
IPOH: Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) mengharapkan kerajaan menjalankan kajian serta mempertingkatkan audit terhadap aktiviti perlombongan pasir di sepanjang Sungai Perak.
Beliau sehubungan permasalahan itu juga mengemukakan cadangan supaya kerajaan menyenaraikan pemegang lesen bersama kawasan operasi yang sedang dijalankan.
Di samping itu menurutnya, kerajaan juga perlu memastikan penguatkuasaan dan pemantauan berkala dilaksanakan terhadap aktiviti pengeluaran pasir.
“Satu isu yang sering dipinggirkan tetapi amat kritikal iaitu aktiviti perlombongan pasir haram dan berlebihan di Sungai Perak (walaupun memberi kesan kritikal kepada alam sekitar dan kehidupan rakyat),” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Sultan Perak sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat pada Persidangan Dewan Negeri di Bangunan Darul Ridzuan, di sini semalam.
Ujarnya, hakisan tebing sungai akibat pengeluaran pasir secara berleluasa menyumbang kepada peningkatan risiko banjir, kehilangan sumber air bersih serta kemusnahan ekosistem sungai.
Tambah beliau, keadaan itu memberi kesan langsung kepada penduduk di kawasan sepanjang Sungai Perak termasuk Bota, Belanja, Kampung Gajah dan Pasir Salak.
“Orang Bota yang bimbang tentang perlombongan pasir ini telah menyebabkan hakisan tebing sungai yang melibatkan tanah-tanah pertanian mereka.
“Ada juga hakisan sungai itu berlaku hampir dengan rumah mereka yang terletak di tepi Sungai Perak,” jelasnya.
Beliau mengakui industri perlombongan pasir menyumbang kepada hasil negeri dan pembangunan ekonomi, namun menegaskan kesan terhadap penduduk setempat tidak boleh diabaikan.
Katanya yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, selain hakisan, keadaan jalan kampung turut terjejas akibat pergerakan lori berat yang keluar masuk membawa pasir.
“Turut berlaku gangguan ketenteraman termasuk bunyi bising kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan pam pasir,” katanya lagi.
Menurut beliau, isu berkenaan bukan sekadar persepsi, sebaliknya realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat di kawasan terbabit. – HARAKAHDAILY 17/4/2026











