Perkembangan mutakhir perang Iran – AS – negara haram Israel

- Advertisement -

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam laman media sosial Truth Social menyatakan bahawa Amerika Syarikat semakin hampir untuk mencapai objektifnya dalam peperangan dengan Iran dan sedang berkira-kira untuk menamatkan perang di Asia Barat. Dalam wawancaranya dengan Fox News beliau menyatakan bahawa tidak mahu mengadakan gencatan senjata dengan Iran kerana telah berjaya memusnahkan Iran.

Tentera Iran atau IRGC terus ‘menghujani’ negara haram Israel dengan serangan peluru berpandu balistik dan dron yang menyasarkan Tel Aviv, Jerusalem, Negev, Beit Shemesh, Gush Dan, Rishon LeZion, Dimona, Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion, loji pemprosesan minyak dan gas di Haifa dan Ashdod, Arad, Massada dan lain-lain tempat lagi. Operasi pemrosesan minyak dan gas di Haifa terpaksa dihentikan akibat kerosakan teruk.

Dalam serangan peluru berpandu terbaharu Iran awal pagi tadi, pertamanya ke atas Arad, dilaporkan sekurang-kurangnya 8 orang pendatang Yahudi mati dengan lebih 100 lagi dilaporkan mengalami kecederaan. Dalam satu lagi serangan peluru berpandu ke atas Dimona, dilaporkan sekurang-kurangnya lebih 120 orang pendatang Yahudi cedera namun tidak dilaporkan angka kematian. Misi mencari dan menyelamat masih diteruskan dengan angka kematian dan kecederaan mungkin akan terus meningkat.

- Advertisement -

Tentera Iran atau IRGC terus melancarkan serangan udara dan dron ke atas aset-aset strategik dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, UAE, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Jordan dan Erbil di wilayah Kurdistan termasuk pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad. Serangan ke atas pangkalan tentera udara Victoria di Baghdad semalam menyebabkan beberapa letupan besar kedengaran di Baghdad dan kebakaran besar berlaku ke atas pangkalan tentera tersebut.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf berkata ‘jika rejim penjajah Zionis Israel tidak mampu memintas peluru berpandu di kawasan yang amat ketat dilindungi iaitu Dimona, secara operasinya ia adalah tanda bahawa peperangan ini telah memasuki fasa baharu. Langit di negara haram Israel kini ‘tidak bermaya untuk bertahan’. Nampaknya masanya telah tiba untuk mengimplementasikan pelan seterusnya yang telah dilakar’.

IRGC dalam satu kenyataannya menyatakan bahawa ia telah berjaya menembak pesawat pejuang ketiga di ruang udara Iran, iaitu pesawat pejuang F-16 milik tentera udara rejim penjajah Zionis Israel dengan peluru berpandu sistem pertahanan udara.

Kementerian Kesihatan negara haram Israel melaporkan bahawa sejak perang meletus, seramai 4,099 orang pendatang haram Yahudi mengalami kecederaan dengan 20 daripadanya mengalami kecederaan parah. Bagaimanapun negara haram Israel masih mengenakan ‘censorship’ ketat dengan tidak mendedahkan jumlah kematian baik di kalangan tentera penjajah rejim Zionis Israel mahupun pendatang haram Yahudi.

Tentera udara Amerika Syarikat dan negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran dengan menyasarkan aset-aset strategik di Tehran, Shiraz, Bushehr, Karaj, Bandar Abbas, Isfahan, Khuzestan, Ahvaz dan lain-lain tempat lagi. Serangan juga dilancarkan ke atas fasiliti nuklear Natanz di Iran.

Tentera udara negara haram Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Lubnan dengan menyasarkan Beirut, Khiam, Taybeh, Hanin, Kafra, Bint Jbeil, Ainata dan sebahagian besar bandar di selatan Lubnan.

Hezbullah terus melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara haram Israel dengan menyasarkan serangan ke atas Tel Aviv, Haifa, Akka, Tiberias, Kiryat Shmona, Galilee, Yiron, Netanya, Metula, Kfar Yuval, Zarit, Misgav Am , Eilat dan sebahagian besar wilayah utara negara haram Israel. Hizbullah juga dilaporkan telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera rejim penjajah Zionis Israel di Filon, Selatan Rosh Pinna. Dilaporkan bahawa serangan peluru berpandu Hizbullah ke atas Ma’a lot Tarshiha telah mengakibatkan lebih daripada 30 orang pendatang Yahudi dilaporkan cedera namun tiada angka kematian dilaporkan.

NATO telah menggantung buat sementera waktu misinya di Iraq dan mengundurkan lebih 600 orang kakitangannya berikutan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat. Poland juga dilaporkan telah mengundurkan tenteranya dari Iraq.

Amerika Syarikat dilaporkan telah mengerahkan 3 kapal perang tambahan dengan kekuatan 2,500 orang anggota tentera marin untuk menyokong operasi ketenteraan di Asia Barat. Menurut laporan Reuters, anggota tentera Amerika Syarikat yang sedang dikerahkan ke Asia Barat berkemungkinan akan terbabit dalam operasi ketenteraan darat ke atas Iran.

Iran memberi amaran kepada UAE bahawa serangan akan dilancarkan ke atas bandar pelabuhan Ras al-Khaimah jika berlaku serangan baharu ke atas Iran khususnya pulau-pulau milik Iran di Teluk Parsi.

Middle East Eye melaporkan bahawa Arab Saudi telah membuka pangkalan tentera udara King Fadh kepada tentera Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat sedang menekan Arab Saudi untuk terbabit sama dalam perang Amerika Syarikat-negara haram Israel ke atas Iran dan menggesa Arab Saudi untuk melancarkan serangan balas ke atas Iran.

Wall Street Journal melaporkan bahawa tentera Iran atau IRGC telah melancarkan 2 buah peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Udara Amerika Syarikat atau Britain yang terletak Pulau Diego Garcia, 4,000km daripada Tehran. CBS melaporkan bahawa Pentagon telah membuat persiapan terperinci mengenai kemungkinan pencerobohan dan serangan tentera darat Amerika Syarikat ke atas Iran. Dalam masa yang sama jurucakap Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan laporan di atas.

BBC Arabic mendedahkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menuntut sebanyak USD5 Trillion daripada negara-negara Teluk untuk meneruskan perang dengan Iran dan USD2.5 Trillion untuk menamatkannya.

Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan senjata berjumlah USD16.46 Billion kepada UAE, Kuwait dan Jordan.

Ansarullah secara rasmi mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat dengan berpihak kepada Iran. Jurucakap Ansarullah juga turut menyatakan bahawa ia akan menyasarkan kapal Amerika Syarikat di Laut Merah dan perang ini adalah perang ke atas seluruh komuniti Islam.

Arab Saudi dilaporkan memberi masa 24 jam kepada atase ketenteraan Iran dan kakitangannya di Kedutaan Iran untuk meninggalkan Arab Saudi.

“’Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat
ADUN Batu Buruk
2 Ramadan 1447H/22 Mac 2026 – HARAKAHDAILY 22/3/2026

- Advertisement -