
KUALA LUMPUR: Kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin kekal sebagai Ketua Pembangkang setakat ini, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan selepas pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada jam 11 pagi tadi.
“Saya berjumpa dengan Speaker pukul 11 tadi. Bila bincang-bincang itu, saya rujuk kepada kenyataan Speaker. Setakat ini Hamzah masih Ketua Pembangkang.
“Speaker pun setuju dan saya pun setakat ini kedudukannya begitulah,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung PAS dalam sidang media Parlimen di sini hari ini.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, sehingga kini tiada sebarang notifikasi diterima daripada kumpulan pembangkang berhubung kedudukan Ketua Pembangkang.
“Tidak ada apa-apa notifikasi daripada kumpulan pembangkang mengenai kedudukan Yang Berhormat Ketua Pembangkang kita. Jadi tidak ada apa-apa,” jelasnya.
Menurutnya, tiada perubahan kerusi yang akan dibuat dan PN tidak bercadang melakukan sebarang perubahan dalam tempoh terdekat memandangkan sidang Dewan Rakyat berbaki dua hari sahaja.
“Kita pun hanya ada dua hari lagi sidang. Jadi kita tidak fikir akan buat apa-apa perubahan setakat ini kerana masanya begitu singkat.
“Kita bincang. Masa panjang lagi. Tidak ada apa-apa keputusan setakat ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2026











