
TENTERA Iran atau IRGC terus ‘menghujani’ negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Holon, Ramat Gan, Petah Tivka, Bat Yam, Eilat, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, Kiryat Gat, Negev dan lain-lain tempat lagi.
Tentera Iran atau IRGC memberi amaran berikutan ancaman Donald Trump, jika infrastruktur tenaga serta minyak dan gas Iran diserang, semua infrastruktur tenaga, teknologi maklumat dan loji penapisan air yang dimiliki oleh Amerika Syarikat mahupun rejim penjajah Zionis Israel di Asia Barat akan menjadi sasaran.
Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf berkata institusi kewangan yang membiayai belanjawan tentera Amerika Syarikat adalah ‘sasaran yang sah’. Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat ‘direndam dengan darah rakyat Iran’. Membelinya dan anda membeli satu serangan ke atas ibu pejabat dan aset anda (institusi kewangan).
Komander Divisyen Khatam al-Anbiya Tentera Iran, Mejar Jeneral Abdollahi Aliabadi berkata seperti yang dinyatakan dahulu, doktrin tentera Iran adalah untuk mempertahankan Republik Islam Iran dan kini ia telah bertukar dari bertahan kepada menyerang dan banyak perubahan telah dilakukan kepada strategi peperangan berdasarkan keadaan.
Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Tabriz, Isfahan, Dastak, Karaj, Yazd, Khorramabad, Bandar Abbas dan juga fasiliti nuklear Natanz.
Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Taybeh, Bint Jbeil, Kfar Tabnite, dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan. Tentera rejim penjajah Zionis Israel melancarkan serangan dan mengebom Jambatan Qasimiya di Sungai Litani, selatan Lubnan dalam usaha untuk memutuskan jalan perhubungan utama antara bandar-bandar di Selatan Lubnan.
Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Kiryat Shmona, Galilee, Misgav Am, Metula, Margilot, Manara dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent menyatakan bahawa semua pilihan telah diambil kira berkenaan Pulau Kharg termasuk menghantar tentera Amerika Syarikat untuk menawannya.
Bloomberg melaporkan bahawa keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk melancarkan serangan ke atas Iran sebahagian besarnya disebabkan tekanan dari sekutu luar seperti Benjamin Netanyahu dan Rupert Murdoch.
Berikutan serangan peluru berpandu Iran semalam yang menyaksikan kemusnahan besar di Arad dan Dimona, pendatang haram yahudi di Tebing Barat beramai-ramai menyerang dan membakar penempatan dan perkampungan Palestin.
Menteri Keselamatan Nasional negara haram Israel, Itamar Ben-Gvir ketika melawat Arad yang musnah akibat bedilan peluru berpandu Iran semalam menerima kecaman, cercaan dan herdikan daripada pendatang yahudi yang berkata beliau adalah Yahudi Nazi dan adalah punca utama apa yang berlaku di Arad dan Dimona.
Media negara haram Israel, Channel 11 melaporkan bahawa lokasi yang menjadi sasaran peluru berpandu Iran di Arad semalam adalah tempat tinggal kepada kumpulan penting saintis dan jurutera yang dipercayai terbabit dalam program nuklear negara haram Israel.
Daily Mail melaporkan bahawa kapal selam nuklear HMS Anson dilaporkan telah tiba di Laut Arab dan akan terbabit dalam peperangan dengan Iran jika konflik menjadi semakin meningkat.
“’Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
3 Ramadan 1447H / 23 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 23/3/2026











