ASSALAMUALAIKUM wrt wbt. Buat sahabat-sahabat yang bakal ke muktamar Parti Islam Se-Malaysia PAS penhujung April ini.
Hampir pasti antara isu yang akan menjadi perhatian para muktamirin termasuklah isu tahaluf dengan PKR, usul persendirian berkaitan RUU 355 dan persediaan mendepani PRU 14.
Sebagai pendokong sebuah badan siasah yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, sangat saya berharap agar para perwakilan tidak hanya menumpukan hal yang berkaitan di atas semata-mata dengan penumpuan yang berlebihan. Ketengahkanlah peri penyelesaian ke arah kesejahteraan yang sedia ditawarkan PAS dalam keadaan PAS sebagai badan siasah di pihak pembangkang, bahkan kesiapsiagaan PAS sebagai peneraju kerajaan.
Pendekat TGHH betapa Islam sebagai penyelesaian kita perlu dijelmakan agar ia mampu menerjah kefahaman rakyat peri Islam itu suatu kenikmatan dan penyelesaian kepada setiap permasalahan kehidupan.
Pelbagai segmen dalam masyarakat sangat mendambakan perubahan dalam suasana semasa dalam mengimpikan janji-janji Allah dalam Surah an-Nur, ayat 55 yang bermaksud:
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”
Tampilkan betapa kalian yang menduduki dan mendokongi barisan hadapan telah siap sedia memikul tanggungjawab dalam menyiapkan PAS sebagai badan siasah peneraju pemerintahan Malaysia kelak.
Buktikanlah dengan Islam, PAS mampu #mensejahterakanrakyat. – HARAKAHDAILY 10/4/2017