Mengapa RUU 355 ditentang?

- Advertisement -

MEREKA yang  menentang RUU 355 masih lantang bersuara dan menulis dengan hujah-hujah bersifat teknikalnya secara melulu, tanpa peduli perkara yang tersurat dalam perlembagaan bahawa ia hanya melibatkan penganut Islam sahaja. Mahkamah Syariah tidak diberi bidang kuasa terhadap bukan Islam. Ini menunjukkan mereka itu jauh sekali menyaksikan hikmah menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran yang tidak ada dalam istilah mereka.

- Advertisement -

Mereka tidak mengira masyarakat yang terbeban dengan kadar jenayah yang terus meningkat. Ini menunjukkan kelemahan undang-undang ciptaan manusia yang tidak beraqidah itu, namun terus mempertahankannya juga dengan segala cara halal dan haram.

Mereka sepatutnya menghormati Islam, kedudukannya dalam Perlembagaan dan hak-hak diberi kepada agama-agama yang lain sudah mencukupi. Mereka juga sepatutnya menghormati penganut Islam diberi hak mereka, di antaranya peluang kepada undang-undang Syariat dan Mahkamahnya yang banyak disekat oleh penjajah dahulu dan masih disekat selepas merdeka.

RUU 355 hanya kuasa yang masih sedikit memberi ruang kepada umat Islam menunaikan hak mereka. Tiba-tiba dicampur tangan tanpa mengira sempadan yang sudah nyata dalam Perlembagaan tersebut. Mereka tidak menghormati masyarakat Islam yang berada di keliling mereka, tanpa peduli ini adalah urusan penganut Islam. Apakah di sebalik suara yang sumbang ini?

Terang lagi bersuluh, sebenarnya mereka tidak mahu membuka ruang kepada Syariat Islam, sehingga semata-mata kerana Islamnya?

Mereka menentang kerana penyakit Islamofobia yang disebarkan oleh kuasa besar yang sedang bermusuh terhadap Islam sehingga kini? Maka bersedia menjadi khadam kepada negara asing yang menjadi dalangnya.

Mereka menentang kerana sikap cemburu buta kebimbangan menyaksikan banyaknya kebaikan daripada syariat Islam? Sepatutnya mereka mencari kebaikan yang datang daripada semua pihak, bukannya menutup kebaikan dan merelakan kemungkaran. Inilah konsep semua agama, samawi dan tidak samawi, walaupun berbeza aqidah.

Setiap yang berakal fikiran dapat menyaksikan bahawa mereka yang menentang RUU355 itu bersedia mengekalkan undang-undang warisan penjajah yang masih diamalkan walaupun menzalimi diri mereka sendiri. Tetapi tidak bersedia menerima Syariat Islam walaupun lebih baik kepada mereka juga.

Kami tidak masuk kira kalangan mengaku Islam yang sanggup menjadi laksana selipar pengalas kaki masuk ke tandas sahaja, rela diri mereka menjadi alat yang dipijak-pijak  terhina bergelumang najis dan kotoran dosa melawan hukum Allah dan Syariat-Nya.

Penentangan ini masih dilakukan, walaupun sudah dinyatakan hujahnya oleh semua pihak yang memperjuangkannya. Bahawa RUU 355 berkonsepkan kepada menegakkan semula kedudukan Mahkamah Syariat yang dilemahkan di zaman penjajah dahulu, serta memperkenalkan hukuman dalam Syariat Islam adalah berkonsepkan mendidik bukannya menyeksa dan mendera, berpandukan nas-nas yang ada di dalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W.

Ramai kalangan ilmuan undang-undang Barat yang bertaraf Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Peguam-Peguam besar dan kecil menyokong dan mendukung dengan hujah ilmunya, beriman kepada Undang-undang Syariat Islam dan sama-sama berjuang meninggikannya.  

Di antara hujah mereka yang menentang RUU 355 ialah filem, video yang disebarkan oleh media musuh Islam yang datang daripada Timur dan Barat yang sengaja menyebarkan cara hukuman yang tidak menepati Al Quran dan Sunnah. Lalu pihak yang menentang itu menjadi alat dan agen menyiarkannya dengan tujuan mencalarkan wajah Islam yang mulia dan adil terhadap semua. Tujuan mereka yang sebenar adalah untuk mengelirukan masyarakat bukan Islam dan orang Islam yang buta agamanya.

