
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan ujian diagnostik atau saringan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak berusia enam tahun untuk memasuki alam persekolahan disifatkan sebagai pelanggaran prinsip asas pendidikan awam.
Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, ujian diagnostik sepatutnya digunakan untuk mengenal pasti keperluan murid, bukannya bertujuan mendiskriminasi mereka.
Menurutnya, istilah ujian diagnostik juga tidak tepat digunakan dalam situasi ini kerana hakikatnya ujian berkenaan bersifat ujian kelayakan yang melibatkan amalan pemilihan atau isihan.
“Mana mungkin anak-anak yang baru berumur lima tahun diberikan ujian kelayakan untuk menentukan (sama ada) mereka boleh memasuki Tahun Satu atau tidak,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Dr Anuar mempersoalkan asas kelayakan yang digunakan, termasuk penilaian kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sedangkan kanak-kanak berkenaan belum melalui pendidikan formal.
Beliau turut menolak penilaian berasaskan kestabilan emosi kerana kanak-kanak yang akan menduduki ujian tersebut baru berusia lima tahun dan tiada teori perkembangan kanak-kanak yang mengesahkan wujudnya kestabilan emosi pada usia itu.
Selain itu, beliau berkata, keupayaan kognitif kanak-kanak pada usia lima tahun juga masih belum berkembang sepenuhnya dan berada pada peringkat pra perkembangan kognitif yang konkrit.
Tambah beliau, keupayaan kognitif pada tahap itu sangat dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi keluarga, latar belakang pendidikan ibu bapa serta sokongan kemudahan di rumah seperti gajet, internet dan bahan bacaan.
“Misalnya, tahap keupayaan kognitif (yang belum lengkap ini) berbeza antara anak-anak miskin dan anak-anak yang kaya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan ujian diagnostik atau pengesanan, yang sebenarnya merupakan ujian kelayakan, adalah tidak adil terhadap kanak-kanak berusia lima tahun.
“Pendidikan awam wajib bersifat inklusif dan tidak boleh sama sekali bersifat eksklusif,” kata beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).
Dr Anuar juga menyatakan, tindakan menafikan hak kanak-kanak berumur enam tahun untuk memasuki sekolah, sedangkan sebahagian kanak-kanak lain dibenarkan berbuat demikian, adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan, nilai kemanusiaan dan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara.
Beliau menegaskan bahawa tindakan itu merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan akses pendidikan serta usaha merapatkan jurang pendidikan, malah jelas menafikan hak asasi pendidikan asas untuk semua kanak-kanak.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, mulai 2027, ibu bapa diberi pilihan secara sukarela untuk mendaftarkan anak berusia enam tahun ke Tahun 1 berdasarkan tahap kesediaan yang ditentukan melalui saringan diagnostik.
Struktur pendidikan tidak berubah dengan enam tahun pendidikan rendah dan lima tahun menengah, manakala pelaksanaan tidak dibuat secara tergesa-gesa.
Kementerian Pendidikan dilaporkan sedang memperkukuh persediaan termasuk menambah kelas prasekolah, bilik darjah dan keperluan guru. – HARAKAHDAILY 22/1/2026











