DALAM masa seminggu, saya dengar dua orang pemberi kuliah maghrib tidak berani hendak memutuskan solat waktu di kerusi yang berlaku di seluruh dunia sejak lebih dua dasawarsa sah atau tidak.
Mereka tidak berani mengatakan tidak sah tetapi tidak juga sah.
Kedua-duanya bukan tok guru lebai yang bersikap konservatif seperti tok guru pondok yang tak pernah naik kapal terbang dan tidak dapat menerima orang sudah terbang ke bulan.
Mereka tok guru muda yang boleh mengembara tanpa kopiah atau songkok. Tok-tok guru tak bersongkok mudah setuju dengan ketentuan kerajaan tentang dalam soal Islam. Bahkan pernah anak-anak muda berilmu menyokong menggunakan keuntungan loteri kebajikan masyarakat untuk kegunaan Islam.
Kedua-duanya diketahui orang terbuka, tetapi mereka tidak dapat menerima amalan solat waktu menggunakan kerusi sekalipun berlangsung di Masjdill Haram di Mekah dan Masjid Nabwi di Madinah.
Seorang pensyarah di UIA dan seorang pedakwah bebas sejak lebih 20 tahun lalu yang beramal mengikut fekah Mazhab Syafie.
Kedua-duanya berkata, mereka tidak jumpa dalil amalan itu. Ajaran Islam yang diketahui sejak mula solat itu boleh sambil berdiri atau duduk atau berbaring mengiring atau tak terdaya sangat terlentang sekalipun mampu menggerakkan mata saja. Dalam apa keadaan pun mesti sembahayang.
Tetapi duduk di kerusi – rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan lain-lain tidak pernah dilakukan Nabi, tidak juga oleh sahabat-sahabat.
Yang Nabi pernah buat solat sambil duduk. Jika duduk biasa seperti duduk tahiyat tak dapat dilakukan, maka dibolehkan bersila. Kalau bagi sujud itu menaikkan darah dan mungkin pitam, maka boleh sujud isarat tanpa dahi tidak mencecah sejadah/lantai.
Atau dengan duduk itu payah bangkit berdiri, tetapi dengan duduk di kerusi tiada masalah bangkit berdiri.
Kata tok guru muda, kalau tak boleh bangkit, teruslah duduk. Jika duduk begitu tak boleh sujud, fekah membenarkan rukuk dan sujud sambil duduk setakat yang terdaya tanpa dahi mencecah tempat sujud.
Ustaz itu kata, ada sahabat solat duduk meletakkan kayu di depannya dan sujud atas kayu itu. Nabi suruh buang kayu itu. Dia guna bantal pula supaya boleh sujud di situ. Nabi perintah buang bantal itu. Sujudlah setakat yang terdaya sekalipun dahi tak sampai ke lantai. Keadaan macam itu tak perlu dahi tiba ke lantai.
Tapi menggunakan kerusi tak ada. Bukan kerusi tidak ada pada zaman itu. Masyarakat Yunani dan Rom yang tamadunnya lebih awal daripada Arab sudah menggunakan bangku. Tentu maklumat itu ada pada baginda Rasul. Tetapi kerusi tidak digunakan.
Bagi orang berupaya mencecahkan dahi ke tempat sujud, sujud dahi sampai ke lantai itu penting. Tidak dikira sujud kalau dahi tak sampai ke tempat sujud. Maka ini menentukan sah sujud itu. Jika sujud tidak begitu, maka ia tidak dinamakan sujud.
Kedua-dua mereka bimbang solat itu tidak sah sekalipun mereka tidak kata solat atas kerusi itu tidak sah.
Isu ini banyak dihujah melalui intenet dan lain-lain. Ada yang mengata sah.
Oleh sebab orang berilmu sudah tidak sepakat, bagi memastikan solat kita semua sah, maka JAKIM perlu menganjurkan muzakarah disertai olah ulama fekah membincang setiap sudut dan diikuti Majlis Fatwa memberi panduan, supaya dirasmikan sah solat berkerusi atau tidak sah. Kita tak mahu tunggang-tonggek solat waktu tidak sah. – HARAKAHDAILY 18/4/2017
Sah atau tidak solat di kerusi?
- Advertisement -