Kepada yang benar-benar mencari kebenaran diminta supaya berfikir secara rasional, berpandukan firman Allah:  
 
۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ ٤٦ سبأ

46. “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku.” (Saba: 46)

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang menentang Islam di zaman Rasulullah S.A.W. supaya berfikir secara rasional, tanpa fanatik atau tujuan yang tidak ikhlas mencari kebenaran, sehingga menolak apa sahaja yang datang daripada pihak yang lain. Al-Quran adalah petunjuk bermukjizat di sepanjang zaman.

Adapun Islam mewajibkan penganutnya menerima apa sahaja yang baik dan memilih yang terbaik, walaupun datangnya daripada pihak lain, setelah diwajibkan beriman bahawa yang telah pun dinyatakan oleh Allah dan Rasulnya adalah terbaik, firman Allah:

وَٱلَّذِينَ ٱجۡتَنَبُواْ ٱلطَّٰغُوتَ أَن يَعۡبُدُوهَا وَأَنَابُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلۡبُشۡرَىٰۚ فَبَشِّرۡ عِبَادِ ١٧ ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٨ الزمر

17. “Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut (pelampau) serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku.”
18. “Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna).” (Az-Zumar: 17-18)

Ayat ini ditujukan kepada sesiapa yang memilih kebenaran dan berakal sempurna. Khususnya  kepada penganut Islam atau bukan Islam yang benar-benar ingin tahu berkenaan Islam, bukannya ingin kacau daun terhadap perjalanan perjuangan Islam.

Sudah tiba masanya umat Islam secara berterus terang melakukan ‘pengkelasan’ terhadap mereka yang menentang itu. Ada yang berkelas tinggi, sebenarnya mahu bermusuh terhadap Islam semata-mata dengan helah dan putar belit, kerana kita melihat gerakannya mengumpul regu yang datang daripada semua pihak, sama ada parti politik atau NGO, serta mengerahkan segala sumber bagi mengagalkan RUU 355 secara terbuka atau lempar batu sembunyi tangan, namun kita nampak isyarat tangannya dan langkahnya yang melanggar sempadan agama, perlembagaan dan akhlak bermasyarakat majmuk.

Allah sudah memberi panduan kepada kami di dalam  Al-Quran untuk menghadapi mereka dengan firman-Nya:

وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ المائدة

49. “Dan hendaklah Kamu menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan Kamu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepada Kamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Ma‘idah: 49)

Mereka menentang kerana hawa nafsu semata-mata, bukannya mencari kebenaran. Akhirnya bersimpati dengan penjenayah dan maksiat atau bersedia menjadi pelindung kepadanya kerana kepentingan politik sementara waktu, seperti parti di luar negara yang bercawangankan kumpulan samseng, penjenayah dan maksiat. Tanpa peduli terhadap bahaya penyakitnya, sama ada pelakunya atau mangsanya.

Adalah menjadi kewajipan penganut Islam yang berjatidirikan Islam tanpa mengira parti, NGO atau orang perseorangan untuk menunaikan kewajipan meninggikan kedudukan Islam. Maka RUU 355 adalah sebahagian daripadanya, walaupun dalam kadar yang terhad, kerana para ulama menegaskan:

ما لايدرك كله لا يترك كله

“Apa yang tidak didapati semuanya jangan ditinggalkan semuanya.”

Dengan penuh keyakinan kepada janji pahala dan fadhilat daripada Allah walaupun niat dan azam tidak tercapai sepenuhnya. Dengan keyakinan juga pada akhirnya berlaku janji Allah:

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١
 الحج

40. “Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
41. “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan).” (Al-Hajj: 40-41)

“Inilah Penyelesaian Kita “

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
24 Jamadil Akhir 1438H / 23 Mac 2017M – HARAKAHDAILY 23/3/2017                    

- Advertisement -