
KUALA LUMPUR: Sokongan rakyat yang gagal diperolehi Kerajaan Madani disifatkan sebagai punca kepada penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka telah dicadangkan oleh pemimpin Umno dan DAP.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff mengibaratkan situasi tersebut seperti perlawanan bola di padang yang dihentikan apabila pasukan sendiri hampir kalah.
Namun katanya, perlawanan bola itu hanya diteruskan apabila pasukan berkenaan berada dalam kedudukan selesa, sambil menyifatkan tindakan itu tidak wajar dan tidak ‘gentleman’ dalam menghadapi kemarahan rakyat.
Beliau mengulas demikian sebagai reaksi kepada cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong yang mengemukakan supaya PRN Johor dan Melaka ditangguhkan.
Bersandar analisis pernah dilakukannya, Dr Nurul Islam berkeyakinan bahawa Umno akan menjadi parti yang kehilangan kerusi paling banyak dalam PRN Melaka iaitu dengan jangkaan hanya tinggal sekitar tiga kerusi sahaja.
Sedangkan Perikatan Nasional (PN) menurut beliau, bakal memperoleh momentum yang kuat menjelang PRN tersebut di mana sepatutnya akan berakhir pada November tahun ini setelah genap tempoh bagi penggal kali ini.
“Gabungan DAP dan PKR yang selama ini bergantung kepada pengundi Cina pula dijangka berdepan cabaran besar, berikutan wujud segmen pengundi tersebut tidak keluar mengundi kerana kecewa terhadap Kerajaan Madani,” katanya.
Menurut Nurul Islam, keadaan ekonomi semasa turut menjadi faktor tambahan yang boleh mempengaruhi sentimen pengundi, selain merujuk kepada ‘tinjauan sikap pengundi Cina’ yang telah menunjukkan pola ketidakpuasan hati.
Jangkaan beliau itu turut dikaitkan dengan kemungkinan berulangnya senario seperti yang pernah berlaku iaitu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap sebagai isyarat perubahan sokongan dalam kalangan pengundi.
Malah, Dr Nurul Islam yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Negeri Selangor menyifatkan petunjuk lebih besar daripada rakyat selaku pengundi telah dizahirkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri Sabah.
Sehubungan itu beliau berpandangan, cadangan itu tidak sepatutnya timbul kerana sistem pentadbiran negara kini berfungsi seperti biasa, berbanding ketika tempoh pandemik yang menyaksikan sekatan pergerakan dan risiko kesihatan awam.
Menurutnya, alasan berkaitan kemelut ekonomi akibat konflik geopolitik yang melanda telah dikemukakan bagi menyokong cadangan tersebut sama sekali dilihat tidak konsisten dengan pendirian terdahulu oleh pihak berkenaan.
Beliau membandingkan situasi itu dengan pelaksanaan darurat politik pada tahun 2021 ketika pandemik COVID-19 yang menurutnya digunakan sebagai hujah oleh pihak tertentu untuk mengkritik kerajaan PN ketika itu.
“Sekarang ini tiada keadaan darurat seperti pandemik COVID-19. Negara berfungsi seperti biasa, semua cabang kerajaan berjalan seperti biasa,” katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam.
Terdahulu, PRN Melaka sebelum ini diadakan pada November 2021 selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran krisis politik yang menyaksikan kehilangan sokongan majoriti terhadap kerajaan negeri ketika itu.
PRN tersebut menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan majoriti kerusi DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri baharu.
Sejak itu, landskap politik Melaka terus berkembang dengan perubahan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang menyaksikan pembentukan Kerajaan Perpaduan melibatkan Umno bersama PH. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











