
KUALA LUMPUR: Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden mendesak Kementerian Pendidikan supaya tampil menjelaskan secara telus tahap kesiapsiagaan kementerian itu dalam melaksanakan dasar pengambilan murid berusia enam tahun ke Darjah Satu.
Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan ibu bapa tidak terus berada dalam keadaan kebimbangan, gusar dan kelam-kabut susulan pelaksanaan dasar berkenaan.
“Kalau tidak bersedia, kita desak supaya dasar ini ditangguhkan sekurang-kurangnya dua tahun lagi supaya semua benar-benar bersedia,” katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Menurut beliau, isu utama ketika ini ialah pelaksanaan yang dilihat berpotensi menimbulkan kekalutan sehingga akhirnya memberi kesan kepada murid.
“Isunya ialah buat kelam-kabut. Kita bimbang pelajar nanti akan jadi tikus makmal. Jangan buat kalutlah.
“Buat elok-elok. Bila buat elok-elok, semua orang boleh sokong. Kalau buat kelam-kabut ini nak ligan apa?
“Kami akan terus memantau pelaksanaan ni. Jawab dengan baik, jangan jegil mata,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan dasar berkenaan dan mahu kementerian memberikan jawapan yang baik serta jelas.
Dalam pada itu, beliau berkata keresahan dalam kalangan ibu bapa berhubung dasar kerajaan yang membenarkan pengambilan murid enam tahun ke Darjah Satu masih berterusan.
Katanya, rakyat kini menanti perkembangan lanjut memandangkan persoalan berkaitan perkara itu sudah dibangkitkan di Parlimen, namun sehingga kini tiada penjelasan jelas daripada kerajaan khususnya Menteri Pendidikan.
“Berapa banyak sekolah kita yang bersedia, berapa ramai pelajar yang hendak diambil, itu semua belum dijawab,” bimbangnya.
Beliau memaklumkan pendaftaran murid Darjah Satu telah dibuka bermula 15 Februari lalu sehingga 31 Mac, melibatkan kanak-kanak yang lahir pada 2020 untuk kemasukan usia tujuh tahun serta yang lahir sepanjang 2021.
Menurutnya lagi, pembukaan pendaftaran bagi kedua-dua kategori itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa yang bimbang anak mereka ketinggalan jika tidak segera mendaftar pada usia enam tahun.
“Bila buka sepanjang tahun macam itu, mak ayah jadi kelam-kabut. Mereka akan daftar anak supaya tidak ketinggalan. Tapi isunya adakah sekolah kita sudah bersedia?” soalnya lagi.
Beliau mengibaratkan keadaan itu seperti membuat pesanan dalam talian yang membolehkan orang ramai menjejaki perkembangan penghantaran.
“Kalau kita pesan barang secara dalam talian, kita hendak tengok progresnya, hendak ‘tracking’ parsel itu sudah sampai mana. Jadi inilah yang rakyat tanya, proses ini sudah sampai di mana,” katanya.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa persoalan mengenai jumlah sekolah yang benar-benar bersedia, kapasiti pengambilan murid serta kesiapsiagaan guru juga masih belum diperjelaskan.
Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat diterima, kementerian hanya dijangka mengadakan proses penataran, taklimat atau perbincangan dengan guru serta pegawai pendidikan pada April 2026.
“Kita pun ada kawan-kawan yang bekerja di dalam, mereka maklumkan masih bingung atau pening hendak buat macam mana,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2026











