
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff, menegaskan bahawa rumah terbuka Aidilfitri merupakan tradisi unik di Malaysia yang mencerminkan nilai keterbukaan dan semangat kekeluargaan dalam masyarakat.
Beliau berkata, amalan ini memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama untuk mengunjungi rumah rakan atau jiran tanpa mengira latar belakang.
“Interaksi santai dalam suasana perayaan membolehkan mereka saling mengenali budaya, adat dan makanan tradisional seperti ketupat, rendang dan lemang.
“Apabila masyarakat berkongsi pengalaman ini bersama, ia secara tidak langsung mengurangkan prasangka dan membina rasa saling menghormati.
“Pertemuan secara bersemuka dalam suasana mesra dapat mengukuhkan hubungan sosial, sekali gus menjadikan rumah terbuka sebagai platform penting untuk memupuk keharmonian antara kaum dan agama,” katanya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu, Dr Wan Martina turut menyenaraikan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan rumah terbuka benar-benar menjadi medium perpaduan.
“Antaranya rumah terbuka komuniti yang melibatkan penganjuran di peringkat taman perumahan, kampung atau komuniti dapat menggalakkan penyertaan semua kaum secara lebih inklusif.
“Kedua, program pertukaran budaya yang melibatkan aktiviti seperti penerangan ringkas tentang adat Aidilfitri, persembahan seni budaya atau permainan tradisional boleh diadakan supaya tetamu lebih memahami budaya masyarakat Melayu dan Islam.
“Ketiga, penglibatan institusi awam dan pendidikan. Sekolah, universiti dan organisasi masyarakat boleh menganjurkan rumah terbuka melibatkan pelajar dan komuniti pelbagai kaum untuk memupuk kefahaman sejak peringkat muda,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata aktiviti kesukarelawanan bersama.
“Contohnya menyediakan makanan bersama, mengagihkan sumbangan kepada golongan memerlukan atau program gotong-royong sebelum majlis.
“Aktiviti sebegini dapat membina semangat kebersamaan,” ujar beliau.
Dr Wan Martina turut berkongsi bahawa pengalaman menghadiri rumah terbuka memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat keindahan kepelbagaian budaya di Malaysia.
“Apabila seseorang merasai sambutan perayaan kaum lain, mereka lebih mudah memahami nilai yang dikongsi bersama seperti hormat, kesyukuran dan kekeluargaan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan, tetamu bukan Muslim yang hadir dapat memahami makna sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai hari kemenangan selepas berpuasa serta hari untuk bermaafan.
Pada masa yang sama, beliau berkata tuan rumah juga menghargai kehadiran tetamu daripada pelbagai latar belakang.
“Pengalaman interaksi ini membina empati, menghapuskan stereotaip dan akhirnya memperkukuhkan semangat perpaduan.
“Dalam jangka panjang, tradisi rumah terbuka bukan sekadar jamuan perayaan, tetapi menjadi simbol keharmonian dan kekuatan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2026











