Bekas pemimpin Umno pertahan PAS di Kelantan

- Advertisement -

PASIR MAS: Biarpun parti serpihan ghairah mahu menawan Kelantan, sebaliknya semakin ramai bekas pemimpin dan penyokong Umno mahu mempertahankan kepimpinan ulama.

- Advertisement -

Malam tadi seramai 52 lagi bekas pemimpin Umno peringkat cawangan menyerah borang menyertai PAS, dengan diketuai bekas Ketua Penyelia Pembangunan Mukim (KPPM) Tendong, Zakaria Abdul Rahman.

Minggu lepas seramai 202 termasuk penyokong Umno di Dun Chetok menyertai PAS sempena program ceramah di Kangkong.

Zakaria, bekas guru besar memilih PAS sebagai landasan baru perjuangan selepas melihat kebobrokan yang berlaku dalam negara sekarang.

“Rumah saya ini pernah menjadi tempat persinggahan pemimpin-pemimpin Umno yang datang ke Pasir Mas.

“Ketika pilihan raya kecil Dun Pengkalan Pasir pada 2005, Umno Perak menjadikan rumah saya sebagai bilik gerakan yang diketuai Tan Sri Tajol Rosli Ghazali,” katanya pada ceramah di rumahnya di Kampung Kubang Batang malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah, Yang Dipertua PAS Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad, timbalannya Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Naib Yang Dipertua Zuraidin Abdullah.

Selain itu Setiausaha PAS Pasir Mas Suhaimi Mat Daud, Adun Tendong Rozi Muhamad dan Ketua Pemuda PAS kawasan itu Ahmad Fadhli Shaari.

Kampung Kubang Batang sebelum ini merupakan kubu Umno. Penduduk tempatan memenuhi halaman rumah Cikgu Zakaria, mengikuti pengumuman bersejarah Zakaria meninggalkan Umno yang disertai 40 tahun lalu.

Sejak tahun lepas pemimpin utama PAN termasuk Presidennya Mohamad Sabu, timbalan Salahuddin Ayub dan Pengerusi PAN Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yakin parti itu mampu menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-14. – HARAKAHDAILY 2/3/2017

- Advertisement -