J-KOM didedah jadi alat politik PH, gesa dibubarkan!

Digerakkan untuk terlibat dalam PRK Kuala Kubu Bharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang operasinya digerak menggunakan peruntukan dana Kerajaan Persekutuan telah didedah akan melakukan tugas-tugas politik untuk PRK N.06 DUN Kuala Kubu Bharu.

- Advertisement -

Salah guna kuasa itu menyusuli peruntukan jutaan Ringgit bagi pelbagai projek segera kerajaan tempatan, serta bantuan untuk premis anggota tentera, selain penggunaan institusi pendidikan bagi mesyuarat parti politik.

Blogger, Salim Iskandar membuktikan pendedahan dibuat menerusi media sosialnya dengan memuat naik dokumen-dokumen berkaitan itu semalam dan sehingga ke hari ini pihak J-KOM belum tampil menafikan.

Berdasarkan dokumen-dokumen tersebut, 300 Pegawai dan Penolong Pegawai Komuniti Daerah (PKD dan PPKD) di bawah J-KOM dari seluruh Semenanjung ke satu program yang berselindung atas nama Pemukiman PKD dan PPKD.

Program selama dua minggu bermula 29 April ini akan berakhir pada 12 Mei di Kuala Kubu Bharu yang berbetulan dengan PRK tersebut di mana 27 April adalah Hari Penamaan Calon dan 11 Mei adalah Hari Pengundian.

“Ingatkan bila Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berundur sebagai Ketua Pengarah J-KOM setelah terpalit dengan isu gangguan seksual terhadap Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, J-KOM akan menuju ke arah satu tatakelola yang lebih baik.

“Rupanya bila jawatan Ketua Pengarah J-KOM diambil-alih oleh Setiausaha PKR Selangor, Dr Mohd Khairuddin Othman, J-KOM dibawa ke hala tuju yang lebih teruk. Di bawah Dr Mohd Khairuddin, J-KOM kini sudah mula dipolitikkan sepenuhnya!” ujar Salim.

Menurut blogger itu, semua tugasan di dalam pemukiman tersebut adalah bersifat politik bagi memastikan DAP menang dalam PRK Kuala Kubu Baharu yang jelas terbukti dari bentuk taklimat diberikan kepada mereka oleh para fasilitator.

“Ada Taklimat Tugas Lapangan. Ada Taklimat Ketua Daerah Mengundi. Ada Taklimat Tugasan Media Sosial. Ada Taklimat Rumusan Isu dan Penarafan Simulasi Data dan ada juga Taklimat Gerak Saraf Perang Saraf. Semua taklimat ini taklimat politik!

“Dari 1 Mei ke 10 Mei, tugas sebahagian daripada 300 pegawai dan penolong pegawai J-KOM ini adalah keluar ke lapangan memantau kempen lawan DAP serta berkempen kepada pengundi dan melaporkannya kepada boss mereka untuk tindakan segera.

“Sebahagian lagi pula tugasannya adalah memantau media sosial lawan DAP untuk mencari kesalahan mereka selain untuk menyediakan cadangan jawapan balas ke atas media sosial lawan DAP dan melaporkannya kepada boss mereka untuk tindakan segera.

“Penyalahgunaan Pegawai dan Penolong Pegawai J-KOM, serta dana besar J-KOM, untuk tujuan politik sudah jelas terbukti kini,” ujar beliau turut membuktikan beberapa nama PKD dan PPKD yang merupakan pemegang jawatan parti politik di beberapa Parlimen.

Katanya, butiran itu mensahihkan lagi kenyataan bahawa organisasi J-KOM walaupun menggunakan dana kerajaan sebenarnya melakukan tugas-tugas politik dan menggesa atas penyalahgunaan ini, maka J-KOM wajib dibubarkan serta-merta. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

- Advertisement -