Dr Samsuri sedia bantu siasat nahas helikopter

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menolak untuk membantu siasatan terhadap tragedi pelanggaran dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, semalam.

- Advertisement -

“Sebagai rakyat awam saya rasa sesiapa jua akan membantu sekiranya ditanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), pelanggaran dua helikopter yang meragut nyawa 10 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu melibatkan banyak aspek.

Bagaimanapun beliau yakin dari segi siasatan pihak tentera mempunyai kepakaran mereka tersendiri.

“Banyak perkara yang akan dilihat oleh mereka terutama dari segi helikopter kontrol, sama ada di luar kawalan atau masih lagi dalam kawalan, termasuk formasi yang cuba dibuat pada hari itu adakah sedang berlaku formasi atau belum lagi.

“Macam-macam perkara yang saya rasa dalam pertimbangan mereka termasuk ada juga kemungkinan helikopter itu tidak dapat dikawal oleh sebab-sebab tertentu yang saya sangat remode mungkin tidak berlaku sebegitu tapi mungkin lah segala kemungkinan harus dipertimbangkan oleh mereka,” ujarnya.

Semalam, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

Nahas berlaku sekitar jam 9.32 pagi itu mengorbankan 10 mangsa, masing-masing tujuh kru dan tiga penumpang dua helikopter jenis HOM-AW139 dan Fennec yang berlepas dari Padang Sitiawan, Perak.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh anggota pentadbiran kami mengucapkan takziah kepada seluruh anggota ahli keluarga anggota tentera yang kehilangan ahli keluarga mereka.

“Tidak siapa mahu tragedi sedemikian berlaku, saya percaya pihak tentera akan melakukan apa jua untuk menjalankan siasatan dan mengenalpasti punca kejadian itu berlaku.

“Apapun sekali lagi takziah kepada semua, moga-moga kesemua mangsa yang terkorban berada dalam junjungan rahmat Allah SWT,” kata Ahmad Samsuri. – HARAKAHDAILY 24/4/2024

- Advertisement -