“DOAKAN semoga kesihatan ustaz semakin baik. Walaupun ustaz semakin pulih, tapi teruskan berdoa untuk saya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, setiap kali pimpinan dan orang ramai menziarahinya yang masih dirawat di HUSM, Kubang Kerian.
Pada masa yang sama beliau turut membaca akhbar Harakah, khususnya yang berkaitan dirinya yang dimasukkan ke hospital seminggu lalu.
Bagaimanapun kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, beliau telah dipindahkan ke wad biasa iaitu Wad Eksekutif 2 TD.
Sebelum ini beliau dimasukkan ke wad ICU setelah terkena angin ahmar Ahad lalu.
Isterinya, Noraini Mat Ali Matar ketika dihubungi memberitahu, perkembangan kesihatan suaminya semakin baik.
Katanya, doktor yang merawatnya memberitahu suaminya itu semakin baik.
“Tekanan darahnya telah kembali normal, gula dalam darahnya juga normal, alhamdulillah,”ujarnya.
Pada masa yang sama, percakapannya juga semakin jelas walaupun bercakap cepat.
“Bila orang datang ziarahnya, sering berpesan supaya mendoakan supaya dia cepat sembuh dan solat hajat untuknya.
“Dia sendiripun sudah mula bersolat elok sejak beberapa hari lalu setelah ingatannya kembali normal walaupun masih dirawat di ICU,” ujarnya.
Noraini turut mengucapkan terima kasih pada semua pihak yang membantunya dalam mengurus suaminya ketika sakit.
Jelasnya, para penghulu bergilir dua orang semalaman menjaga ustaz di hospital.
Anak sulungnya, Nurul Nabila Abdul Halim, 25, pula memberitahu babanya sudah mampu baring dan mengiring sendiri.
“Darah yang beku di kepala juga makin baik sebab doktor hanya memberi ubat untuk mencairkan darahnya tanpa pembedahan,” ujarnya.
Pada 3 April lalu, Ustaz Abdul Halim menerima rawatan di HUSM setelah terkena angin ahmar sekembali dari menghantar anak keduanya di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra. – HARAKAHDAILY 9/4/2017