
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pementasan teater tular di sebuah kampus baru-baru ini sebagai sesuatu yang dikesali kerana dilihat melampaui batas tatasusila masyarakat.
Bekas pensyarah itu berkata, pihak pengurusan universiti juga difahamkan sudah mengeluarkan teguran keras terhadap pihak yang terbabit dalam pementasan berkenaan.
“Secara umumnya, ia adalah satu perkara yang kita kesali dan pihak universiti pun saya difahamkan telah membuat teguran yang agak keras terhadap apa yang berlaku.
“Jadi kepada anak-anak muda di luar sana yang masih terlibat dalam aktiviti luar seperti ini, tidak kira pementasan ataupun apa juga, perlulah menjaga tata susila dan batas-batas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pementasan teater membabitkan babak tidak senonoh dalam sebuah pementasan teater di Universiti Malaya (UM) yang mengundang reaksi pelbagai pihak di media sosial.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, golongan muda perlu lebih peka terhadap nilai agama dan budaya tempatan supaya setiap program dianjurkan tidak menimbulkan keresahan masyarakat.
Katanya, sebarang aktiviti yang diadakan perlu dilaksanakan dalam ruang lingkup dibenarkan mengikut ajaran agama serta norma budaya negara.
“Semua pihak perlu memastikan ia berada dalam sempadan yang dibolehkan mengikut agama masing-masing, terutama di mana Islam adalah agama Persekutuan dan norma budaya yang diterima masyarakat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dan wanita melakonkan babak intim di atas pentas, yang difahamkan merupakan sebahagian daripada pementasan teater di UM.
Rakaman berkenaan memaparkan dua pelakon melakukan aksi fizikal di mana dianggap tidak senonoh di atas pentas di hadapan penonton yang rata-ratanya terdiri daripada mahasiswa.
Rata-rata netizen menyifatkan persembahan tersebut sebagai melampau serta mencemarkan imej UM sebagai universiti elit.
Pihak UM menjelaskan bahawa setiap aktiviti pelajar tertakluk kepada peraturan ketat yang mewajibkan setiap persembahan bebas daripada unsur negatif, provokasi, atau kandungan boleh menjejaskan nilai agama, moral, etika dan budaya.
Kes ini kini dalam perhatian serius pihak pengurusan tertinggi universiti bagi tindakan tatatertib selanjutnya terhadap individu yang terlibat. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











