‘Nak jaga Islam pun takut, baik gi jaga tandas awam’

Ustaz Rosli bidas Menteri Agama

Dato' Ustaz Rosli Abdul Jabar
- Advertisement -

KUANTAN: Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abd Jabar, menegaskan tindakan menghina Islam sehingga ke peringkat memijak al-Quran di negara umat Islam tidak sepatutnya dipandang ringan atau ditangani secara berlembut.

Beliau berkata, sikap takut untuk mempertahankan Islam dan terlalu berlembut dalam isu berkenaan adalah tidak wajar.

“Hina Islam hingga sampai ke peringkat pijak al-Quran di negara umat Islam, masih nak berlembut juga, nak jaga Islam pun takut, baik gi jaga tandas awam,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

- Advertisement -

Beliau dipercayai membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang dilaporkan berkata, pendekatan yang diambil ialah menangani isu pijak al-Quran secara damai.

Ia kata Zulkifli ditangani berlandaskan undang-undang, penuh rahmah tetapi tetap tegas, dengan menyerahkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa.

Pada masa yang sama katanya, terdapat tanggungjawab lebih besar untuk memperkenalkan keindahan Islam sebagai agama yang damai dan berkemajuan kepada semua, sama ada Muslim atau bukan Muslim.

Tambah Zulkifli, konsep ‘litaarafu’ iaitu saling mengenali ditekankan bagi memupuk kefahaman, mengurangkan konflik dan merealisasikan aspirasi Malaysia Madani yang mengiktiraf perbezaan dalam kerangka kesatuan.

Walau bagaimanapun, menurut Ustaz Rosli, dalam Islam terdapat konsep marah yang dibenarkan oleh syarak, yang disebut sebagai ‘al-Ghadab al-Mahmud’ iaitu marah yang terpuji.

Katanya, perasaan marah dibolehkan apabila terdapat sentimen mempersendakan agama Islam oleh pihak musuh daripada kalangan orang kafir, munafik dan lain-lain.

Beliau turut memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah, ayat 73 yang bermaksud bahawa Nabi diperintahkan supaya berjihad menentang orang kafir dan munafik.

Petik beliau, ia serta bertindak keras terhadap mereka, dengan balasan terhadap golongan itu adalah neraka Jahannam sebagai seburuk-buruk tempat kembali.

Terdahulu media tempatan melaporkan, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan polis di Kuantan kerana disyaki menghina Islam di media sosial, termasuk memijak al-Quran dan mengeluarkan komen menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek akan direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – HARAKAHDAILY 25/2/2026

- Advertisement -