
SATU dakwaan tular baru-baru ini menyatakan bahawa hujan di Iran berlaku selepas kemusnahan satu ‘senjata cuaca’ Amerika Syarikat–Israel yang dikaitkan dengan pembenihan awan. Walau bagaimanapun, laporan media menjelaskan bahawa dakwaan ini belum disokong oleh bukti saintifik. Sistem yang dirujuk sebenarnya adalah radar ketenteraan. Sepintas lalu ia dikatakan bukan teknologi kawalan cuaca.
Namun kita juga kekurangan maklumat tentang apa sebenarnya yang dilakukan oleh radar tersebut sepanjang operasinya. Realitinya, krisis air di Timur Tengah semakin serius, khususnya di Iran dan Iraq.
Iran dilaporkan mengalami antara kemarau terburuk dalam beberapa dekad, dengan penurunan hujan yang ketara di banyak wilayah serta paras air empangan yang semakin kritikal. Kekurangan air ini menjejaskan bekalan domestik, pertanian dan industri.
Dalam keadaan tertentu, isu ini turut mencetuskan ketegangan sosial dan protes di beberapa kawasan. Situasi yang sama berlaku di Iraq, di mana paras air Sungai Tigris dan Euphrates menurun dengan ketara.
Kemarau berpanjangan, suhu yang meningkat serta pengurusan sumber air di hulu sungai telah menjejaskan sektor pertanian dan keselamatan makanan.
Laporan antarabangsa menyifatkan keadaan ini sebagai antara krisis air paling serius dalam sejarah moden rantau tersebut. Dalam konteks ini, sebarang perubahan mendadak dalam corak hujan sering menimbulkan spekulasi.
Walaupun dakwaan tersebut tidak berasas, teknologi pembenihan awan dan pengurusan air berasaskan AI memang sedang berkembang, khususnya di United Arab Emirates (UAE). Negara ini melabur dalam penyelidikan hujan, keselamatan air dan penggunaan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan sistem.
Pembenihan awan ialah proses meningkatkan kebarangkalian hujan dengan menyebarkan partikel halus seperti garam ke dalam awan yang mengandungi lembapan mencukupi. Partikel ini membantu pembentukan titisan air yang lebih besar sehingga jatuh sebagai hujan.
Proses ini hanya berkesan apabila keadaan atmosfera sesuai dan tidak boleh menghasilkan hujan tanpa kehadiran awan yang mencukupi. Cabaran utama pembenihan awan ialah menentukan masa dan lokasi yang sesuai untuk intervensi. Tidak semua awan sesuai untuk disemai dan keberkesanan pembenihan bergantung kepada faktor seperti suhu, kelembapan dan pergerakan angin.
AI digunakan untuk meningkatkan ketepatan keputusan dalam proses ini. Sistem AI menganalisis data daripada satelit, radar cuaca, sensor atmosfera dan model ramalan. Berdasarkan analisis tersebut, AI boleh mengenal pasti awan yang berpotensi menghasilkan hujan serta meramalkan bagaimana awan tersebut akan berkembang.
Di UAE, terdapat inisiatif seperti program kajian sains untuk meningkatkan hujan yang menyokong penggunaan AI dalam pembenihan awan. Model pembelajaran mesin digunakan untuk menilai kebolehan awan menghasilkan hujan dan menentukan masa optimum untuk operasi.
Penggunaan AI dalam pembenihan awan merangkumi beberapa fungsi utama, termasuk mengenal pasti awan yang sesuai, menentukan masa dan lokasi operasi, menganggarkan potensi hasil hujan serta menilai keberkesanan selepas operasi. Data hasil hujan kemudian dibandingkan dengan ramalan untuk menambah baik model AI secara berterusan.
Selepas hujan berlaku, air tersebut perlu diurus dengan cekap melalui sistem penuaian air hujan. Penuaian air hujan melibatkan pengumpulan air daripada bumbung, kawasan tadahan, sistem saliran dan takungan.
Di kawasan bandar, hujan lebat boleh menyebabkan limpahan air jika tidak diurus dengan baik. Sistem moden menggunakan sensor untuk memantau paras air, kadar aliran dan kapasiti simpanan.
AI digunakan untuk mengawal sistem ini secara automatik. Contohnya, AI boleh menentukan sama ada air perlu disimpan, dialihkan atau dilepaskan secara terkawal. Pendekatan ini membantu mengurangkan pembaziran dan meningkatkan penggunaan air yang dikumpul.
Bagi UAE, penggunaan teknologi ini penting kerana pergantungan tinggi kepada penyahgaraman air laut. Proses ini memerlukan kos dan tenaga yang tinggi, manakala hujan merupakan sumber tambahan yang boleh dimanfaatkan jika diurus dengan baik.
Peranan Israel dalam konteks ini adalah melalui kerjasama teknologi, bukan operasi pembenihan awan secara langsung. Selepas Abraham Accords, kerjasama antara kedua-dua negara berkembang dalam bidang pengurusan air, pertanian dan teknologi.
Israel mempunyai kepakaran dalam kecekapan penggunaan air, sistem pengairan pintar dan analitik data. Kerjasama yang dilaporkan melibatkan projek berkaitan keselamatan air, rawatan air dan teknologi pertanian, termasuk pembangunan sistem untuk mengoptimumkan penggunaan air dan meningkatkan kecekapan sumber air. Gabungan kepakaran ini membentuk satu ekosistem teknologi yang menyokong pengurusan air secara menyeluruh.
UAE memberi tumpuan kepada pembenihan awan dan pengumpulan air, manakala Israel menyumbang kepada pengoptimuman penggunaan air melalui teknologi. Persoalan tentang sejauh mana teknologi ini boleh mempengaruhi taburan hujan, masih terbuka untuk perbincangan.
Pada masa ini, kita belum mempunyai gambaran penuh. Mungkin dalam beberapa bulan akan datang, apabila corak cuaca melalui beberapa kitaran lagi dan lebih banyak data dikumpulkan, analisis yang lebih jelas dapat dibuat. Buat masa ini, perdebatan ini wajar diteruskan secara terbuka, berasaskan fakta dan pemerhatian saintifik. – HARAKAHDAILY 3/5/2026
(M.Mahmood ialah penulis dalam bidang teknologi maklumat di medium.com. Tulisan beliau diterbitkan di ruangan DevGenius, TowardsDev, Python In Plain English, Low Code For Data Science dan System Weakness)











