‘Kedudukan individu dalam Kerajaan PAS tak terjejas’

Susulan PAS hentikan kerjasama dengan BERSATU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kedudukan individu dalam kerajaan yang dipimpin PAS tidak terjejas susulan keputusan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU, selagi mereka terus menyokong dan bekerjasama dengan PAS.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan, kestabilan politik kekal menjadi keutamaan parti dalam menguruskan perkembangan semasa.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, PAS akan memberi ruang kepada pihak terbabit untuk menentukan pendirian masing-masing tanpa sebarang campur tangan.

“Kestabilan politik kekal diutamakan. Masa perlu diberikan kepada mereka untuk membuat pendirian masing-masing dan PAS tidak akan mencampurinya,” katanya dalam media sosial miliknya.

Menurut Annuar, PAS mengambil kira hakikat bahawa masih ramai ahli BERSATU yang mahu meneruskan kerjasama dengan parti itu.

“PAS mengambil kira tentang ramainya ahli BERSATU yang kekal mahu bekerjasama dengan PAS. Ia dialu-alukan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan tumpuan utama PAS ketika ini adalah memperkasa parti bagi membolehkan amanah dan aspirasi rakyat dipikul dengan lebih berkesan.

Selain itu, katanya, PAS akan terus berusaha menjayakan agenda perpaduan politik Melayu-Islam serta memperkukuh muafakat pelbagai kaum demi masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.

Annuar turut menjelaskan keputusan menghentikan hubungan di peringkat parti tidak menjejaskan hubungan antara individu dan ahli kedua-dua parti.

Sebaliknya, hubungan sedia ada akan diteruskan seperti biasa dan terus dipelihara atas dasar saling menghormati.

“Hubungan peringkat parti diberhentikan. Di peringkat individu dan ahli berjalan seperti biasa, malah terus dihormati,” jelasnya.

Beliau berkata, PAS memahami cabaran dalaman serta proses transisi yang sedang dihadapi BERSATU dan atas sebab itu parti berkenaan kekal mengambil pendekatan terbuka serta mesra terhadap semua ahlinya.

“PAS mengambil perhatian dinamik kalangan ahli BERSATU di mana berkemungkinan berlaku hijrah besar-besaran dari satu pihak ke satu pihak,” katanya.

Terdahulu, PAS telah memuktamadkan keputusan menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang turut memperakukan keputusan Majlis Syura Ulamak berkaitan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik atas prinsip penyatuan ummah.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-BERSATU.

Pada masa sama, menurut Tuan Guru, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu demi penyatuan ummah menjelang pilihan raya akan datang, selain menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti itu. – HARAKAHDAILY 10/6/2026

- Advertisement -