3 hari terakhir sidang Parlimen mesti dimanfaatkan sepenuhnya

Bersatu demi rakyat

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyeru agar seluruh pimpinan pembangkang, khususnya Ahli-ahli Parlimen, untuk segera merapatkan saf dan memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu rakyat yang semakin mendesak.

Ketika rakyat berdepan tekanan hidup yang semakin berat, kita tidak boleh terperangkap dalam polemik dalaman atau perdebatan soal jawatan.

- Advertisement -

Sidang Parlimen hanya berbaki kira-kira enam hari sahaja lagi. Tiga hari ini bukan tempoh biasa tetapi ia adalah waktu yang mustahak untuk kita menjadi suara yang lantang, tegas dan berprinsip dalam membela nasib rakyat.

Terlalu banyak isu besar yang masih tergantung tanpa keputusan tegas daripada pihak kerajaan.

Antaranya isu kuil dan tanah haram yang mencetuskan ketegangan awam, isu penjualan saham IJM kepada Sunway yang menimbulkan persoalan ketelusan, persoalan integriti melibatkan pengurusan tertinggi SPRM, pendedahan antarabangsa mengenai dakwaan mafia korporat yang dikaitkan dengan perlindungan pihak berkuasa, isu perkauman yang semakin membimbangkan, serta tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang terus meningkat.

Semua ini adalah isu rakyat. Isu yang menuntut penelitian, perbahasan dan pendirian yang jelas di Parlimen.

Justeru, ini bukan waktu untuk merebut kuasa. Ini bukan waktu untuk membalas dendam. Ini bukan waktu untuk bertengkar sesama sendiri.

Rakyat tidak menilai kita berdasarkan siapa memegang jawatan, tetapi berdasarkan sejauh mana kita berani memperjuangkan nasib mereka.

Perbahasan mengenai jawatan Ketua Pembangkang atau soal dominasi politik tidak harus mengatasi keutamaan membela kepentingan rakyat.

Pemuda PAS menegaskan bahawa pembangkang mesti memainkan peranan sebagai pengimbang yang efektif, menyemak, menegur dan mencadangkan penyelesaian secara matang dan bertanggungjawab.

Berhentilah daripada merasakan diri paling betul. Marilah kita kembali kepada asas perjuangan, menyantuni rakyat, mengangkat suara mereka dan memastikan setiap isu dibawa dengan tegas ke dalam Dewan Rakyat.

Sejarah akan menilai sama ada kita menggunakan enam hari ini untuk kepentingan rakyat, atau sekadar memenuhi kepentingan politik sempit.

KHAIRUL NADZIR HELMI AZHAR
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 26/2/2026

- Advertisement -