja. Tambang bas 40 sen pergi dan 40 sen balik. Baki 20 sen boleh buat beli air sirap. Sekadar itu sahaja yang ada untuk isi perut sepanjang hari. Sedikit kisah untuk gambarkan kesukaran hidup orang kampung walau lari sikit dari tajuk.

PASTI Cawangan Bukit Tanah walau dalam kedhaifan tetap meneruskan persekolahan seperti biasa. Guru-guru mengajar dengan penuh keihklasan dan ketabahan walau imbuhan yang diterima sama sekali tak munasabah.

Ketika kedudukan kewangan PASTI hampir kosong, nak minta derma dari ahli PAS Cawangan, mereka pun tak ada duit. Masih segar diingatan, saya duduk bersila di tepi dinding papan Markas PAS Cawangan sambil dengar orang-orang tua bermesyuarat nak cari sumber kewangan. Masa itu kalau tak silap, Ayahanda adalah Bendahari PAS Cawangan. Bincang punya bincang, akhirnya keputusan diambil untuk usahakan sebidang tanah seluas kira-kira 1 ekar milik Ayahanda dengan tanaman ubi stelo.

Gotong-royong adalah kekuatan kita. Pada hari yang ditetapkan, orang kampung ahli PAS Cawangan pakat keluar dengan senjata cangkul. Buat batas dan tanam ubi. Sampai masa bubuh baja, ubi stelo dibajai juga dengan gotong-royong. Akhirnya tanam ubi, maka akan berisi. Tibalah hari ‘pesta gali ubi’. Masa itu gali ubi cuma guna tangan sahaja. Rezeki dari Allah, ubi stelo PASTI cukup berisi. Hasil jualannya dapat menampung beberapa bulan perbelanjaan PASTI. Modal gotong-royong hanyalah bubur kacang dan tulang empat kerat sahaja.

Ada suatu masa, Mesyuarat PAS Cawangan pernah buat keputusan untuk ahli menyumbang ayam kampung kepada PASTI. Bukan sumbang untuk sembelih buat gulai. Tapi tangkap ayam kampung yang berkeliaran bawah rumah dan bawa ke Markas. Ada peraih ayam kampung dengan motor Honda Cup ada raga rotan di belakang yang masuk kampung beli ayam. Hasil jualan ayam kampung dimasukkan dalam tabung PASTI.

Malah pernah orang kampung pakat kumpul buah kelapa untuk diberi kepada PASTI. Kelapa dijual lalu hasilnya masuk tabung PASTI. Pendek kata dengan segala daya dan upaya ahli PAS Cawangan telah berusaha untuk memastikan kesinambungan persekolahan tidak tergendala. Mereka tak ada wang tapi mereka ada tenaga, semangat, kesungguhan dan cita-cita perjuangan tanpa batas sempadan ditunjangkan dengan keikhlasan dan kesabaran.

Walau berdepan dengan pelbagai kesukaran, PASTI Cawangan Bukit Tanah yang sekarang ini dikenali dengan nama PASTI As-Syakirin telah memasuki usia ambang 30 tahun. Terus mendidik dan mendidik. Pelajarnya setiap tahun mencecah 50 orang. Malah ada orang Umno yang hantar anak untuk mendapat pendidikan PASTI. Bukan mereka tak tahu bahawa PASTI ialah institusi pendidikan PAS. Tapi mereka tetap hantar kerana kualiti yang dimiliki PASTI. Bilangan pelajar PASTI As-Syakirin jauh lebih ramai daripada TADIKA kemas. Bayangkan dalam tempoh hampir 30 tahun, betapa banyaknya PASTI As-Syakirin telah menabur jasa walau ia tak pernah meminta ucapan terima kasih.

Apabila diingat kembali kesukaran lalu, tanpa disedari air jernih menitis di pipi. Betapa orang tua kita meletakkan asas perjuangan ini dengan segala susah payah, tenaga, pengorbanan dan air mata.

Mereka tak berpendidikan tinggi, tapi mereka punya kebijaksanaan dan kesabaran dalam mengatur langkah demi langkah perjuangan. Tanam ubi stelo untuk perjuangan jauh lebih mulia dari sekadar bertanam tebu di tepi bibir. – HARAKAHDAILY 31/5/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

- Advertisement -