
KUALA LUMPUR: Projek rintis pemberian ubat pencegahan HIV, PrEP kepada orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi termasuk pengamal hubungan songsang, perlu diteliti semula.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Rosni Adam berpandangan bahawa, pelaksanaan pemberian ubat PrEP perlu dikawal dengan panduan agama dan etika yang jelas.
Menurut beliau, kebimbangan timbul kerana inisiatif itu boleh menimbulkan persepsi bahawa hubungan berisiko, termasuk hubungan homoseksual, bukan lagi sesuatu yang perlu dicegah, sebaliknya hanya perlu ‘diurus risikonya’ melalui pengambilan ubat.
“Perkara begini boleh membawa kepada unsur bersubahat. Isu kesihatan bukan sekadar soal ubat, klinik dan hospital. Ia juga soal nilai, moral dan hala tuju masyarakat.
“Sebab itu penting untuk kita memilih ’policy maker’ yang mesra Islam,” tegas beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dipercayai susulan kandungan media sosial oleh sebuah klinik yang mempromosikan penggunaan PrEP yang tular baru-baru ini.
Katanya, cara penyampaian sedemikian menimbulkan kebimbangan kerana boleh ditafsirkan seolah-olah mesej yang ingin disampaikan ialah ‘tidak mengapa melakukan hubungan berisiko asalkan mengambil ubat PrEP’.
“Inilah yang membimbangkan masyarakat. Kalau promosi kesihatan dibuat tanpa neraca agama dan moral, akhirnya ia bukan lagi sekadar pendidikan kesihatan.
“Ia boleh berubah menjadi normalisasi. Akhirnya, maksiat tidak lagi dilihat sebagai perkara yang perlu dicegah, tetapi sekadar aktiviti yang perlu dibuat dengan lebih ‘selamat’. Sedangkan Islam tidak pernah mengajar begitu,” tegas beliau.
Dr Rosni menegaskan bahawa Islam menyuruh umatnya merawat orang sakit dan mencegah penyakit, namun tidak mengajar supaya diberikan ruang sehingga perbuatan maksiat kelihatan lebih mudah, lebih selamat dan lebih diterima masyarakat.
“Sebab itu, ‘policy maker’ yang mesra Islam sangat penting. Mereka perlu memastikan dasar kesihatan tidak hanya tunduk kepada kerangka liberal atas nama hak, akses dan kesihatan awam semata-mata.
“Dasar kesihatan mesti seimbang antara rawatan, pencegahan penyakit, pendidikan akhlak dan perlindungan nilai keluarga,” ulas beliau.
Dr Rosni menekankan bahawa, dasar kesihatan perlu dirangka berasaskan ilmu, data dan panduan syarak.
Menurutnya, antara isu yang sedang dibangkitkan ketika ini ialah penggunaan ubat PrEP, iaitu ubat pencegahan HIV untuk individu yang belum dijangkiti tetapi dikenal pasti berisiko tinggi.
“Dari sudut perubatan, PrEP memang disebut mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV jika diambil mengikut preskripsi.
“Namun persoalannya ialah kepada siapa ubat ini diberikan, bagaimana ia dipromosikan, dan apakah mesej sosial yang sedang dibina?” soalnya.
Beliau menjelaskan, kebimbangan utama bukan semata-mata terhadap ubat itu sendiri, sebaliknya pendekatan dasar yang terlalu terbuka sehingga PrEP boleh diakses oleh semua orang secara sewenang-wenangnya.
“Ubat ini juga berpotensi untuk disalahgunakan,” kata Dr Rosni yang juga merupakan Penyelaras Parlimen Bandar Tun Razak (PAS).
Dalam pada itu, Dr Rosni mengingatkan, Islam menitikberatkan aspek penjagaan nyawa dan pencegahan penyakit, namun pada masa sama turut menekankan pemeliharaan agama, keturunan, maruah dan akhlak masyarakat sebagai sebahagian daripada maqasid syariah.
“Kita tidak boleh menyelesaikan satu mudarat dengan membuka pintu kepada mudarat yang lebih besar,” jelasnya.
Beliau berpandangan, sekiranya PrEP mahu digunakan, ia hendaklah diletakkan dalam kerangka yang ketat serta bertanggungjawab.
“Kaunseling wajib diperkukuh. Fatwa perlu dirujuk. Promosi terbuka yang boleh menggalakkan hubungan songsang mesti dikawal.
“Dana awam tidak boleh digunakan secara cuai sehingga dilihat membantu perbuatan yang bercanggah dengan agama,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, pihaknya bukan mahu membiarkan orang sakit atau menafikan rawatan kepada mana-mana pihak.
“Tetapi dasar kesihatan tidak boleh dibuat sehingga masyarakat keliru antara merawat penyakit dengan merestui gaya hidup yang salah.
“Inilah bezanya ‘policy maker’ biasa dengan ‘policy maker’ yang faham Islam. Yang pertama mungkin hanya melihat angka jangkitan HIV.
“Yang kedua melihat lebih jauh iaitu, kesihatan tubuh, akhlak masyarakat, institusi keluarga dan masa depan generasi,” katanya.
Dr Rosni menyifatkan, isu PrEP sebagai perkara yang seharusnya membuka mata masyarakat mengenai keperluan kepada pembuat dasar yang bukan sahaja memahami kesihatan awam, malah mendalami agama, maqasid syariah dan sensitiviti umat Islam.
“Ubat boleh mengurangkan risiko penyakit. Tetapi dasar yang salah boleh merosakkan cara fikir masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/6/2026











