
KUALA LUMPUR: Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat mengecam sekeras-kerasnya keputusan Parlimen Israel (Knesset) yang meluluskan Rang Undang-Undang pada 30 Mac lalu bagi meluaskan penggunaan hukuman mati terhadap tahanan rakyat Palestin.
Pengerusinya, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kelulusan Rang Undang-Undang itu bakal memberi ancaman serius kepada nyawa ribuan rakyat Palestin yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel.
“Tindakan tersebut bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah jelas menyalahi undang-undang antarabangsa serta mencabuli prinsip hak asasi manusia sejagat.
“Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan ini merupakan satu kaedah sistematik untuk melaksanakan ‘genocide’ (genosid) secara terancang, dengan tujuan menghapuskan kebangkitan rakyat Palestin serta menafikan hak mereka ke atas tanah air sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial, hari ini.
Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar segera bertindak tegas menentang pelaksanaan undang-undang berkenaan.
Katanya, tekanan antarabangsa perlu dipertingkatkan bagi memastikan pihak berkuasa Israel tidak meneruskan pelaksanaan undang-undang yang disifatkannya sebagai ‘draconian’ itu.
“Selagi tiada tindakan keras dikenakan, selagi itulah rejim ini akan terus bermaharajalela melakukan pelbagai bentuk penindasan mengikut kehendak mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Israel perlu dikenakan sekatan yang lebih tegas merangkumi aspek ekonomi, politik dan ketenteraan supaya negara itu mematuhi undang-undang antarabangsa.
Tambah beliau lagi, kelulusan Rang Undang-Undang tersebut turut menerima kecaman daripada beberapa negara Eropah termasuk Belanda, Perancis, Jerman, Britain dan Itali, namun reaksi daripada negara-negara Islam dilihat masih belum memadai.
“Sampai bila rakyat Palestin perlu menanggung akibat daripada kelesuan dunia Islam dan terus menjadi ‘pak turut’ kepada penjajah yang sekian lama menindas mereka?
“Sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa bangkit menentang serta mengheret rejim ini ke muka pengadilan atas jenayah perang yang dilakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2026











