Hukum dan kewajiban berubat

- Advertisement -

MANUSIA tidak sunyi dari sakit. Apabila sakit sudah pasti manusia akan mencari ubat untuk mengurangkan kesakitan. Inilah usaha dan ikhtiar untuk mengubati penyakit. Terdapat perbincangan para ulamak berkaitan dengan hukum berubat. Ada di antara ulamak yang mengatakan bahawa wajib kita berubat. Ada yang mengatakan sunat. Ada mengatakan haram kita berubat kerana kesembuhan itu adalah dari Allah S.W.T, bukan urusan kita untuk menyembuhkan. Tetapi majoriti ulamak muktabar mengharuskan berubat. Malah ada di kalangan mereka yang mewajibkan kita berubat andai kata dengan kesakitan yang kita alami itu boleh menyebabkan kita cacat atau hilang nyawa.

Soalnya bagaimana nak berubat? Panduan daripada Rasulullah S.A.W sendiri pun menyatakan bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Bermakna Rasulullah S.A.W menyuruh kita untuk mencari rawatan. Sepanjang catatan sirah Nabi S.A.W telah diriwayatkan menyebut beberapa bahan dan kaedah yang boleh digunakan setimpal dengan perkembangan zaman itu. Tetapi Rasulullah S.A.W tidak pun membataskan apakah bahan dan rawatan itu. Malah apa sahaja rawatan yang boleh digunakan demi kebaikan manusia secara umumnya digunakan. Di sinilah timbulnya ada pelajar yang mempelajari ilmu perubatan untuk mencari solusi yang terbaik bagi mengubati manusia. Ianya juga fardu kifayah yang disuruh oleh Rasulullah S.A.W.

- Advertisement -

Ilmu perubatan adalah subjek yang paling susah. Ramai juga yang bertahan sekerat jalan, kemudian memilih bidang lain. Perubatan memerlukan ketelitian dan kejituan. Andaikata tidak dipelajari dengan betul, boleh memudaratkan manusia lain melalui praktis yang silap dilakukan.

Lantas para doktor dan pelajar perubatan pula berusaha bermati-matian mempelajarinya supaya nikmat kesihatan itu dapat dikongsi serta dinikmati bersama. Maka tidak hairanlah imam al-Syafi’iy pernah dinukilkan berkata:

إنّما العلم علمان: علم الدين وعلم الدنيا، فالعلم الذي للدين هو الفقه، والعلم الذي للدنيا هو الطب

“Sesungguhnya ilmu itu ada dua, iaitu: Ilmu keagamaan dan ilmu keduniaan. Ilmu untuk (manfaat) agama itu ialah ilmu fiqh, manakala ilmu untuk (manfaat) dunia pula ialah perubatan”.

Kata beliau lagi:

لا أعلم بعد الحلال والحرام أنبل من الطب، إلا أنّ أهل الكتاب قد غلبونا عليه!

“Tidak aku ketahui selepas (urusan) halal dan haram itu (suatu perkara) yang lebih baik dari perubatan, kecuali para ahli kitab sesungguhnya telah menewaskan kita dalam perkara tersebut!”.

Setelah kejatuhan khilafah Islam, bidang perubatan ini telah dikuasai oleh orang bukan-Islam, sedangkan umat Islam di kala zaman keagungan mereka dahulu merupakan pelopor kepada bidang ini…! Boleh selidiki tokoh-tokoh besar dalam perubatan seperti Syeikh Muhammad Zakaria Al Razi, Ibnu al Haytam, Ibnu Sina dan ramai lagi. Oleh yang demikian Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

الكَلِمَةُ الحِكْمَةُ ضَالَّةُ المُؤْمِنِ، فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

“Kalimat hikmah itu adalah suatu yang hilang dari seorang mukmin, maka di mana saja ia mendapatkannya maka ia lebih berhak atasnya.”

Ilmu perubatan itu bukan milik barat, tetapi ianya milik sejagat. Siapa yang mempelajari dan mempraktikkannya dan disulami dengan syariat Islam adalah terbaik. Rasulullah S.A.W juga pernah memberi amaran kepada perawat yang tidak mahir dalam ilmu perubatan:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

“Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”

(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 2/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -