
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menzahirkan kecaman paling keras terhadap tindakan rejim Israel yang memintas dan menahan peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa, awal pagi semalam.
Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan pencerobohan yang melibatkan penahanan 10 rakyat Malaysia itu sebagai satu bentuk ‘lanun moden’ dan keganasan negara (state terrorism) yang mencabuli undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan, tindakan agresif tersebut bukan sahaja melanggar prinsip kebebasan pelayaran, malah menunjukkan tahap intimidasi ketenteraan yang membimbangkan melalui gangguan komunikasi dan penggunaan dron pemantau.
“Parti Islam Se Malaysia (PAS) menyatakan kecaman paling keras terhadap tindakan zalim rejim Israel yang telah memintas, menceroboh serta menahan kapal-kapal peserta Global Sumud Flotilla yang sedang melaksanakan misi kemanusiaan ke Gaza.
“Tindakan ini bukan sahaja mencabuli prinsip kebebasan pelayaran, bahkan merupakan satu bentuk lanun moden (modern-day piracy) dan keganasan negara (state terrorism) yang terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Misi Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) merupakan inisiatif kemanusiaan antarabangsa yang membawa bantuan perubatan dan makanan bagi menembus kepungan haram ke atas Gaza melalui jalan laut.
Krisis tercetus apabila 22 kapal yang membawa 186 aktivis dipintas oleh tentera laut rejim Zionis pada awal pagi semalam sebagaimana disahkan Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC).
Laporan rasmi mengesahkan sekurang-kurangnya enam kapal telah ditahan secara langsung, termasuk kapal yang dinaiki 10 warga Malaysia, menyebabkan mereka kini berdepan risiko keselamatan dan penahanan tidak sah di bawah bidang kuasa antarabangsa.
Dr Muhammad Khalil yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu turut menggariskan beberapa tuntutan utama bagi mendesak pembebasan segera tanpa syarat semua aktivis ditahan.
Kerajaan Malaysia gesanya, mesti bertindak lebih berani dengan menggerakkan tekanan diplomatik agresif serta memanfaatkan platform ASEAN dan OIC untuk tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula gesanya, perlu mengadakan sidang tergempar Majlis Keselamatan dan menubuhkan siasatan bebas serta telus terhadap insiden pencerobohan tersebut.
Kesatuan Eropah (EU) dituntutnya, agar segera menghentikan pendekatan selektif hak asasi manusia dan mengenakan sekatan ekonomi serta diplomatik terhadap rejim Israel.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) juga katanya, mesti mempercepatkan siasatan jenayah perang terhadap Israel atas penahanan aktivis kemanusiaan dan serangan terhadap misi bantuan.
Beliau turut menekankan kepentingan jaminan bantuan konsular yang berterusan dan saluran maklumat telus kepada keluarga 10 rakyat Malaysia yang terlibat.
“PAS menegaskan bahawa tindakan Israel ini bukan insiden terpencil, tetapi sebahagian daripada strategi penindasan sistematik terhadap Gaza yang telah lama dikenakan sekatan dan dinafikan hak kemanusiaan asas.
“Diam terhadap kezaliman bukan neutral, ia adalah sokongan kepada penindasan,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.
PAS memberi amaran bahawa kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak secara tegas hanya akan menggalakkan lebih banyak kezaliman dan pencabulan undang-undang antarabangsa pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 1/5/2026











