EU teroka peluang kerjasama dengan Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesatuan Eropah (EU) mahu memperluaskan kerjasama dengan Terengganu dalam beberapa sektor strategik termasuk ekonomi hijau, bahan mentah kritikal, teknologi hijau dan penyelidikan.

- Advertisement -

Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, lawatan delegasi EU ke Terengganu bertujuan memahami keutamaan pembangunan negeri itu selain mengenal pasti peluang kerjasama yang boleh diterokai bersama.

Menurutnya, EU memberi penekanan terhadap hubungan bukan sahaja di peringkat Kerajaan Pusat, malah turut melibatkan kerajaan negeri sebagaimana amalan yang dilaksanakan dalam kalangan 27 negara anggotanya.

“Kami mahu melihat sendiri kedudukan Terengganu, hala tuju pembangunannya dan mengenal pasti bidang yang boleh diperkukuhkan melalui kerjasama bersama,” katanya.

Langkah itu selaras usaha memperkukuhkan hubungan Malaysia-EU di peringkat negeri yang dinyatakannya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas kepimpinan kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering, di sini.

Rombongan disertai para duta dan wakil diplomatik dari 15 negara iaitu Croatia, Romania, Belanda, Lithuania, Ireland, Republik Czech, Sweden, Finland, Belgium, Austria, Jerman, Itali, Denmark, Slovakia dan Sepanyol.

Katanya, pembentangan komprehensif oleh kerajaan negeri mengenai aktiviti dan peluang pelaburan di Terengganu telah membuka mata delegasi EU yang membawa bersama perusahaan serta teknologi berkaitan.

“Ketika ini terdapat lebih 2,000 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia termasuk di Terengganu. Falsafah pelaburan kami bukan sekadar membawa masuk modal dan pekerja asing, tetapi menyumbang kepada sosioekonomi tempatan serta meningkatkan modal insan.

“Sebagai contoh, syarikat gergasi seperti Infineon (dari Jerman) mempunyai kira-kira 14,000 pekerja di Malaysia, di mana 99 peratus daripada tenaga kerjanya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah rakyat tempatan.

“Ini adalah kisah kejayaan perkongsian sebenar yang menguntungkan kedua-dua pihak,” ujarnya.

Beliau turut melihat pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai antara bidang yang mempunyai potensi besar untuk diperkukuhkan melalui kerjasama antara EU dan Malaysia.

“Kami mahu mewujudkan kaedah yang lebih sistematik untuk menyediakan generasi muda dengan masa depan yang menggabungkan kerja praktikal dan pendidikan.

“Malah ketika ini, sekurang-kurangnya dua projek penyelidikan di bawah Horizon Europe yang melibatkan universiti di Terengganu telah pun berjalan, khususnya dalam bidang akuakultur dan biodiversiti,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

- Advertisement -