
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan dana khas bagi menyalurkan sebahagian hasil kutipan penalti kes kartel kepada pengguna dan peniaga kecil yang terjejas akibat amalan antipersaingan.
Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, undang-undang persaingan tidak seharusnya menjadi mekanisme kutipan denda semata-mata, sebaliknya perlu memulihkan kerugian mangsa.
Beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) Consumer Restitution Fund dengan menyalurkan antara 30 hingga 50 peratus daripada hasil penalti kewangan kes kartel.
Dr Ismail mengemukakan syor itu khususnya membabitkan barang keperluan, untuk membantu pengguna dan peniaga kecil yang terkesan.
“Jika syarikat berpakat menaikkan harga barang, yang menerima kesan ialah pengguna, peniaga kecil dan keluarga biasa. Persoalannya, ke mana wang penalti itu pergi? Adakah memadai kerajaan mengutip denda sedangkan mangsa sebenar tidak menerima apa-apa pampasan?
“Undang-undang persaingan tidak boleh menjadi sekadar mesin kutipan penalti kepada kerajaan. Ia mesti menjadi mekanisme memulihkan keadilan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menurut beliau, MyCC wajar diberikan kuasa penguatkuasaan yang lebih berkesan, namun kuasa tersebut perlu disertai ketelusan serta mekanisme semak dan imbang.
Dalam masa sama, beliau meminta kerajaan menjelaskan jumlah kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang pernah berlaku melibatkan bidang kuasa MyCC serta langkah diambil bagi memastikan integriti penguatkuasaan terus terpelihara.
“Beritahu berapakah banyakkah kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku yang melibatkan bidang kuasa suruhanjaya MyCC,” katanya.
Mengulas cadangan pemberian diskaun penyelesaian kepada syarikat yang mengaku kesalahan lebih awal, beliau berkata, pendekatan itu tidak wajar diberikan secara longgar terutama bagi kes kartel membabitkan barang keperluan rakyat.
Beliau mencadangkan kadar diskaun penalti bagi kes sedemikian dihadkan kepada maksimum 20 peratus supaya syarikat yang memanipulasi harga makanan dan bekalan asas tidak menerima layanan yang terlalu ringan.
“Jangan sampai syarikat yang berpakat menaikkan harga makanan rakyat diberi diskaun besar. Seolah-olah ini kesalahan biasa. Kalau harga bawang, bawang pun boleh buat rakyat pening. Jangan beri kartel ruang ketawa mengejek undang-undang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026




















