Bacaan Al-Fatihah imam tidak betul

- Advertisement -

AL-KAFI #613: BACAAN AL-FATIHAH IMAM TIDAK BETUL
Ditulis oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 11 Mei 2017

- Advertisement -

Soalan:

Assalamualaikum YBhg Dato’ . Ustaz saya nak tanya macamana kami nak buat. Kes Imam masjid baca surah Alfatehah tak betul.  Huruf bertukar .  Sepatutnya Sin dibunyikan Shin. Huruf Sad disebut dengan bunyi lain jadi Shin juga.  Difahamkan kalau Alfatehah salah boleh menyebabkan solat kita pun tak sah sebab boleh bertukar makna bacaan . Bila imam baca salah boleh ka makmum ikut. Apa pula hukumnya. Sah kah solat makmum..

Sudah ditegur banyak kali tapi masih tak berubah. Ini imam yg dilantik oleh Pej. Agama dan ada kursus katanya.  Nak ikut berjemaah dgn imam tapi tak puas hati dgn bacaannya. Nak solat di rumah sahaja rasa rugi pulak.  Apa patut kami buat Ustaz. Ikut sahaja ka walaupun kita tahu bacaan nya tak betul.

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie, menjadi syarat untuk menjadi seorang imam adalah mestilah seorang yang qari’ (boleh membaca fatihah dengan baik) itu tidak berimamkan seorang yang ummi. Maksud ummi ialah seorang yang cacat bacaan fatihahnya, meskipun hanya sebahagian daripada fatihah seperti hilang satu huruf. Begitu juga seseorang yang tidak dapat mengeluarkan atau menyebut satu huruf dalam fatihah itu berdasarkan makhraj huruf, atau pun hilang sabdunya.

 Ini kerana membaca fatihah adalah rukun yang wajib di dalam solat. Begitu juga imam akan menanggung bacaan makmum masbuk.

Justeru, seorang yang qari’ batal solatnya jika dia mengetahui imamnya seorang ummi namun tetap mengikutnya solat. Maka dia wajib menggantikan semula solat fardu tersebut. Kesalahan ini dipanggil lahan (لحن) yang mengubah makna.

Contoh:

Membaca أنعمتَ yang berbaris atas hujungnya, dengan baris depan atau bawah, atau إياكَ yang berbaris atas hujungnya dengan baris bawah.
Membaca المستقيم dengan mengidghamkan huruf sin dengan tha seperti المثتقيم. Keadaan seperti ini dipanggit أرت (Arat(
Membaca مغضوب dengan menukar huruf ghain dengan ra’ seperti مرضوب. Keadaan ini dipanggil ألثغ  (Althagh)
Membaca الضالين dengan menukarkan huruf dhad dengan zha seperti الظالين  mengikut qaul yang paling sahih.
Membacaالذين dengan menukarkan huruf dzal dengan dal seperti الدين .
Membaca الحمد dengan menukar ha’ kepada ḥa’ seperti الهمد
Menghilangkan satu syaddah/sabdu yang empat belas dalam Fatihah.
Namun begitu, jika imam itu sama sahaja taraf bacaan dengan makmumnya, maka tidak batal solatnya. Begitu juga jika lahan yang berlaku itu ringan sahaja tidak mengubah makna maka tidak batal solat. Contohnya:

Membaca مالك dengan menambah sabdu pada huruf lam atau kaf.
Membaca tanpa dengung, pendek dan panjang harakat mad, tiada qalqalah dan sebagainya yang tak mengubah makna.
Membaca الضالين dengan menukarkan huruf dhad dengan ẓa seperti الظالين  mengikut qaul yang berbeza dengan asah, kerana sukar dibezakan kedua-dua. Inilah pendapat Imam Fakhrurrazi seperti yang disebut dalam tafsirnya.
Membaca المستقيم dengan menukarkan qaf dengan huruf gaf parsi, seperti yang disebut oleh orang Yaman, tetapi makruh menurut sebahagian ulama, dan sebahagian lain tidak memakruhkannya.
Membaca بسم الله dengan menukar ha’ yang berbaris bawah dengan ha’ berbaris hadapan.
Rujuk Fath al-Mu`in (1/79); al-Iqna` (1/233-235); Bughyah al-Mustarsyidin (1/83); al-Taqrirat al-Sadidah (Qism al-Ibadat) (1/215); al-Mu`tamad (1/255, 414-415)

Manakala dalam mazhab Malik, serta beberapa pandangan ulama Hanafi, mereka berkata bahawa solat tidak batal tetapi makruh. Ini yang dipilih Imam al-Muzani daripada Syafieyyah jua tetapi mensyaratkan bahawa imam itu berlidah pendek (tidak sampai kepada makhraj), atau sampai tetapi tidak cukup masa untuk belajar.

Rujuk Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (35/326-327)

Berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi setelah menyebut pandangan sebahagian Hanafiyyah bertoleransi pada lahan bagi huruf yang berlainan tetapi satu makhrajnya atau berdekatan makhrajnya kerana umum balwa (kesukaran menjaganya):

“Maka dikehendaki dalam hal ini tidak rosak (qiraah fatihah) kerana tertukar huruf tha’ dengan sin, atau qaf dengan hamzah seperti mana yang berlaku dalam pertuturan orang awam di zaman kita ini, kerana mereka tidak dapat membezakan antara keduanya dan begitu sukar bagi mereka seperti huruf dzal dan zai.”

Rujuk Radd al-Muhtar (1/633)

Setelah meneliti keterangan-keterangan di atas, kami berpendapat bahawa bacaan imam terbabit yang menukar sebutan sin kepada syin, atau ṣad kepada syin, adalah lahan yang tidak betul dan menukar makna bertepatan dengan qaul muktamad mazhab Syafie. Justeru kami mencadangkan agar dilaporkan perkara ini kepada Jabatan Agama yang melantik individu tersebut agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.

Berkenaan solat-solat yang sudah dilaksanakan di belakang beliau, jika makmum itu seorang yang qari’ maka hendaklah dia mengulangi solatnya semula kerana tidak boleh seorang yang qari’ berimamkan seorang yang ummi. Ini mengikut kadar kemampuannya juga. Jika begitu sukar untuk mengira bilangan solat tersebut maka ambil bilangan yang lebih kurang (taqriban). Jika terlalu banyak sehingga menyukarkan dan tidak tahu hukum sebelum ini, boleh bertaqlid kepada pandangan daif dan mazhab lain bahawa lahan tersebut adalah lahan yang khafif yang ringan kerana sukar dibezakan makhrajnya lagi masing-masing pada makhraj yang sama atau berdekatan, yakni makhraj lisan. Justeru, tidak perlu diulang lagi solat yang lampau bersama dengan imam berkenaan dan tidak lagi solat di belakangnya sehingga dia membetulkan bacaannya atau dia ditukar.

Semoga Allah SWT memberikan kita kelapangan hati dan itqan (ketepatan) dalam membaca ayat-ayat-Nya. Amin.

- Advertisement -